Teks & Foto: Mohd Azlan M.A.M08

“Halatuju” adalah satu perkataan misteri buat saya. Begitu juga dengan perkataan – perkataan lain seperti wadah, wacana, dasar, etika dan kias–kias retorika yang seumpama dengannya. Apabila rencah redam perkataan ini digabungkan di atas satu platform yang sangat berbahagia lagi kelam seperti suatu nuansa perbincangan ilmiah, ianya akan melahirkan dialog–dialog peluru dan rumusan kecil ala–ala tapisan dan tepisan. Tidak percaya? Tunggu ketika masa yang sesuai kerana kamu pasti akan mengerti dan memahaminya suatu masa nanti. Bagaimana dengan saya? Telah pun saya alami bibit–bibit gelora dan gelojak kekabutan hasil daripada kemisterian yang saya maksudkan tadi. Sedang golongan pengkarya seni fotografi bertungkus lumus dalam membawa unjuran fotografi itu sendiri dalam kelompok–kelompok yang lebih sihat untuk dipersembahkan kepada masyarakat, kita masih terikat dengan gelagat sayu, redup seperti ini. Inilah misterinya fotografi di Malaysia. Namun, ini hanyalah drama tari di benak saya.
Zaman Fotografi Batuan harus ada peminggirannya, saya tidak berani untuk menisbahkan ia dengan pengakhiran kerana yang akan berakhir suatu masa nanti pasti akan muncul semula. Umpama jasad yang dibangkitkan semula selepas kematian. Telah terlalu lama kita terus menipu dengan bayangan kita yang serba putih. Putih dan mudah untuk dikenali. Jadi bagaimana harus kita bermula? Memulakan semula sesuatu yang dahulunya adalah suatu yang didasari dengan keikhlasan dan semangat bersungguh yang tulus? Ikhlas dalam perjuangan, menyemai fotografi di bendang–bendang seni. Kita masih mempunyai bendang-bendang yang luas, namun semaian kita banyak yang tidak menjadi. Tidak rosak, tetapi tidak menjadi. Adakah kita kini perlu akan kilang-kilang memproses yang baru yang lebih terkedepan corak manifestasi ilmiah dan teknologi pemikiran mereka? Adakah kita perlu suatu liga yang mana contoh–contoh terbaik dari setiap kelasnya harus berentap dalam cara yang positif sehingga menjadi contoh dan santunan buat sang pemerhati yang lain? Adakah kita harus memusnahkan ladang-ladang atau bendang kita untuk projek pembangunan semua tanaman fotografi? Namun, ini hanyalah drama tari di benak saya.

Harus kita tahu bahawa pemerhati kita yang sedia ada sedang kehausan dalam segenap terowong penelitian dan pemerhatian mereka. Kerana apa? Saya tidak mampu menjawabnya namun inilah soalan–soalan yang sering saya terima. Saya kini menghidapi ‘nyctophilia’, suatu kecintaan kepada kegelapan dan satu pengemudian istirehat dan keselesaan dalam kegelapan kelam. Bagi saya dari terus menjamah hidangan–hidangan gelap dan batuan dari Planet Fotografi Kini (PFK), harusnya lebih baik saya mengalami nyctophilia dan mengurung diri dalam kegelapan yang indah mudah-mudahan saya boleh terus berekspresi dengan hasilan karya yang berbeza pasca nyctophilia. Namun, ini hanyalah drama tari di benak saya.
Kita masih lagi tebal dengan sindrom penafian. Kita mungkin telah menjadi penganut fahaman penafian. Satu sindrom yang melanda sesiapa sahaja tidak kira Dewa Foto atau Rakyat Awam Foto. Kenapa kita masih di takuk seperti ini? Masih lagi dalam kepompong penafian. Jawabannya mudah sekali, kerana kita tidak ada perisai atau senjata lain untuk kita jadikan pelindung kita . Kita tidak ada hasilan karya yang ampuh untuk kita jadikan perisai kita dalam berhujah. Kita masih lagi hidup tidur lena makan dengan mimpi kita yang dahulu kala (mimpi-mimpi yang dahulunya sangat indah). Kita masih berada tinggi di puncak menara dan memerhati ke bawah sedangkan yang di bawah bukanlah kelompok yang lemah. Mereka adalah kelompok yang di bawah (bukan kelompok bawahan) yang nampak bahawa menara kamu semakin condong, menara kamu semakin tidak stabil, menara kamu semakin pincang. Kerana apa? Mereka nampak apa-apa yang kamu hasilkan selama ini. Mereka menerima pakai tanpa buang setiap perbuatan dan percakapan kamu sedangkan kamu masih lagi lena di ulit intan mimpi-mimpi kamu. Namun, ini hanyalah drama tari di benak saya.
Henri Cartier-Bresson, pada tahun 1974 pernah memberitahu dunia bahawa “Kami jurufoto merakam sesuatu yang akan terus lenyap dan beliau juga memberitahu dunia bahawa kita tidak boleh menghasilkan atau mencetak semula memori lampau. Hidup ini hanyalah sekali dan kita sentiasa melalui pembaharuan tanpa batasan.” Andai kata hari ini kita faham akan isi yang cuba disampaikan beliau, maka pantas sekali kita yang berejim-rejim dan penuh dengan haluan masing-masing dengan begitu ramai sekali bala tentera akan menjunjung martabat fotografi kita agar menjadi satu santunan coretan masa yang akan terus diingati. Agak menyedihkan kita hari ini bukan sahaja hilang dalam gugusan penampilan yang sepatutnya, malah kita juga seolah-olah membuka laluan pelenyap untuk generasi pelapis kita. Satu laluan yang mungkin tidak sengaja tetapi masa, keadaan, keselesaan dan faktor perubahan telah menyebabkan kita alpa akan fenomena ini. Namun, ini hanyalah drama tari di benak saya.

