Bertanya atau Tidak?

25/02/2017 | miza

Teks & Foto: Shuhada Hasim

Books Trader Chowrasta
Books Trader Chowrasta

Baru pulang daripada MOCAFEST Masterclass Art of Seeing bersama Sidi Peter Sanders. Dalam banyak-banyak perkara yang beliau kongsikan, satu perkara yang menangkap perhatian saya adalah mengenai bertanya atau tidak. Memohon atau tidak.

Peter telah berkongsi pengalaman beliau sewaktu berkelana ke satu daerah terpencil dalam satu negara di Benua Afrika. Misi utama kembara itu adalah untuk merakam potret seorang tuan guru yang alim di perkampungan tersebut. Sebagai jurugambar, Peter telah membuat penyelidikan tentang latar belakang subjeknya itu. Beliau datang bersama seorang sahabat yang menurutnya akan mendapatkan kebenaran daripada tuan guru itu untuk dirakam potretnya. Selang dua minggu berlalu dan masa yang ada untuk mereka tinggal di situ juga hampir tamat, sahabat Peter masih belum bertanya unutk mendapatkan kebenaran yang amat diperlukan saat itu. Beliau semakin resah & gelisah.

Iban Worrior
Iban Worrior

Dalam konteks fotografi potret, subjek datang daripada perbezaan lelaki atau wanita, berbagai lapisan umur, berbeza latar belakang, pandangan, pendirian, pegangan, agama dan budaya. Dalam penghasilannya, setiap potret yang ‘bercerita’ kepada masyarakat mempunyai kekuatan tersendiri. Kekuatan itu datang daripada wajah yang dipotret. Itulah ceritanya. Bagaimana wajah ingin bercerita kiranya tidak ada keikhlasan atau kejujuran atau kebenaran daripada wajah itu. Kiranya, seorang jurugambar baru pertama kali bertemu seseorang, adakah jurugambar itu akan terus dipercayai oleh orang itu? Bagaimana wajah itu ingin ‘bercerita’ dan membuka rahsia tanpa kepercayaan terhadap jurugambar itu.

Bertanya atau tidak? Siapakah subjek kita? Adakah beliau orang yang dihormati dalam masyarakat. Atau sesorang peniaga kedai runcit veteren yang kelihatan santai membaca surat khabar di pagi hari bersama segelas kopi.

Sivarajah Artist

Soalan yang ditanya pelajar apabila bersedia untuk keluar merakam gambar di jalanan atau kawasan umum, “Bagaimana jika kami dihalau atau tidak dibenarkan mengambil gambar?” Persoalannya, sebelum dihalau, adakah kita telah meminta kebenaran untuk mengambil gambar?

Tidak ada satu perkara pun yang tidak dapat dileraikan kekusutan dan kebuntuan dengan menggunakan komunikasi. Bertanya atau tidak adalah satu kemahiran komunikasi yang paling asas. Bukalah mulut, bertanya khabar. Hulurkan salam. Tunjukkan betapa berminatnya kita untuk mengetahui tentang sesorang itu. Beritahu padanya betapa mahirnya beliau dalam melakukan pekerjaannya. Katakan sesuatu yang rawak, tetapi terancang. Fahami keadaanya, gembirakan hatinya sehingga wajah tidak tertahan dan terus melemparkan senyuman. Sedikit atau banyak senyuman itu teruskan berkata-kata dengan seikhlas hati sehingga senyuman bertukar menjadi tawa. Saat hati mereka berbunga ria, tanyalah mereka, “boleh saya ambil gambar?”

 1
Bidayuh at Mongkos

Saat mereka telah membuka hati untuk tertawa riang, bermakna kita telah diterima ke dalam ‘ruang’ mereka, mungkin sebagai kawan baru. Tanpa diminta, wajah mereka akan terus ‘bercerita’ untuk kita rakamkan potret itu.

Peter Sanders akhirnya berjaya mendapat kebenaran yang dinantikan. Tanpa perlu meminta selain daripada kebenaran itu, seluruh aktiviti harian tuan guru adalah cerita yang diinginkan. Orang alim itu tidak pernah dirakam potretnya sebelum kehadiran Peter Sanders. Harapan Peter wajah itu ingin diabadikan sebagai salah satu ‘gunung’ dalam sebuah buku yang sudah sangat hampir ke penghujung prosesnya. Kini, tuan guru itu juga telah kembali kepada sang pencipta.

Potret itu adalah lebih baik apabila kita merakamnya dengan bertanya dan mendapat kebenaran daripada tuan punya wajah dan juga jiwa.

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah digital Fotografika isu 27 (Okt/Nov 2015)

FG27 Cover