Dialog dan Peluru

11/04/2018 | miza

Teks & Foto: Mohd Azlan M.A.M08

A Samad Said
A Samad Said

 

Setiap karya fotografi mempunyai dialog–dialognya yang tersendiri. Dialog inilah yang menggambarkan eksplorasi visual dan minda seseorang pengkarya atau lebih mudahnya di sini seorang jurugambar. Ya, itu yang kita kenali: seorang jurugambar. Samada kita sedar atau tidak, ada kalanya gambar tanpa dialog lahir daripada seorang Tukang Ambil Gambar (TAG). Istilah ini mula diperkenalkan apabila mana industri menyaksikan sesuatu perancangan aspek dan sudut visual fotografi, gubahan seni atau koreografi sesuatu konsep fotografi itu dilakukan oleh seorang pengarah seni dan sang jurugambar hanya bertindak sebagai pemetik butang dedahan dan mungkin juga pengendali aspek pencahayaan. Agak kurang enak bunyinya namun dalam susur realiti kehidupan yang pahit tetap menyimpan seribu satu pengajaran, tetap harus ditelan.

Visualisasi dan imaginasi yang mempunyai dialog yang kukuh mampu untuk menangani visualisasi ruang waktu yang dapat diterjemahkan ke layar dunia yang kompleks dengan waktu yang berbeza ataupun berdasarkan pemahaman daripada budaya yang berbeza. Kerana apa? Dialog-dialog yang terkandung di dalamnya dapat menerjah batas–batas ruang dan waktu tanpa adanya kekangan atau skala penjumudan untuk persepsi semasa atau rambang. Seseorang pengkarya itu tahu untuk mengaplikasi metodologi kualitatif dengan pendekatan psikologi kognitif yang mengobservasi setiap rentetan karyanya dengan satu pengalaman berguna (baik fizikal mahupun visual) yang tinggi imaginasinya. Bagi saya, imaginasi inilah yang membezakan kita, setiap satu di antara kita khususnya. Tidak kira dalam pengkelasan fotografi apa-apa sekalipun, samada susuk ‘master’ atau bukan.

Land of Papillon

Fotografi sebagai salah satu daripada cabangan seni visual juga turut mempunyai nilai-nilai psikologi komunikasi, pembinaan karektor (sahsiah) dan penceritaannya. Ternyata antusiasme masyarakat terhadap fotografi bukan hanya datang dan lahir daripada pemahaman tentang apa yang saya perkatakan ini, fotografi juga sebenarnya turut lahir hasil kesan kenikmatan yang tersarung bersama bahasa rupa dari ribuan gambar-gambar yang kita lihat. Gambar yang sering dihidangkan oleh seseorang pengkarya itu adalah satu refleksi mengenai pilihan yang cuba dikongsi dan disampaikan secara visual oleh si perakam tadi. Itulah dunianya yang mahu sama dikongsi. Baik dunianya maka baiklah dialog dan persembahan karyanya.

Saya sering berfikir apakah teknologi terbaru yang serba hebat dalam dunia fotografi masa kini dapat menghasilkan bahasa visual yang baru atau dialog-dialog visual yang baru? Apakah teknologi ini berpengaruh dalam menghasilkan satu bahasa visual yang baru? Apakah dengan kehadiran teknologi baru dapat menterjemahkan satu relevansi yang dapat menjana satu pasca perubahan radikal dalam penghasilan karya atau bahasa visual fotografi itu sendiri termasuk dialog-dialognya? Begitu banyak intervensi yang kita lakukan namun sedarkah kita bahawa kita masih lagi tepu dalam melunasi dialog-dialog yang sepatutnya pergi dan terbang lebih jauh, sama jauhnya dengan teknologi terkini yang sudah mula menyusur ke langit. Makin jauh kita melangkah, makin luas penghayatan realiti kehidupan kita. Itu yang sepatutnya.

