Fotografi & Hak Cipta

14/07/2017 | miza

Teks: Ashraf Saharudin

 

Isu hak cipta dalam konteks ini hak cipta foto sememangnya sebuah isu yang kini hangat diperkatakan. Malah terdapat beberapa kes yang terjadi kepada jurugambar tempatan sejak akhir-akhir ini. Baru-baru ini kita digemparkan dengan isu pencabulan hak cipta terhadap seorang jurugambar yang berasal dari Terengganu, saudara Dome. Imej beliau telah diambil sebagai sumber rujukan oleh seorang pelukis tempatan bagi tujuan pameran dan juga jualan. Kes ini masih disiasat dan perkembangan kes tersebut bakal kami dedahkan pada keluaran akan datang.
Sementara itu pada keluaran ini kami ingin kongsikan terlebih dahulu beberapa kes pencabulan hak cipta yang terkenal di seluruh dunia. Terdapat beberapa kes besar yang menglibatkan tuntutan ganti rugi yang mencecah tujuh angka dan terdapat juga kesan-kesan yang mengubah senario penggiat dan pasaran seni dunia apabila terjadinya kes-kes sebegini.

Tampak remeh, namun impaknya adalah besar jika isu ini tidak ditangani dengan berhati-hati dan teliti.

Koons-Rogers
Atas: Art Rogers; Puppies (1985) Jeff Koons, String of Puppies (1988)

Rogers vs Koons

Kes
Jurugambar bernama Art Rogers telah merakam foto sebuah pasangan memegang anak-anak anjing dalam satu barisan dan menjualnya sebagai kad jemputan dan produk-produk yang seumpama dengannya. Ketika seorang artis terkenal sedang dalam persiapan untuk mengadakan pameran yang berkaitan objek harian yang sudah lapuk, Koons telah menemui imej rakaman Rogers dan menggunakannya untuk menghasilkan arca berdasarkan imej tersebut. Koons Berjaya menjual beberapa arca tersebut dan mendapat keuntungan yang agak banyak daripadanya. Setelah disedari Rogers yang imejnya telah diguna pakai, beliau telah menyaman Koons atas faktor hak cipta namun Koons membalas dengan mengatakan bahawa penggunaan itu adalah sah sebagai parody.
Keputusan
Mahkamah mendapati persamaan diantara dua imej tersebut sangat ketara dan bagi seorang ‘manusia biasa’ akan dapat mengenal pasti salinan tersebut. Hujah Koons ditolak dan diarahkan membayar pampasan kepada Rogers.

Kesan
Kes ini adalah antara yang paling terkenal dan telah membentuk isu yang besar dalam dunia seni, isu mengambil guna karya seni. Bolehkah anda menghasilkan sesuatu berdasarkan karya individu lain dan mengisytiharkan karya anda asli? Jika ya, adakah itu dikira penghasilan karya? Selain itu kes tersebut juga telah menimbulkan isu dan persoalan akan peranan fotografi sebagai sebuah cabang seni, adakah fotografi terhad hanya kepada proses dokumentasi atau merupakan sebuah hasil artistik? Kedua-dua isu ini masih diperdebatkan dan kes ini juga telah menjadi sumber rujukan buat kes-kes berikutnya.

picture_6
Kiri: Mannie Garcia untuk Associated Press (2006), Shephard Fairey (tidak rasmi) untuk Kempen Presiden Obama (2008)

Associated Press (AP) vs Fairey

Kes
Artis atau pelukis terkenal Shephard Fairey telah mencipta Hope, poster yang digunakan ketika kempen pilihanraya presiden, Presiden Obama pada tahun 2008. Rekaan itu pantas menjadi simbol kepada kempen tersebut. Pada Januari 2009, imej asal yang digunakan Fairey telah disiarkan oleh Associated Press (AP) sebagai hasil kerja salah seorang jurugambar bebas mereka Mannie Garcia. AP menuntut pampasan kerana digunakan dalam karya Fairey dan Fairey mempertahankan tindakannya sebagai sebuah penggunaan yang sah dengan mendakwa karyanya tidak menjatuhkan nilai asal imej tersebut.

