Teks & Foto: Mohd Azlan M.A.M08

“Fotosintesis merujuk kepada proses penukaran tenaga cahaya daripada matahari kepada tenaga biokimia. Tenaga kimia ini digunakan untuk pengikatan karbon. Proses ini dibantu oleh klorofil untuk menguraikan air kepada oksigen dan hidrogen.
6CO2 + 12H2O + Tenaga Cahaya –> C6H12O6 + 6O2 + 6H2O “
Isu kali ini adalah isu cetakan (bercetak) yang terakhir di mana majalah Fotografika akan meneruskan penerbitannya secara atas talian selepas ini untuk menemui pembaca dan peminat fotografi tanahair. Bagi yang minat mengaut ilmu mengenai ini bukanlah suatu halangan buat mereka. Ilmu tetap dicari walau dengan apa-apa cara sekalipun. Mungkin sedikit perubahan pada corak sirkulasi media bercetak dan minat pembaca serta kos penerbitan medium bercetak telah sedikit sebanyak menyumbang kepada perkara ini. Dalam konotasi amnya, inilah yang kita panggil sebagai faktor pengehad atau faktor pembatas. Faktor yang boleh menyebabkan berlakunya sesuatu perubahan dalam corak kegiatan kita.

Faktor pengehad ini sebenarnya boleh berlaku di mana-mana sahaja, dalam apa jurusan mahupun bidang sekali pun. Mengambil contoh, dalam skala tumbesaran tumbuhan, faktor pengehad ini umpama kimia-kimia yang melambatkan proses fotosintesis untuk menambah nutrisi bagi sesuatu tumbuh-tumbuhan untuk membesar. Faktor pengehad adalah suatu yang dapat menurunkan tingkat jumlah dan perkembangan suatu ekosistem. Fotografi juga tidak terkecuali dari faktor–faktor pengehad ini. Tambahan pula aliran fotografi kini telah menjadi umpama satu “ Ekosistem “ dimana ada satu corak interaksi atau hubung kait antara benda hidup dengan benda bukan hidup dalam alam semula jadi. Benda-benda hidup seakan-akan bersaing utnuk meluaskan jajahan wilayah masing-masing dengan menggunakan komponen-komponen fizikal, kimia dan biologi demi survival masing-masing. Mereka inilah yang menjadikan kepelbagaian struktur tropik (trophic structure), biodiversiti dan kitaran hidupan dalam aliran seni fotografi itu sendiri.
“Agak menarik untuk difikirkan namun satu masanya nanti pasti faktor pengehad akan datang menjenguk kita. “
Ada banyak faktor-faktor pengehad atau faktor pembatas dalam aliran fotografi namun faktor pengehad yang terbesar sekali dalam aliran fotografi adalah datangnya dari diri sang perakam itu sendiri. Perakam di sini ialah kelompok manusia yang menghasilkan suatu output atau medium visual yang kita kenali sebagai fotograf. Ada yang dikenali sebagai ‘jurugambar’ dan ada yang dikenali sebagai ‘jurufoto’. Saya tidak mahu membicarakan mengenai dua ‘Juru’ ini kerana tidak begitu relevan untuk penulisan kali ini. Isu yang saya cuba tekankan dalam penulisan yang serba ringkas ini ialah mengenai penilaian semula kita dan tahap kesedaran kita tentang penghasilan karya-karya kita selama ini.
Fotografi adalah satu modul penceritaan atau antologi dari segi visual tentang kehidupan dan episod penjelajahan manusia. Fotografi hadir sebagai suatu dokumen representasi mengenai rahsia dan realiti disebalik apa-apa yang dirakam. Penceritaan atau perakaman yang jujur akan menceritakan realiti dalam ertikata yang sebenar dan bagi yang tidak jujur, proses ini hanyalah suatu penceritaan yang tidak kesampaian dan hanya berpaksi pada visual yang superfisial pada pandangan mata dan tidak mempunyai nilai moral dan astetik apatah lagi kerohanian.