Percayalah, semua penjanaan kekuatan bahasa visual dalam sesuatu corak manifestasi dan penghasilan karya fotografi pasti tidak kesampaian andai kita terus dibuai atau digula-gulakan dengan bawaan sibernatik yang berteraskan populariti dan strategi keuntungan semata-mata. Satu wacana dominan yang sedang berleluasa ketika ini ialah penganjuran sesuatu keramaian fotografi yang menjurus potensi khalayak ke arah yang lain dan tujuan sebenar pengkapitalisasi seni fotografi itu akan hilang begitu sahaja. Dimana dialog-dialog yang sepatutnya harus kita pertahankan berbekalkan senjata moden terkini yang kita miliki melingkari pinggang dan dada kita yang bergelar seorang jurugambar. Berapa ramai di antara kita yang hari ini berjalan hebat dengan senjata yang serba moden dan sofistikated namun kelongsong pelurunya, kosong. Kosong.

My Own Mind

Imejan yang baik adalah satu imejan yang mempunyai cirian katalistik dan kognitif, mengikut istilah moden inilah yang dikatakan imej-imej yang ‘power’. Imej-imej yang mempunyai kekuatannya yang tersendiri. Dimana letaknya kuasa imej tersebut akan kita rungkai dalam artikel yang lain. Imej-imej seperti ini terus menakluki carta ingatan memori kita sebagai satu siri penjelajahan dan eksplorasi visual serta minda kita. Nilai-nilai penambahan pada bahasa visual inilah yang kita panggil sebagai pengalaman dalam etika visualisasi. Etika visualisasi itu pula lahir dalam konteks tatabahasanya yang tersendiri. Dalam konteks tatabahasa fotografi yang berpaksikan realiti, kehadiran fotografi itu sendiri adalah secara ‘jujur’ untuk menerang serta merungkai erti sebenar realiti melalui kaca kanta alatan perakam dan si perakam. Kejujuran inilah yang adakalanya sukar untuk difahami.

Tatabahasa seni foto tidak lari berbanding tatabahasa seni-seni visual yang lain. Cirian fundamental seperti komposisi, keharmonian, penjajaran dan kesejajaran, pengcahayaan, warna, garisan, tekstur, jisim dan pergerakan. Agak berat untuk difahami namun inilah ertikata tatabahasa seni foto itu sendiri. Kita memang dan pastinya pernah melewati daerah-daerah ini, cuma mungkin kita terlepas menghayatinya akibat tingkap dan cerminan diri yang sentiasa tertutup rapat. Rapat biarlah jelas, jangan rapat yang menyempitkan. Kebolehan kita untuk memahami konteks ini adalah bergantung kepada manifestasi corak fizikal dunia yang kita lalui dan konstruksi mental seseorang itu. Cetek pemikiran maka ceteklah keupayaan kita.

Umpama mutiara di dasar laut, pemahaman adalah sesuatu yang harus dicari. Ia tidak akan menerjah kamar atau kotak minda dan visualisasi dengan mudah begitu sahaja. Karya yang kosong, tidak berdialog hanya mampu dinikmati oleh mereka-mereka yang kosong jiwanya. Gambaran akan kosongnya jiwa sang perakam dan yang menikmati akan hasilannya sangatlah menakutkan. Kita lihat di alam sirkulasi siber betapa susuk tubuh yang memperjuangkan suatu erti kekosongan masih mendapat tempat di carta aliran pemodenan fotografi itu sendiri. Kerana apa? Kerana kosongnya aliran pemikiran kita dewasa ini. Betapa mentahnya kita dalam memahami wadah dan wacana foto yang sebenarnya.

Exif_JPEG_PICTURE
Ghost X

Ada sahabat yang sering bertanyakan kepada saya apa itu karya yang kosong? Kosong: tiada rupa, tiada rasa, tiada pengisian. Amat menyedihkan kerana kita sepatutnya sedar bahawa dialog sesebuah foto atau imej itu seharusnya sarat dengan pengisiannya yang tersendiri, umpama variasi pada corak komposisi itu sendiri. Tiada limit dan noktahnya.

Seharusnya kita perkayakan setiap karya kita dengan nafas ilmu dan seninya yang tersendiri. Karya-karya seperti ini bisa bercerita dengan banyaknya kerana apa? Kerana dialog-dialog visualnya yang melirik halus dan kunjung datang tanpa henti. Selagi manusia boleh berinterpretasi dan menunjangi aspek persepsi masing-masing, maka selagi itulah karya-karya bermutu akan terus melingkari kotak peradaban visual kita. Persoalannya, di manakah kita pada hari ini?

 

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 15 (Okt/ Nov 2013)

fg15-cover