Cabaran menjadi orang Asia

22/10/2019 | miza

Teks & Foto: Arep Kulal

 

Salam hormat dan bertemu lagi dalam keluaran kali ini untuk saya berkongsi pengalaman dan ilmu fotografi saya bersama-sama dengan anda pembaca setia majalah Fotografika.

Rasanya belum terlambat untuk saya mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru 2014 kepada para pembaca sekalian. Saya doakan agar tahun 2014 ini akan menjadi tahun yang lebih baik dalam kerjaya fotografi anda seterusnya hasil karya anda mampu memartabatkan lagi bidang fotografi negara kita.

AK1_8609

Akibat kesibukan tugas di akhir tahun, saya tidak berkesempatan untuk berkongsi penulisan saya dalam 2 keluaran yang lalu. Namun, tempoh itu juga memberi saya peluang untuk mencari idea-idea baru bagi mempertingkatkan penulisan saya untuk dikongsi bersama para pembaca.

Tajuk penulisan saya kali ini mungkin agak kasar. Namun itulah hakikat yang harus kita telan apabila kita berpijak di bumi yang nyata. Pengalaman apabila bertugas di luar negara menyedarkan saya, betapa kecilnya diri kita jika dibandingkan dengan jurugambar dari negara lain terutamanya dari benua Eropah. Sehebat mana pun kita di bumi Malaysia, kita harus sedar kita langsung tidak dipandang apabila berada di luar.

Perjalanan Saya
Di penghujung tahun 2013, saya ditugaskan dalam beberapa acara sukan golf terbesar di Asia. Alhamdulillah, dengan tugasan yang diberi, saya berpeluang memperoleh pengalaman baru dan berkongsi pengalaman dengan jurugambar-jurugambar hebat dari negara lain. Tugasan-tugasan ini juga membuka mata saya pada hakikat bagaimana persepsi masyarakat dunia yang mengatakan orang Asia itu malas, orang Asia itu tidak pandai bekerja, orang Asia itu tidak mempunyai standard kerja yang bagus, masih wujud.

Hasil bidikan saya digunakan dilaman web golf channel

Dalam kejohanan golf, HSBC World Golf Championship 2013 di Shanghai, China, pada bulan November yang lalu, saya terpilih sebagai salah seorang dari lapan jurugambar rasmi yang ditugaskan untuk merakamkan detik-detik sepanjang 6 hari kejohanan tersebut berlangsung. Apa yang menarik, dari 8 jurugambar yang dipilih, hanya saya seorang dari Asia atau lebih tepat lagi dari Malaysia. Kumpulan jurugambar rasmi ini diketuai oleh Ross Kinnaird, jurugambar kanan dari Getty Images. Beliau memberi arahan dan tugasan kepada semua jurugambar rasmi sepanjang kejohanan berlangsung.

Bertugas disamping jurugambar-jurugambar sukan terbaik di dunia seperti Scott Halleran, Paul Lakatos, Colin Dujohn dan Mark Ralston menjadikan diri saya terlalu kecil. Memandangkan saya bukanlah antara jurugambar ternama, apatah lagi saya didatangkan dari Malaysia, saya hanya ditugaskan untuk mengambil gambar-gambar ‘candid’ penonton yang hadir, gambar signage dan banner di lapangan golf dan acara-acara sampingan seperti ‘Golf Clinic’ dan sesi bersama-sama pemain. Saya tidak ditugaskan untuk mengambil gambar aksi di lapangan golf. Sedikit sebanyak tugasan yang diberi mengecewakan saya, namun saya bersikap profesional dan memberikan yang terbaik dalam setiap tugasan yang diberi. Peluang yang saya tunggu akhirnya tiba jua pada hari kedua kejohanan sebenar berlangsung. Saya diberi peluang untuk mengikuti kumpulan pemain ketiga dalam kejohanan tersebut bersama jurugambar, Mark Ralston. Peluang yang terhidang tidak saya sia-siakan. Saya berusaha mengambil gambar dari sudut terbaik dengan harapan untuk membuktikan orang Asia seperti saya juga mampu menghasilkan gambar yang baik. Hasil bidikan saya akhirnya mendapat perhatian Ross Kinnaird. Akhirnya saya terus diberi kepercayaan untuk merakamkan aksi pemain bintang utama Rory Mcllroy pada hari berikutnya.