Elliot Erwin menyebut, “Fotografi adalah satu cabang seni yang memerlukan pemerhatian yang mendalam. Dengan pemerhatian seperti ini maka barulah maksud fotografi itu kesampaian”. Umpama berkepak dengan sayap yang lebar, pelepah tersusun dan ruang angkasa di terokai. Setiap karya dan imej hasil dari pemikiran yang kreatif dan kritis memang mempunyai impak yang berbeza. Saya berpendapat bahawa unsur terbesar yang menyebabkan kita ketinggalan pada hari ini ialah kreativiti dan kemahiran dalam berkarya. Kreativiti pula adalah hasilan implementasi corak originaliti seseorang pengkarya itu. Sumber inspirasi dan rujukan tidak salah namun biarlah originaliti yang menjadi dustur dan pemangkin hasilan karya kita. Mana mungkin kita tampil dengan hasilan karya yang berbeza andai kita hanyalah pengaut-pengaut idea orang lain. Mana mungkin kita masih di liga kontemporari andai kita masih menjaja karya-karya sejarah lampau kita yang telah pun bersawang. Kita masih mengguna pakai “Saya pernah buat ini…“ dan “Saya pernah buat itu…“ sedangkan transformasi sedang berlaku dan fotografi terus di buai arus transformasi ini dan yang akan terus membangun ialah mereka-mereka yang terus mencuba dengan gigih untuk hasilan karya-karya terbaru yang menunggahi zaman dan era terkini. Namun, ini hanyalah drama tari di benak saya.
Kreativiti lahir dari skala berfikir yang sangat berbeza dari seorang individu berbanding individu yang lain dan di dalam kancah fotografi itu sendiri kita tidak dapat lari dari pembawaan dan dilemma tentang isu ini. Manifestasi awalan dan akhiran seseorang yang kreatif akan menjana satu corak perakaman imej yang sangat autoritatif dan eksklusif yang secara ringkasnya akan menghasilkan suatu gambar atau karya yang memiliki semua ciri-ciri yang diperlukan untuk dinobatkan sebagai satu fotograf. Namun janganlah kita mengehadkan keanjalan sesuatu idea dan kreativiti hanya kerana kita telah menjadi susuk lapuk di dalam industri ini. Dunia fotografi dan dunia kamera tanah air sedang menantikan sesuatu pembaharuan sejajar dengan peredaran dan pusingan terkini seni visual khususnya. Kita tidak mahu penjumudan corak dan skala berfikir dari para pendidik dan ahli akademik yang masih kesiangan walaupun malam telah menjemput . Namun, ini hanyalah drama tari di benak saya.
Malangnya kita hari ini masih tertakluk kepada siapa yang sepatutnya berjuang untuk halatuju industri fotografi. Baik peneraju industri itu sendiri dan golongan cendekiawan intelek. Masing–masing menoktahkan pemahaman sendiri untuk menegakkan benang yang kekal lembap dan basah. Maka irama drama tari terus berkumandang dalam segenap aspek halatuju fotografi tanpa penambahbaikan yang ketara. Ada, tetapi mungkin lambat. Keadaan ini agak membimbangkan kerana walaupun dengan pertumbuhan kelas-kelas fotografi yang berkadar naik, kita masih di fasa-fasa ketepuan untuk menghasilkan karya-karya yang senada dengan seni visual yang lain. Kita masih terpinggir dalam arena seni sedangkan kita adalah berasal dari ketumbukan tentera yang paling ramai dengan senjata kamera masing-masing. Sudahlah senapang yang tidak berpeluru, kita menembak tanpa sasaran yang betul. Golongan intelek yang anti analitikal harus terus ’dimuziumkan’, golongan yang menangguk di dada fotografi sibernatik juga harus terus ’dimuziumkan’. Kerana apa? Kerana muzium adalah episod terakhir untuk fenomena ini. Drama tari ini harus ada penghujungnya, noktah.

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 16 (Dis 2013/ Jan 2014)
