Teks & Foto: Miza

Apertur merupakan bukaan lensa yang berfungsi mengawal kemasukan cahaya. Apertur ini dilambangkan dengan huruf f. Nilai bukaan bergantung pada lensa yang digunakan dan kebiasaanya nilai bukaan ialah 2.8, 4, 5.6, 8, 11, 16 dan 22. Nombor yang kecil besar bukaannya sementara nombor yang besar bukaan saiznya kecil.
Saiz bukaan apertur berbeza berdasarkan jumlah cahaya yang memasuki kamera. Apabila pengatup dilepaskan, cahaya dibenarkan masuk menerusi apertur. Jumlah cahaya yang memasuki lubang apertur akan mempengaruhi sesebuah hasil karya tersebut menggunakan berdasarkan dedahan cahaya yang berlaku. Malah, apertur juga mengawal ‘depth of field’ atau jarak jelas sesebuah imej, memberikan samada kesan bokeh atau ketajaman yang sekata di setiap elemen yang dirakam.
Kepantasan pengatup dan saiz bukaan apertur saling berhubung kait di antara satu sama lain, kombinasi kepantasan pengatup dan saiz bukaan apertur yang betul akan memberikan nilai dedahan yang terbaik. Bukaan apertur harus lebih luas sekiranya kepantasan pengatup ditambah. Ini kerana dengan ruang masa dedahan yang lebih singkat, ruang cahaya yang diperlukan perlu diperluas bagi sesebuah rakaman imej pada keadaan pencahayaan yang sama.
Contoh:
1/30 saat – F16
1/60 saat – F11
1/125 saat – F8

Jarak Jelas (Depth of Field-DOF)
DOF merupakan jarak jelas hadapan dan belakang titik fokus yang mana subjeknya masih kelihatan tajam. Dengan mengambil contoh tetapan lensa standard pada keluasan apertur F1.8 dan subjek 2meter dari kamera, hanya sedikit latar belakang dan latar hadapan difokuskan. Jika apertur ditetapkan kepada F16 atau F22, jarak ketajaman atau kejelasan latar belakang dan latar hadapan akan bertambah.
Terdapat 2 jenis jarak jelas iaitu cetek dan dalam. Jarak jelas yang cetek biasanya digunakan dalam rakaman potret. Sebagai contohnya, jika subjek ialah muka seseorang akan tetapi latar belakang tidak menarik, anda boleh menggunakan jarak jelas cetek dengan menjadikan latar belakang tersebut kabur maka, fokus pada muka(subjek).
Jarak jelas dalam pula kebiasaanya digunakan untuk rakaman landskap. Sebagai contohnya, jika latar belakang menarik atau subjek merupakan sekumpulan orang pada jarak yang berlainan dari kamera, anda hendaklah menggunakan apertur kecil. Apertur kecil menghasilkan jarak jelas yang lebih mendalam dan meletakkan hampir kesemua subjek berada di dalam kawasan imej tajam.

Nota:
Lebih besar apertur digunakan, lebih cetek jarak jelas atau ‘shallow depth of field’.
Lebih kecil apertur digunakan, lebih dalam jarak jelas atau ‘deep depth of field’.
Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 18 (Apr/ Mei 2014)