Dalam puluhan jurugambar yang bertugas, saya bersyukur kerana saya seorang sahaja yang berjaya merakamkan saat ini

Namun sikap diskriminasi terhadap orang Asia, tidak berakhir disitu. Seperti kejohanan golf terbesar yang lain, pemain bintang biasanya mempunyai pegawal peribadi mereka sendiri. Tidak terkecuali dengan Rory Mcllroy yang merupakan antara pemain bintang dan terkemuka di dunia. Pegawal-pegawal ini didatangkan khas dari Eropah. Mungkin mereka menganggap orang Asia masih belum mampu menjadi pegawal peribadi. Namun apa yang mengecewakan saya, salah seorang pegawal ini telah mengherdik dan menghalau saya ketika saya berada di zon jurugambar yang sepatutnya walaupun pada masa yang sama, Mark Ralston berada di kawasan yang dilarang untuk seorang jurugambar. Walaupun menunjukkan pas saya sebagai jurugambar rasmi, berpakaian sebagaimana pegawai-pegawai kejohanan yang lain, saya terus diherdik dengan alasan tidak boleh berada di kawasan tersebut.

Saya cuba bersikap professional tetapi kejadian itu menyedarkan diri saya betapa sukarnya apabila menjadi orang Asia. Orang Barat langsung tidak menghormati kita dan sentiasa memandang rendah kepada kita. Lebih malang lagi apabila ditambah dengan mentaliti masyarakat Asia yang masih mengagungkan mereka yang datang dari negara Barat. Mentaliti masyarakat Asia masih beranggapan, orang Barat itu lebih hebat dari orang Asia. Walaupun masa berubah, mentaliti ini tetap segar.

Komuniti Jurugambar di Malaysia
Jika saya imbas kembali, perjalanan dan pengalaman saya, dari Shanghai ke Jakarta untuk Kejohanan Golf Terbuka Indonesia, dari Jakarta saya ditugaskan pula di Bangkok Thailand untuk satu lagi kejohanan golf paling berprestij dalam kalendar jelajah Asia, Thailand Golf Championship dan saya mengakhiri tugasan tahun 2013 saya di Guangzhou, China untuk Kejohanan Golf Royale Trophy, satu perkara yang membuatkan saya sedar, ianya merupakan sesuatu yang sukar untuk orang Asia seperti saya atau lebih tepat boleh saya katakan orang Malaysia seperti saya menembusi pasaran dalam industri ini yang rata-rata dimonopoli oleh warga Barat.

Mencuba dari pelbagai sudut

Saya perlu melipat gandakan usaha saya dan perlu jauh lebih kreatif dalam menghasilkan kerja saya untuk menyakinkan pengurusan bahawa saya juga mampu menghasilkan gambar yang lebih baik dari mereka. Walaupun kini, hasil karya saya telah ‘bercakap bagi pihak saya’ dan mampu meyakinkan pengurusan untuk terus memilih saya namun saya tidak boleh berpuashati dengan apa yang ada, sebaliknya saya perlu terus berusaha dan berusaha untuk terus menembusi dominasi mereka.

Disebabkan itu, saya sering berpesan kepada komuniti jurugambar di Malaysia. Perjalanan karier dan pengalaman saya telah menyedarkan saya betapa cabaran yang kita hadapi cukup besar. Kita tidak boleh lagi sekadar berkokok di laman sendiri. Kita tidak boleh lagi gah dengan hasil karya kita di bumi Malaysia. Kita perlu sedar, untuk menjadi yang lebih baik, kita perlu keluar dan berani menghadapi cabaran di luar yang lebih besar.

