Teks & Foto: Sharkawi Che Din

Tanpa cahaya, dunia akan menjadi gelap. Permukaan subjek yang tidak disinari cahaya tidak akan dapat ‘dilihat’ oleh sensor kamera walaupun ia merupakan elemen penting dalam sesebuah komposisi gambar. Iluminasi cahaya berperanan menyinari permukaan objek yang kemudiannya membolehkan subjek dirakam dengan menggunakan teknik fotografi. Cahaya akan bertindak sebagai elemen utama dalam membentuk karekteristik sesebuah objek untuk mengekalkan bentuk, isipadu dan warna dan mentranformasikan subjek biasa menjadi karya yang luarbiasa. Sehubungan dengan ini, peranan cahaya dalam seni fotografi bukan sahaja sekadar menyinari permukaan objek, lebih penting daripada itu adalah mengenal pasti sumber cahaya memberikan sinaran yang terbaik yang bersesuaian dengan permukaan sesebuah subjek.

Fungsi cahaya inilah yang jarang dikuasai oleh kebanyakan orang terutamanya mereka yang terlibat secara langsung dalam bidang seni fotografi alam semulajadi. Lazimnya, proses merakam gambar-gambar semulajadi melibatkan tiga tahap utama iaitu; 1)menentukan lokasi, 2)mengambil bacaan meter cahaya, dan 3)merakam gambar. Akan tetapi seorang jurufoto yang analitikal akan menjadi lebih peka terhadap cahaya dan bagaimanakah kesannya terhadap permukaan objek yang bakal dirakam.

Apakah iluminasi cahaya di lokasi dan pada masa tersebut berupaya mewujudkan ilusi tiga dimensi ataupun gambar secara keseluruhanya akan kelihatan datar? Jika ini berlaku, ia mestilah dirakam pada waktu berbeza supaya ia berupaya menyumbang kepada kekuatan subjek dan iluminasi cahaya yang berlaku ketika itu. Kekuatan cahaya semulajadi adalah pada arah cahaya yang berbeza-beza yang berubah mengikut peredaran masa. Memahami ‘bagaimana’ dan ‘bila’ waktunya cahaya semulajadi mengeluarkan sinarnya yang terbaik dapat membantu jurufoto merancang proses rakaman supaya semua permukaan objek disinari dengan iluminasi cahaya yang berupaya menimbulkan ilusi ruang dan ilusi tiga dimensi.
“Side lighting” (cahaya arah tepi) adalah contoh cahaya yang terhasil daripada arah cahaya yang terjadi samada ketika matahari naik dan matahari terbenam. Cahaya arah tepi ini berlaku apabila permukaan objek disinari dengan satu arah cahaya samada daripada arah kiri ataupun kanan. Walau bagaimanapun, karekteristik cahaya tepi ini adalah berkontras tinggi dan sesuai dimanfaatkan untuk menegaskan garis dan bentuk subjek yang dirakam.

Gabungan cahaya semulajadi dengan cahaya “artificial” (cahaya buatan manusia) adalah teknik yang berupaya mewujudkan gabungan tona warna yang unik, luar biasa dan “eye catching”. Hal ini demikian kerana karekteristik cahaya semulajadi dengan cahaya “artifical” diadun supaya menghasilkan sejumlah campuran yang seimbang (ataupun tidak seimbang) yang kemudiannya menimbulkan kontras daripada segi warna dalam sesebuah gambar. “Cityscape” adalah contoh subjek yang boleh digunakan oleh jurufoto untuk mengabungkan teknik ini.
Penguasaan terhadap cahaya dan karekteristik cahaya penting dalam melengkapkan alat keperluan sebagai jurugambar alam semulajadi di samping keperluan-keperluan teknikal seperti perlatan kamera, lensa dan penuras. Penguasaan terhadap aspek teknikal terutamanya memahami jenis dan peranan butang kamera boleh diperoleh dengan membaca manual kamera yang didatangi bersama-sama dengan alat yang dibeli akan tetapi penguasaan aspek estetika seperti komposisi dan cahaya hanya boleh dimantapkan menerusi siri latihan dan proses pembelajaran yang berkala yang dilakukan tanpa jemu kerana ia hanya dapat dikuasai menerusi rentetan proses pembelajaran yang berperingkat dan tiada jalan pintas untuk penguasaan pada tahap maksimum.

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 12 (Apr/ Mei 2013)
