‘Direct Flash’ tak cantik? Siapa kata?

02/12/2016 | miza

Teks & Foto: Ashraf Saharudin

merakam-gambar-pada-waktu-tengahari-2
Merakam gambar pada waktu tengahari

Jangan terkejut jika ada antara jurugambar-jurugambar yang tidak pernah menggunakan flash secara terus (direct flash) walaupun flash ataupun speedlight direka pada asasnya untuk digunakan secara terus. Mungkin ada antara kita yang kurang yakin dengan teknik direct flash dan membuat andaian bahawa gambar yang dihasilkan melaui teknik ini tidak cantik atau tidak menarik untuk dipandang. Pendapat ini sebenarnya tidak betul kerana ada masa-masa tertentu teknik flash secara terus memainkan peranan yang sangat penting dalam kerja-kerja mengambil gambar. Samada tidak tahu atau tidak berani menggunakan teknik flash secara terus, itu bakal terjawab setelah anda membaca artikel ini.

Kebanyakan jurugambar yang bermula sebagai hobi akan memilih cabang fotografi perkahwinan sebagai pendapatan sampingan. Tanpa pengetahuan khusus, mereka meneliti gambar-gambar perkahwinan yang dihasilkan oleh jurugambar-jurugambar professional yang banyak terdapat di internet dan sebagainya. Tanpa memahami situasi dan keadaan sebenar majlis perkahwinan tersebut daripada jurugambar asalnya sendiri, dengan perasaan ingin belajar atau ingin tahu, pelbagai soalan-soalan asas diajukan bagi mengenal pasti kaedah dan teknik yang digunakan. Dengan penerangan yang serba ringkas daripada pemilik gambar, si orang baru terus mengikut jejak langkah si orang lama tanpa menanyakan sebab disebalik teknik-teknik tersebut ibarat pepatah melayu, bagai lembu dicucuk hidungnya. Tidak salah bertanya, tetapi bertanyalah kepada mereka yang pernah menggunakan kedua-dua kaedah ini kerana pasti terdapat sebab tertentu bagi setiap teknik yang digunakan.

Fenomena ini biasa terjadi dan antara isu yang paling ketara adalah teknik pantulan flash yang sememangnya menjadi kegemaran jurugambar perkahwinan. Teknik pantulan flash atau bounce flash ini sememangnya terbukti dapat menghasilkan kesan gambar yang lebih menarik dengan menghasilkan bayang-bayang yang lebih lembut dan sebaran cahaya yang lebih teratur pada subjek dan keadaan sekeliling. Teknik ini juga kadangkala memberikan impak atau kesan bayang-bayang seolah-olah gambar diambil di studio fotografi. Tetapi tahukah anda sebenarnya teknik pantulan flash ini adalah terhad penggunaannya.

 

Penggunaan pantulan flash terhad kepada keadaan bilik atau ruangan yang mempunyai permukaan untuk cahaya dipantulkan samada pada dinding di tepi atau siling di atas. Maka tidak hairanlah jika teknik ini menjadi kegemaran jurugambar-jurugambar perkahwinan di Malaysia kerana kebanyakan majlis-majlis kahwin di sini diadakan di dalam rumah atau bangunan. Tambahan pula dengan iklim khatulistiwa, suhu panas dan hujan yang tidak menentu kebanyakan bakal-bakal pengantin akan memilih untuk mengadakan majlis mereka di dalam berbanding diluar rumah atau bangunan. Tetapi bagaimana pula dengan acara-acara atau majlis perkahwinan yang dilangsungkan di luar rumah atau dewan yang luas dengan permukaan siling yang sangat tinggi? Apakah teknik pantulan ini masih praktikal? Jawapannya sudah tentu tidak, kerana pantulan tidak akan dapat dibuat dengan berkesan atau cahaya tidak dapat dipantulkan langsung, maka sia-sialah anda menggunakan flash.

Dalam situasi ini teknik pantulan harus digantikan dengan teknik terus atau direct flash untuk mendapatkan gambar yang dikehendaki. Di dalam dewan luas dan siling yang tinggi, kekuatan cahaya dari pantulan flash akan beransur-ansur kurang dengan jarak laluan cahaya yang sangat jauh. Maka cahaya yang sampai kepada subjek adalah sangat sedikit dan tidak mampu untuk memberikan pencahayaan penuh untuk dirakam. Untuk mendapatkan cahaya yang cukup, anda harus menggunakan kekuatan penuh unit flash anda dan ini mungkin akan menyumbang kepada kehausan bateri yang lebih cepat dan jangka hayat unit flash itu sendiri menjadi lebih pendek. Dengan menggunakan teknik flash secara terus, masalah ini akan dapat diatasi dengan mudah dan berkesan. Jika siling dewan yang terlalu tinggi tadi menjadi masalah, apakan pula jika hendak dibandingkan acara atau sesi fotografi di luar bangunan yang beratapkan langit.

