Temuramah: Miza Foto: Asri Pamuncar

Asri Pamuncar
Boleh perkenalkan diri saudari?
Nama saya Asri Pamuncar, seorang ibu yang gemarkan pembuatan kek, masakan, rempah ratus dan fotografi. Saya warganegara Indonesia dan menetap di Doha Qatar.
Bagaimanakah kerjaya saudari dalam bidang fotografi ini bermula?
Semuanya bermula sejak tahun 2008 apabila saya mula meminati pembuatan kek. Saya mengemari kek dan ianya amat sukar untuk mendapatkan kek yang menepati citarasa saya di Doha. Pada masa yang sama timbul idea untuk merakam kek-kek tersebut. Pada mulanya, saya merakam secara spontan tanpa susun atur seperti arah pencahayaan dan sebagainya tetapi setelah beberapa ketika, saya inginkan imej tersebut nampak cantik seperti dalam majalah atau laman sesawang, maka daripada itu kerjaya saya bermula.

Daripada mana saudari mula belajar merakam gambar secara serius?
Saya tidak pernah menghadiri kelas fotografi atau mengikuti kursus fotografi makanan. Saya hanya membaca buku, melayari laman sesawang dan mengikuti beberapa kumpulan fotografi makanan. Dengan menyertai kumpulan ini sebenarnya memberikan banyak pertolongan kerana dalam kumpulan tersebut saya boleh bertanyakan pendapat orang ramai yang arif dan berpengalaman dalam genre fotografi makanan. Saya mula mengikuti komuniti yang dipanggil ‘Still life food photography group’ di www.multiply.com pada tahun 2008. Daripada situ saya menyedari bahawa merakam gambar makanan bukan hanya sekadar merakam, tetapi ia merupakan seni dan banyak perkara perlu disediakan dan dipertimbangkan serta memerlukan saya untuk gigih berlatih.
Selain kek, apakah makanan yang saudari gemar untuk merakam?
Buah-buahan, sayur-sayuran dan minuman dalam suhu normal selagi ia mudah untuk dikendalikan.
Apakah sudut rakaman yang selalu digunakan?
Secara peribadi saya suka menggunakan sudut rakaman daripada atas kerana ia memberikan perasaan seolah-olah melukis pada permukaan mendatar. Kesemua subjek mempunyai komposisi dua dimensi, kita perlu memberikan perhatian sepenuhnya pada subjek, mengayakannya dan mencipta komposisi yang sesuai pada bingkai kamera, ruang kosong dan warna. Saya juga turut menggunakan sudut pandangan tiga suku dan sudut mata.

Bagaimanakah pengaya makanan bekerja dengan jurugambar?
Sejujurnya saya tidak mempunyai sebarang pengalaman bekerja dengan pengaya makanan. Pada mulanya fotografi makanan adalah sekadar hobi saya dan sekarang saya begitu meminatinya. Saya lakukan semuanya sendiri, pengaya makanan, pengaya latar, tukang masak dan jurugambar.
Makanan apakah yang paling mencabar untuk dirakam?
Minuman sejuk terutamanya yang mempunyai soda dan kiub ais. Kerana kita perlu membuat susun atur dan merakam dengan pantas sebelum ia cair tanpa menggunakan alatan atau objek tiruan.
Manakah imej yang saudari minati? Kenapa?
Imej bertajuk “faded away”, kerana saya tidak mempunyai sebarang persiapan khas untuk merakam. Ia merupakan rakaman bersahaja, sekuntum bunga ros putih sebagai objek digabungkan dengan keindahan suasana daripada cahaya petang akan tetapi saya terlupa satu perkara iaitu ketika musim sejuk, matahari bergerak pantas dan saya perlu cepat untuk merakam kerana cahaya matahari hampir lenyap dan ini menjadikan proses itu menarik dan saya minati.

Apakah peralatan yang saudari selalu gunakan untuk mendapatkan imej menarik?
Untuk kamera dan lensa, saya menggunakan kamera Nikon D700 beserta lensa Nikkor 85mm, lensa yang saya selalu gunakan untuk kebanyakkan gambar saya. Saya juga menggunakan lensa Nikkor 50mm dan Nikkor 105mm F2.8 untuk rakaman yang memerlukan butiran yang jelas. Saya tidak menggunakan peralatan pencahayaan studio profesional dan semua hasil karya saya dirakam menggunakan pencahayaan semulajadi daripada tingkap sahaja. Tripod, pemantul cahaya, diffuser dan papan kayu sebagai latar belakang merupakan keperluan saya. Akhir sekali, peralatan meja makan seperti tembikar, napkin dan kutleri merupakan bahagian penting untuk rakaman gambar saya.
Saya bermula dengan merakam gambar menggunakan pencahayaan semulajadi dan sebagai jurugambar makanan amatur, pencahayaan semulajadi merupakan cara yang mudah untuk bermula sebagai hobi. Sehingga sekarang saya gemar menggunakan pencahayaan semulajadi sebagai sumber pencahayaan utama. Saya tidak boleh mengatakan ianya terbaik tetapi saya fikir jika anda bagus dengan kedua-dua jenis pencahayaan (semulajadi dan studio) ianya adalah lebih baik!
Apakah tip utama anda untuk seseorang yang mungkin meminati dalam bidang fotografi makanan?
Fahami peralatan dan pencahayaan serta berlatih secara berterusan dalam merakam satu objek dengan sudut berlainan. Lebih banyak anda berlatih, lebih pengalaman anda dapat.

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 23 (Feb/ Mac 2015)
