Fotografi kanak-kanak

21/09/2017 | miza

Temuramah: Miza            Foto:Zubye Rusli

 

Profile Pic Zubye Rusli
Zubye Rusli

 

Siti Zubaidah Rusli atau lebih dikenali sebagai Zubye Rusli merupakan graduan ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Komputer dan Komunikasi. Beliau mula aktif dalam bidang fotografi sejak tahun 2006 ketika bertugas sebagai Jurutera Komunikasi di Kuala Lumpur. Oleh kerana minat yang terlalu mendalam dalam bidang fotografi, beliau mengambil keputusan untuk meneruskan cita-cita sebagai jurugambar sepenuh masa pada tahun 2008. Pada awal pembabitan beliau dalam bidang ini, beliau lebih diketengahkan dengan pembelajaran ‘art of seeing’ di mana beliau memerhati keadaan sekeliling dan kemudiannya menterjemahkannya dalam bentuk visual. Setelah menguasainya, beliau menumpukan kepada teknik fotografi bagi memahirkan dirinya menggunakan kamera.

Zubye Rusli (2)

Sejak daripada kecil lagi, beliau meminati bidang seni yang sudah sebati dalam diri beliau. Beliau lebih gemar membuat seni kreatif mengikut kehendak diri sendiri. Daripada sebatang pokok, beliau boleh mengolahkannya kepada bentuk kreatif yang di ingini atau membuatnya sesuatu barangan yang boleh diguna pakai. Selain daripada itu juga, beliau meminati seni penulisan bagi menjana minda kreatif. Minatnya dalam bidang seni inilah yang membuatkan beliau memperluaskan lagi bakat terpendam beliau dalam bidang fotografi.

Bagi beliau, fotografi sesuatu yang ditafsirkan melalui perasaan kita dan diterjemahkan dalam bentuk visual. Gambar tersebut merupakan medium perhubungan jiwa antara jurugambar dan penonton. Di samping itu juga, gambar yang terhasil merupakan memori kenangan yang tidak dapat dilupakan dan tidak dapat di ulang semula bagi mendapatkan kesan mendalam pada sesuatu gambar tersebut.

Beliau memilih fotografi kanak-kanak kerana beliau sukakan kanak-kanak. Kanak-kanak ini sentiasa jujur pada diri sendiri dan lebih bersahaja. Beliau memahami dahulu karakter kanak-kanak tersebut dan berkawan dengan mereka agar mereka lebih santai dan bersahaja apabila di hadapan kamera. Apabila terjalin kemesraan seakan kawan kepada kanak-kanak tersebut, mereka akan menunjukkan sikap sebenar dalam diri mereka dan menghasilkan imej yang lebih semulajadi dan menakjubkan.

Zubye Rusli (9)

Inspirasi beliau bukanlah daripada kalangan jurugambar ternama akan tetapi inspirasi datang daripada perkongsian gambar oleh Sherry Davis, Anna Christine dan MinMohd Photography di laman sosial Flickr dimana masing-masing mempunyai gaya tersendiri dalam merakam fotografi kanak-kanak. Sherry Davis – gambar beliau walaupun kabur akan tetapi memberikan perjalanan cerita yang tersendiri. Anna Christine – gambar beliau lebih cenderung kepada unsur semulajadi karakter kanak-kanak tersebut dan memberikan hasil yang memuaskan apabila setiap kanak-kanak yang dirakam memainkan watak yang berlainan dalam setiap rakaman. MinMohd Photography – rakaman yang bersahaja dan bermakna menyentuh hati keibuan apabila dilihat. Kebanyakkan mereka merupakan seorang ibu dan memiliki naluri keibuan yang mengetahui kehendak dan keinginan anak-anak. Setiap jurugambar ini hanya daripada kalangan jurugambar biasa akan tetapi, gambar mereka mempunyai makna yang mendalam dari segi penyampaian. Gaya daripada inspirasinya, beliau terjemahkan kepada hasil karya beliau dengan hanya menggunakan pencahayaan semulajadi serta bersahaja dalam merealisasikan moto beliau dalam bergambar iaitu ‘Capturing the true you’.
Beliau menghadkan pengambilan rakaman bagi mendapatkan hasil yang berkualiti bukannya semata-mata ingin mengejar kuantiti rakaman yang banyak.

Zubye Rusli (7)

Kini beliau menghasilkan sebuah buku bertajuk “Sekeping gambar seindah memori” yang boleh dijadikan sebagai panduan ibu bapa untuk merakam gambar anak-anak mereka sendiri di samping beliau juga menyediakan teknik fotografi yang mudah. Buku fotografi kanak-kanak yang pertama di Malaysia ini juga merupakan satu platform bagi beliau untuk menyumbangkan pendapat dan pengalaman beliau semasa rakaman diadakan dalam bentuk penceritaan kepada orang ramai. Anda boleh dapatkan buku ini di kedai buku MPH seluruh Malaysia.

 

www.eyesofgrace.net

 

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 28 (Dis 2015/ Jan 2016)

FG28 Cover