Keputusan
Artis tersebut dan AP menyelesaikan kes ini secara tertutup diluar mahkamah pada Januari 2011 dan sebahagian daripada kandungan perjanjian penyelesaian itu adalah pembahagian keuntungan daripada hasil karya tersebut.

Kesan
Meskipun tiada kes mahkamah difailkan dan tiada keputusan muktamad, kes tersebut telah menimbulkan pelbagai persoalan akan nilai karya dalam kes-kes tuntutan hak cipta. Ada berpendapat bahawa karya foto Garcia mungkin tidak mampu mencapai tahap yang tinggi jika tidak kerana Fairey menggunakannya di dalam poster. Garcia sendiri menyatakan bahawa, “berbangga dengan foto tersebut dan Fairey telah mengolahnya secara artistik dan beliau berjaya,” namun yang menjadi isu adalah kerana Fairey telah menggunakan imej tersebut tandpa meminta kebenaran mahupun menyatakan pengkarya asal atau perakam imej tersebut.

cariou-vs-prince
Kiri: Patrick Cariou’s Yes, Rasta (2000), dan Richard Prince’s Canal Zone (2008)

Cariou vs Prince

Kes
Richard Prince merupakan seorang artis apropriasi terkenal, seorang yang merubah karya individu lain dan mencipta pemaknaan baharu kepada karyanya. Untuk sebuah pameran di sebuah galeri (Galeri Gagosian), Prince mengguna pakai 41 imej daripada buku fotografi seorang jurugambar Perancis Patrick Cariou, mendakwa penggunaannya adalah sah kerana menghasilkan maksud yang baru terhadap foto tersebut. Bagaimanapun Cariou mendakwa bahawa itu adalah pencabulan hak cipta.

Keputusan
Hakim memihak kepada Cariou pada tahun 2011 dengan dakwaan bahawa perubahan yang dilakukan terhadap imej Cariou tidak cukup kuat untuk menyokong perubahan makna seperti yang didakwa Prince. Bagaimanapun setelah dua tahun kes tersebut berjalan, pada tahun 2013 keputusan hakim mendapati Prince tidak bersalah dan perubahan yang dilakukan ada mewujudkan perubahan estatika dan diterima sebagai penggunaan yang sah.

Kesan
Ketika keputusan awal dilakukan, timbul beberapa pecahan besar dalam komuniti seni. Keputusan itu menimbulkan persoalan berkenaan maksud dan subjektiviti seni da nada yang mempersoalkan kredibiliti hakim dalam menentukan samada karya tersebut memiliki pemaknaan yang cukup untuk diterima sebagai penggunaan yang sah kerana faktor penerimaan seni yang berbeza antara seorang individu dengan individu yang lain.

canal_zone_collage_rprince

Sumber:

99designs:
http://99designs.com/designer-blog/2013/04/19/5-famous-copyright-infringement-cases/

The New York Times:
http://www.nytimes.com/2013/04/26/arts/design/appeals-court-ruling-favors-richard-prince-in-copyright-case.html?_r=3&

hyperallergic.com:
http://hyperallergic.com/69683/court-of-appeals-reverses-ruling-on-prince-v-cariou/

 

Definisi Hak Cipta ©
Hak cipta adalah suatu set perlindungan undang-undang yang diberikan kepada karya-karya ekspresi kreatif. Pemilik hak cipta karya mempunyai hak eksklusif terhadap karya-karyanya. Contohnya, hak untuk menyalin karya dan menjual. Tetapi, hak-hak tersebut mempunyai tempoh masa tertentu dalam kebanyakan kes, seperti karya sastera hak cipta akan bertahan selama hidup pengkarya dan 50 tahun selepas kematiannya.

 

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 16 (Dis 2013/Jan 2014)

fg16-cover