Kadangkala saya sedih melihat ada di antara kita yang merasakan diri mereka terlalu hebat. Mereka ini tidak habis-habis mengkritik orang lain seolah-olah mereka sudah cukup hebat dalam genre fotografi yang dilakukan. Mereka bangga bila digelar ‘master’, ‘otai’ ataupun ‘sifu’, gelaran-gelaran yang cukup sinonim bagi dunia fotografi kita. Laman Facebook menjadi medan untuk individu seperti ini mempamerkan hasil karya mereka. Mereka bangga apabila mendapat ribuan ‘like’ dan ratusan komen yang memuji. Lebih malang lagi apabila ada di antara mereka yang mengajak ‘pengikut-pengikut’ mereka di laman sosial seperti facebook untuk bersama-sama mengutuk jurugambar yang lain.

Penggunaan lensa yang sesuai boleh digunakan untuk menghasilkan sesuatu gambar yang lebih menarik

Namun perkara yang paling membimbangkan saya pada waktu ini ialah fenomena mencuri hasil karya orang lain dan mengatakan bahawa itu adalah hasil kerja mereka. Perbuatan terkutuk ini yang dilakukan oleh mereka yang mengelarkan diri mereka seorang jurugambar adalah satu perbuatan yang tidak boleh dimaafkan. Meraih hasil pendapatan dengan mencuri hasil karya orang lain, menjadi terkenal dengan mempamerkan hasil orang lain adalah satu perkara yang harus kita banteras habis-habisan. Perkara yang penting, individu seperti ini seharusnya tidak layak berada dalam industri fotografi di negara kita.

Fenomena mencuri hasil karya orang lain sebenarnya tidak hanya terbatas dikalangan jurugambar. Kita bertambah malang, apabila media arus perdana juga melakukan perbuatan yang sama. Ketua-ketua jabatan, unit editorial, seringkali mengambil jalan mudah dengan mengambil gambar-gambar di laman-laman sosial untuk dijadikan tajuk berita. Walaupun pelbagai tindakan boleh diambil namun perkara ini tetap berlaku. Kita ibarat mentimun, mereka ibarat durian, ‘mengolek rosak, digolek kita binasa…’. Mereka ini berasakan diri mereka ‘kebal’ lantas apa-apa jua yang dilakukan, halal buat mereka.

Antara hasil kerja saya yang menjadi pilihan media

Saya akui, inilah perkara malang apabila menjadi orang Asia dan orang Malaysia khususnya. Sikap dan perasaan dengki yang menebal dalam diri orang-orang kita dan sikap rakus mereka yang berada di atas merompak hasil karya orang lain, sebenarnya tidak menguntungkan sesiapa. Dikala jurugambar kita masih lagi dipandang rendah di luar negara, jurugambar yang ada di dalam negara kita pula ‘dipaksa berperang’ sesama sendiri.

Saya mengambil kesempatan ini untuk berpesan kepada rakan-rakan seperjuangan;-

INGATLAH : Dunia fotografi dan khususnya genre sukan tidak sebesar manapun. Marilah kita saling menghormati antara satu sama lain. Buanglah sikap hasad dengki dan tikam belakang kerana ianya tidak akan membantu kerjaya anda. Satu hari nanti, apabila orang sudah tahu perangai buruk anda, ianya akan menjadi penghujung kerjaya anda.

INGATLAH : Dunia ini terlalu luas untuk anda jelajahi. Simpan sahaja dulu perkataan ‘master’, ‘sifu’, ‘otai’ yang anda banggakan itu. Keluar dan rasailah pengalaman bekerja di luar. Barulah nanti anda sedar bertapa kecilnya diri anda dan bertapa bersyukurnya anda berada di bumi Malaysia.

Sertai saya untuk memartabatkan dunia fotografi di Malaysia. Salam buat semua!

 

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 17 (Feb/ Mac 2014)

fg17-cover-rgb