CASIO EX-FR100L

31/05/2017 | miza

2.1

Casio memperkenalkan kamera digital Casio versi terbaru dalam siri EXILIM FR, EX-FR100L. Casio EX-FR100L menghasilkan semula imej mempersona yang menonjolkan wajah cantik pengguna berlatarbelakangkan pemandangan yang indah sekaligus menjadikan ia satu aksesori penting kepada peminat swafoto.

Kamera digital baru ini mempunyai fungsi Make-up Art yang dinaiktaraf bagi menghasilkan semula potret diri sempurna dari segi kelicinan kulit serta peningkatan penepuan warna dan kontras latar belakang menerusi mod “Make-up Vivid” dan “Make-up HDR”. Make-up Vivid menghasilkan gambar menyerupai seni lukis moden dengan warna-warna cerah manakala Make-up HDR menekankan kontur untuk menghasilkan gambar yang lebih artistik.

2.10

Malah, untuk menyerlahkan kesempurnaan gambar potret diri, EX-FR100L membolehkan pengguna melaraskannya sehingga 12 tahap kelicinan kulit dan enam peringkat warna kulit, sama ada dengan mencerahkan atau menggelapkan kulit.

EX-FR100L juga dilengkapi dengan lensa bidang luas 16mm dengan fungsi kaki panjang iaitu satu fungsi baharu yang menjadikan kaki anda kelihatan lebih panjang dan langsing.

Selain daripada itu, kamera ini juga dilengkapi dengan ciri-ciri kalis air, kalis debu dan reka bentuk tahan kejutan siri FR yang membolehkan pengguna mengambil gambar sendiri dalam tetapan aktif. Sepertimana model siri FR sebelum ini, kamera serta alat kawalan boleh dipisahkan untuk membolehkan pengguna mengambil gambar sendiri dari pelbagai sudut – dari potret jarak dekat hingga jarak jauh.

1.9

EX-FR100L turut mengekalkan sambungan terus dengan telefon pintar yang dipasang dengan aplikasi sambungan EXILIM menggunakan bluetooth bagi membolehkan imej yang disimpan dalam kamera dapat dilihat dan dipindahkan ke telefon pintar dan dimuat naik ke laman media sosial.