merakam-gambar-dengan-keadaan-latar-belakang-yang-cerah
Merakam gambar dengan keadaan latar belakang yang cerah

Bagi sesi fotografi di kawasan terbuka di luar bangunan terutamanya di waktu tengahari,keadaan sudut kedudukan matahari yang tegak di atas kepala akan menghasilkan bayang-bayang yang kurang menyenangkan terutama di bahagian-bahagian terlindung seperti di bawah mata, dagu dan dahi bagi subjek bertudung atau memakai topi. Bayang-bayang ini dapat dihilangkan dengan kaedah atau teknik terus. Ini dinamakan teknik ‘fill flash’ malah teknik terus atau direct flash ini juga dapat mengatasi keadaan cahaya yang rumit seperti kehadiran sumber cahaya lain di belakang(back light) subjek yang bertentangan dengan lensa kamera anda. Dalam keadaan ini, anda hanya perlu mendapatkan kiraan yang sesuai bagi latar belakang subjek dan masalah pencahayaan subjek di hadapan anda akan di ambil alih atau diselamatkan oleh teknik flash secara terus tadi. Dengan ini anda akan mendapat hasil pencahayaan yang seimbang di antara latar belakang dan subjek di hadapan.

Seperkara lagi yang anda perlu tahu, dengan menggunakan teknik pantulan, anda sebenarnya mengunakan tenaga bateri yang lebih jika dibandingkan dengan teknik terus terutamanya jika anda menggunakan kuasa penuh flash untuk mendapatkan gambar yang diperlukan. Berbeza dengan teknik terus atau direct flash di mana cahaya yang diperlukan adalah lebih sedikit kerana kehilangan cahaya adalah sangat kurang. Cahaya yang dikeluarkan akan sampai terus kepada subjek. Kitaran semula kuasa flash akan mengambil masa tertentu dan lama. Kadangkala kuasa flash yang sangat tinggi tidak disarankan untuk penggunaan burst atau continuous mode. Kebiasaannya burst atau continuous mode ini akan digunakan bagi mendapatkan saat-saat penting di dalam sesuatu majlis seperti majlis-majlis formal dan acara-acara penting yang melibatkan orang-orang kenamaan. Berbanding majlis perkahwinan di mana acara berjalan dengan lebih tenang dan perlahan, acara-acara perasmian atau majlis-majlis formal berjalan dengan lebih pantas dan saat-saat penting sukar untuk diulang contohnya ucapan dari kerabat-kerabat diraja atau Perdana Menteri Malaysia, saat ketika berjabat tangan antara dua wakil negara dan senyuman kegembiraan para menteri hanya berlaku pada saat-saat tertentu. Setiap saat diambil kira bagi mendapatkan gambar yang terbaik untuk dimuatkan di dada-dada akhbar contohnya. Bagi menyelaras penggunaan burst atau continuous mode ini, teknik terus adalah kaedah yang paling berkesan tanpa risiko yang tinggi seperti pencahayaan yang kurang dan kehabisan bateri di saat-saat penting.

merakam-gambar-pada-waktu-tengahari
Merakam gambar pada waktu tengahari

Namun antara kekurangan teknik direct flash ini adalah kesan cahaya yang agak kurang menyenangkan pada bahagian-bahagian muka dan permukaan yang banyak memantulkan cahaya. Masalah ini boleh diatasi dengan menggunakan defuser pada unit flash bagi melembut dan menghilangkan pantulan cahaya yang keterlaluan.

Bagi mereka yang kurang mahir dengan teknik ini pula, mungkin mod TTL pada tetapan flash boleh membantu manakala bagi mendapatkan kawalan pencahayaan sepenuhnya terhadap subjek, mod manual pasti tidak mengecewakan. Bagaimanapun penggunaan kedua-dua teknik ini diterima pakai oleh jurugambar di seluruh dunia. Samada teknik pantulan atau terus itu tidak penting kerana perkara utama di sini adalah anda harus mengenal pasti saat yang sesuai untuk menggunakan kedua-duanya dan latihan yang cukup serta penguasaan penuh terhadap alatan fotografi yang anda gunakan terutama unit flash itu sendiri. Selain itu anda harus faham dan jelas bahawa antara satu cabang fotografi dengan cabang fotografi yang lain adakalanya berbeza. Teknik fotografi tertentu adakalanya hanya sesuai untuk cabang fotografi tertentu sahaja dan berbeza mengikut gaya fotografi masing-masing. Yang penting di sini adalah semua cabang atau gaya fotografi adalah bertujuan untuk mendapatkan gambar yang terbaik dalam berkarya dan melaksanakan tugasan fotografi yang diberikan. Semoga selepas ini kita akan lebih yakin dan jelas tentang teknik flash secara terus ini dan waktu yang sesuai untuk menggunakan teknik pantulan.

 

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 01 (Jun/Julai 2011)