Belajar erti kesabaran dengan merakam burung – Cally Yap

18/12/2018 | miza

Temuramah: Miza

Foto: Cally Yap

48397140_1802718466505145_2664746827407949824_n

Cally Yap merupakan anak jati Malaysia yang telah menetap di Amerika Syarikat atas urusan kerja sejak 2 tahun 6 bulan yang lalu. Beliau amat meminati alam semulajadi dan merakam imej landskap termasuk imej makro seperti tumbuhan liar, bunga, binatang, burung dan haiwan liar. Kerjayanya dalam bidang teknologi informasi ini memberi peluang kepadanya untuk tinggal di beberapa buah negara dan mendalami kehidupan habitat di sekeliling.

8648810141_2ef87045d6_o

Bagaimana saudari boleh meminati bidang fotografi?

Tujuh tahun yang lalu, saya ke Kanada atas tujuan skim kemahiran penghijrahan pekerja. Selain daripada urusan kerja, saya tidak tahu menahu mengenai negara tersebut. Saya sendiri merasakan perlu belajar mengenai budaya yang baharu, suasana yang baharu dan mengenali kawan baharu. Malah, saya telah menyertai Persatuan Malaysia, Persatuan Kebudayaan Asia dan 3 kelab fotografi selama 6 bulan saya di sana. DMCC (Kelab Kamera Don Mills) merupakan kelab kamera yang paling seronok saya pernah sertai pada masa itu. Saya mengenali kawan baharu yang sudi berkongsi pengalaman dan skil fotografi mereka. Kami keluar bersama-sama untuk merakam gambar. Saya mengambil keputusan untuk merakam burung dan unggas air bagi memulakan pelajaran mengenal habitat dan kelakuan penghijarahan menerusi pembacaan buku, menyertai kumpulan pemerhati burung (seperti OFO – Ontario Field Ornithologists, CCFEW).

8649230289_eb2d2dab4e_o

Kenapakah saudari memilih subjek burung untuk merakam?

Saya amat meminati alam semulajadi dimana saya teruja melihat kepelbagaian spesis burung mempunyai penghijarahan yang bermusim. Ianya membuatkan saya berfikir sejauh mana spesis tersebut terbang setiap tahun. Selain daripada itu, saya dapat menghayati kicauan burung yang menandakan permulaan hari baharu. Saya sering mengingati kata-kata salah seorang ketua OFO, Dr John Black iaitu “Birding is good for the soul”.

Bagaimana saudari plan untuk mengadakan sesi rakaman burung?

Saya mula mengenali kelakuan burung menerusi pembacaan dan carian google untuk maklumat lanjut. Seterusnya saya lebih mengemari melihat sendiri dengan mata kasar pada waktu pagi dan ketika matahari terbenam. Dengan pembabitan saya dalam ekspedisi merakam bersama-sama kumpulan OFO dan CCFEW, saya berpeluang untuk mengetahui kawasan baharu dan mempelajari untuk mendengar bunyi burung bagi spesis tertentu.

12731946504_de210eacd2_o

Ada spesis burung yang saudari minatikah? Kenapa?

Burung hantu merupakan spesis burung yang saya gemari untuk merakam kerana burung ini amat menarik disamping saya boleh mencungkil misteri burung pemangsa pada habitat yang berbeza walaupun saya telah mempunyai pelbagai koleksi burung hantu spesis Amerika Utara. Apa yang menariknya mengenai burung ini adalah kepalanya yang boleh ditoleh sehingga 270 darjah dengan mata menghadap ke hadapan seperti manusia.

9703576689_a98ee71f1b_o

Pernahkah saudari terlepas peluang keemasan untuk merakam burung yang jarang dijumpai?

Saya pernah beberapa kali pernah terlepas merakam subjek burung yang jarang dijumpai, walaupun begitu, saya sentiasa mengingati diri untuk bersabar dan teruskan memfokus pada peluang yang bakal mendatang.

Apakah harapan saudari dimasa hadapan sebagai seorang jurugambar?

Saya hanya merakam sebagai hobi sahaja. Saya merakam apabila mempunyai peluang dan masa yang sesuai sahaja. Saya tidak meletakkan sebarang tekanan pada diri untuk merakam spesis yang jarang ditemui seperti rakan-rakannya yang lain yang sanggup menjelajah ke merata-rata untuk mencari koleksi spesis ini.

14552382104_a9ef27f555_o

Apakah yang saudari pelajari sejak terlibat dalam bidang fotografi?

Telah menjadi kebiasaan bagi saya pada awal pagi mahupun ketika matahari melabuhkan tirainya untuk mendengar kicauan burung dari dahan pohon dan sarang mereka. Dengan minat ini, saya juga mempelajari untuk lebih bertenang dan bersabar terutamanya ketika saya ingin merakam spesis burung yang jarang ditemui. Saya pernah mengambil masa 2 tahun untuk mengkaji perilaku burung hantu putih dan menjejak lokasi kedudukan mereka sepanjang musim sejuk di GTA, Toronto. Hanya untuk merakam gambar burung tersebut sahaja telah memakan masa menunggu sehingga 5-10 jam.

Adakah penting untuk memahami perilaku spesis burung tertentu untuk mendapatkan gambar yang terbaik? Bagaimana saudari lakukan?

Sangat penting bagi kita untuk membaca, banyakkan mengkaji dan memerhati perilaku spesis burung migrasi. Malah, kita juga perlu berada di kawasan spesis burung tersebut dalam jangka masa panjang dengan memerhati aktiviti mereka untuk lebih memahami spesis burung tersebut.

Ikuti hasil karya beliau selanjutnya di laman sosial Flickr https://www.flickr.com/people/wingsacrossthesea/.