Teks & Foto: Andrialis Abdul Rahman

Seorang chef memerlukan beberapa kali cubaan untuk menyempurnakan resepi rekaannya sendiri. Konsep ini juga diguna pakai dalam bidang fotografi. “Practise makes perfect”, dengan latihan yang cukup, skil anda sebagai seorang jurufoto akan meningkat. Namun, bidang fotografi bukanlah sesuatu yang boleh dipandang mudah.
Memang banyak pada zaman sekarang mampu menggunakan kamera dslr, banyak juga yang mampu menggunakan perisian komputer seperti Photoshop dan Lightroom dengan begitu handal, namun bukan semua orang dilahirkan untuk menjadi seorang jurufoto.

Menjadi seorang jurugambar memerlukan seseorang untuk sentiasa berani mencuba sesuatu yang baharu, anda perlu keluar daripada zon selesa anda; pergi mengembara, mulakan perbualan dengan orang asing, luaskan perspektif yang anda miliki dan fikir “out of the box”- jika anda cuba untuk mengetengahkan idea yang lain daripada yang lain, ia akan kelihatan pada karya anda.
Fotografi juga memerlukan idea yang inovatif , karya-karya yang boleh menggamit sesuatu perasaaan atau memori sekiranya seseorang itu melihat karya tersebut. Fotografi berfungsi sebagai medium yang menghantar mesej tersirat kepada penonton. Jadi, jurufoto haruslah mempunyai kelebihan untuk menguasai cara sesuatu gambar itu diambil dan bagaimana untuk mengetengahkan mood yang sama kepada penonton.
Apakah yang membezakan seorang jurufoto amatur dengan profesional? Pengalaman. Mempelajari bidang fotografi merupakan sesuatu yang agak mudah, seseorang itu perlu tahu asas fotografi dan mula daripada situ tetapi untuk menjadi seorang jurufoto yang baik ialah sukar. Seseorang perlu memiliki minat yang tinggi, kesabaran untuk memahami setiap kamera dan peralatan yang ingin digunakan, perspektif yang berbeza dan sentiasa bersedia untuk merakam sesuatu peristiwa dengan sempurna apabila tiba masanya.
Walaupun begitu, fotografi ialah salah satu seni yang sangat abstrak- setiap orang mempunyai pandangan dan pendapat yang berbeza. Sesiapa yang berminat perlulah mempelajari konsep asas, yakni dari segi teknikal, ataupun artistik. Setiap manusia adalah unik, jika anda berjaya melaraskan idea bernas yang terdapat di dalam kotak fikiran anda, anda akan menjadi seorang jurufoto yang dinamis.
Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 27 (Okt/ Nov 2015)
