Berani mencuba sesuatu yang baharu, Fotografi Jalanan – Hazwani Hill Junaidi

04/01/2018 | miza

Temuramah: Miza          Foto: Hazwani bt Hill Junaidi

 

IMG_7050

 

Ceritakan sedikit mengenai latar belakang saudari.
Nama saya Hazwani binti Hill Junaidi, 25 tahun dan berasal dari Sarawak. Saya bekerja sepenuh masa sebagai juruteknologi pergigian di sebuah klinik pergigian kerajaan di Kuala Lumpur. Saya mula meminati bidang fotografi sejak dibangku sekolah lagi dan mulai serius dalam genre fotografi jalanan sejak 7 tahun yang lalu.

foto5Bagaimanakah saudari boleh terlibat dalam fotografi jalanan ini?
Bermulanya terlibat dalam bidang ini apabila saya melihat hasil karya Tatsuo Suzuki dan Alex Webb. Saya tertarik dengan keunikkan penceritaan di dalam hasil karya fotografi jalanan mereka. Malah, saya tertarik dengan genre ini kerana ia merupakan satu genre yang pada awalnya kurang mendapat perhatian di Malaysia berbanding genre fotografi lain.

Apakah kesulitan yang dialami saudari semasa penglibatan awal dalam fotografi jalanan?
Kesulitan yang dialami dari segi keberanian kerana tidak ramai wanita yang berkecimpung dalam genre ini. Malah, pada awalnya saya lebih banyak bergerak sendiri untuk mencari gambar memandangkan pada ketika itu saya tidak mengenali sesiapa yang mempunyai minat yang sama.

Apakah yang ingin disampaikan kepada penonton menerusi hasil karya saudari?
Saya menginginkan gambar itu sendiri yang berbicara. Setiap orang yang melihat hasil karya saya boleh memahami cerita yang ingin saya sampaikan mengenai kehidupan disamping menyentuh hati dan perasaan melalui hasil karya yang saya cipta. Mungkin ada tangisan apabila kesedihan dan ketawa apabila mencapai kejayaan. Momen yang terbaik dicipta mampu menerbitkan kesan pembalikan kepada mata penonton.

foto1

Bagaimanakah saudari mendapatkan subjek bagi sesebuah hasil karya?
Saya melihat subjek dari segi hubung kait jalan penceritaan dengan persekitarannya. Oleh itu, subjek dan latar belakang mempunyai kesinambungan jalan cerita yang jelas dan mesej dalam gambar tersebut juga dapat disampaikan kepada penonton. Sebelum keluar rumah, saya akan fikirkan sesuatu untuk dirakam pada hari tersebut agar lebih fokus dalam mendapatkan sesebuah hasil karya yang berkualiti.

Adakah saudari lebih meminati menghasilkan karya berwarna ataupun hitam putih? Kenapa?
Penggunaan warna bergantung kepada foto yang saya ingin rakamkan. Secara peribadi, saya tidak memilih sama ada menghasilkan karya berwarna mahupun hitam putih kerana ia bergantung kepada bagaimana cara penyampaian sesuatu cerita dalam hasil karya tersebut.

Nasihat saudari kepada jurugambar wanita khususnya yang ingin berjinak-jinak dalam genre fotografi jalanan ini.
Bagi saya, lebih elok jika kita jadi diri sendiri dan beranikan diri untuk mencuba sesuatu yang baharu. Keluar dari kotak keselesaan diri dan jangan malu untuk bertanya kepada senior-senior yang telah terlibat lama dalam bidang ini serta teruskan mencuba walaupun ianya agak mencabar bagi kita sebagai seorang wanita.

 

foto4

 

Facebook: Wani Hill Junaidi
Flickr: Wani Hill Junaidi
Instagram: girlhj

 

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 29 (Feb/ Mac 2016)

FG29 Cover