Fotografi adalah suatu manifestasi Si Perakam dan suatu interpretasi mengenai apa-apa yang dilihat dan apa-apa yang cuba disampaikan. Ia umpama suatu ekosistem yang sentiasa bergerak pada satu jalinan visual yang aktif. Saya sendiri memilih untuk mempamerkan realiti dalam suatu juzuk yang kadangkala tidak kita lihat dengan penilaian yang sepatutnya. Kadang-kala kita sering terlupa akan unsur yang sepatutnya di persembahkan kerana kita kurang melatih aspirasi dan ekspresi kita tentang makna sebenar kehidupan. Secara jujur, fotografi adalah satu subjek yang cukup ilmiah bagi saya kerana jiwa kita harus berdebat untuk memahami isu dan sentimen yang dibawa. Sering saya nyatakan bahawa fotografi itu adalah satu subjek mental yang perlu untuk diperincikan. Ini adalah dasar sesuatu seni, mengenai etika, ekspresi, interpretasi dan pemahaman idea. Bagi saya, jiwa fotografi itu adalah jiwa yang cukup halus dan berwajahkan seni. Di sinilah letaknya faktor pengehad yang sering kita lakukan, tidak jujur dalam berkarya.
“Kejujuran adalah intipati utama dalam ekosistem fotografi.”
Sebenarnya setiap nukilan rakaman lensa optik adalah bertitik tolak daripada suatu konsep dan penghayatan. Tanpa konsep tiadalah manifestasi mengenai apa-apa yang ingin kita sampaikan. Setiap gambar yang dirakam adalah gambaran hubungkait di antara Si Perakam dengan keberadaan dan kehadiran visual nyata mengenai dunia yang dihalusi oleh Si Perakam dan proses hubungkait ini biasanya tidak menentu (equivocal). Kegagalan menyampaikan pernyataan visual (visual statement) inilah yang menyebabkan gambar-gambar yang dirakam tidak mengandungi impak yang kuat walaupun gambar tersebut adalah berkualiti dari segi spesifikasinya hasil penggunaan kamera yang canggih.
Imej yang dirakam adalah bukti mengenai penaksiran kita sebagai perakam. Saya tidak mengkelasifikasikan secara khusus genre atau konsep saya kerana saya belajar untuk merangkumi semua aspek presentasi visual saya dalam satu gagasan yang saya panggil sebagai Humanistic Poetic Vision. Saya lebih terpandu untuk mendengar apa-apa yang disebut oleh pemerhati-pemerhati saya terutamanya yang memahami keperluan fotografi itu sebagai salah satu cabang seni dalam seni visual dan keperluan fotografi itu sendiri sebagai dokumentasi mengenai apa-apart yang berlaku di sekeliling kita. Saya menjadikan ilham dan idea saya ketika perakaman imej sebagai satu wadah untuk saya ketengahkan sesuatu yang berlainan tetapi tidak antagonis dengan ciri ciri ‘mainstream’ atau arus fotografi perdana. Bagi saya pengstrukturan dan pengkelasan idea itu adalah lebih penting daripada kita mengkelaskan diri kita sendiri dan konsep yang kita bawa.

Fotografi bercakap satu bahasa dan imej yang terbaik adalah imej yang menafikan semua pengkelasan konsep atau stigma yang ada pada imej tersebut .
Penghayatan. Penghayatan adalah antara faktor pengehad terbesar yang sering kita tinggalkan dalam fotografi. Kita sering menghidangkan ‘nasi lemak’ fotografi tanpa santan kepada pelanggan kita (sedangkan santan itu satu kemestian dalam ramuan nasi lemak). Kenapa? Kerana kita telah menjadikan ‘sifar’ dalam penghayatan kebanyakan hidangan nasi lemak fotografi kita. Maka wujudlah satu ekosistem dalam aliran fotografi yang kurang bermakna walaupun pelanggan tukang ‘like’ adalah ramai.
Kita harus faham dan sedar bahawa si penyampai adalah kita dan bukannya Sang Kamera. Bagi seseorang yang ingin menyampaikan sesuatu mesej yang berkesan dalam sesuatu karya maka haruslah ada satu pemahaman yang khusus tentang nilai-nilai fundamental, moral/etika, estetik dan artistik. Saya berpendapat bahawa dengan kehadiran semua elemen ini barulah sesuatu yang dipanggil karya akan terbentuk atau tercipta untuk melengkapkan ekosistem fotografi yang saya maksudkan tadi. Kita harus melihat jauh lebih ke dalam, bukan menyapu lapisan luar sahaja. Kita kemudilah corak persembahan fotografi kita dengan satu penyampaian yang analitikal agar menjadi satu sajian intelektual buat tatapan umum. Jadikan aliran ini sebagai satu wacana yang bisa terbenam dalam minda kolektif masyarakat.
Aliran ini tidak akan hambar, percayalah.
Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 24 (Apr/Mei 2015)
