
Firdaus Ghazali
Boleh ceritakan sedikit mengenai diri saudara?
Saya sedang menuntut di Multimedia University, Melaka dalam jurusan “Business & Knowledge Management”. Anak bongsu kepada tiga orang adik-beradik. Lahir di Kuching, Sarawak dan kini menetap di Melaka. Menghabiskan masa lapang dengan membuat kajian mengenai dunia fotografi. Saya merupakan seorang individu yang sangat suka dengan sesuatu yang bersahaja atau ‘random’.
Sudah berapa lama melibatkan diri dengan dunia fotografi?
Termasuk tahun ini, sudah lima tahun saya berkecimpung dalam bidang fotografi.

Daripada mana timbul ilham dan inspirasi?
Ilham dan inspirasi datangnya dari setiap langkah kaki yang berjalan, penglihatan yang senantiasa melihat keadaan dan hati yang sering membina persoalan. Setiap gambar yang dihasilkan sangat berkait rapat dengan jiwa dan emosi saya pada ketika itu.
Mengapa Lomo?
Lomo merupakan satu medium untuk saya memahami diri saya dengan lebih mendalam. Tidak semua benda yang sempurna perlu semestinya cantik. Kadang-kala di dalam sesuatu yang dihasilkan secara rawak akan menimbulkan satu emosi yang lebih mendalam berbanding kesempurnaan yang dicari.
![CNV000007 [Original Size]~5](https://pcp2u.my/wp-content/uploads/CNV000007-Original-Size5-300x203.jpg)
Setiap dedahan, adakah segalanya dirancang atau sengaja dibiarkan sebagai elemen kejutan?
Setiap dedahan ada yang dirancang. Tetapi kebanyakannya saya akan biar setiap dedahan itu dengan elemen kejutan.
Apakah keistimewaan projek kolaborasi?
Projek kolaborasi akan membuat kita berfikir luar daripada kotak. Setiap idea dan rangsangan daripada diri kita dan rakan kolaborasi kita boleh mewujudkan suatu gambar yang unik dan tak pernah terlintas di fikiran untuk menghasilkan gambar sebegitu. Ada di antara siri imej saya hasil kolaborasi dengan jurugambar lain dan yang terdapat disini adalah hasil kolaborasi saya dengan seorang rakan jurugambar Ami Kamerami.

Jika tidak merakam gambar, apakah yang akan saudara lakukan?
Saya gemar berjalan kaki dan duduk di suatu tempat, melihat karenah manusia dan bertanyakan kepada sendiri kenapa, siapa dan bila sesuatu memori itu berlaku? Sebab dari situlah saya akan dapat melihat dunia dengan lebih besar sekalipun saya hanya berada di Malaysia.
Facebook: Firdaus Ghazali Photography

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 14 (Ogos/Sept 2013)
