
Merupakan edisi ke-11 pada tahun ini, Art Expo Malaysia (AEM) adalah pameran seni antarabangsa terpanjang yang dikendalikan di Asia Tenggara. Bertempat di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade (MECC) pada 12-15 Oktober yang lalu, menampilkan 70 galeri seni terkenal dan bereputasi baik daripada 25 buah negara mempamerkan 2,000 keping hasil karya (termasuk lukisan, skulptur, pemasangan dan fotografi) di bawah satu bumbung.

“Berpegang kepada objektif utama untuk mempromosikan seni pada komuniti yang lebih luas di samping meningkatkan kesedaran serta menghargai seni di kalangan pengunjung yang hadir. Seni tidak mempunyai sempadan dan ianya merupakan sumber inspirasi pada orang ramai untuk menghayati budaya dan lebih berani menyatakan pandangan masing-masing. Malah, seni juga mengeratkan silaturrahim sesama manusia,” kata Sim Polenn, pengarah hubungan awam Art Expo Malaysia.
Antara galeri seni yang turut sama memeriahkan pameran tahun ini merupakan galeri tempatan seperti A2 Gallery, City Art Gallery, Pelita Hati Gallery of Art, Yahong Art Gallery, Artseni Gallery, Art WeMe Contemporary Gallery, Bank Negara Malaysia Museum and Art Gallery, Core Design Gallery, G13 Gallery, Henry Butcher Art Auctioneers, Jeth Art Gallery, Masterpiece Auction (Tiny Rose Gallery), Minut Init, Taksu, The Print Room dan V’Art Space.

Galeri-galeri dari Malaysia menampilkan lebih 100 penggiat seni termasuklah bakat yang ternama mahupun yang baharu seperti penggiat seni warganegara Malaysia dan penggiat seni antarabangsa daripada Asia Tenggara dan luar negara seperti China, Turki dan Rusia.
Pada edisi sulung 2007, Art Expo menerima kehadiran seramai 2,000 pengunjung. Tahun lepas, 25,000 pengunjung hadir dan sebanyak RM17 juta diterima menerusi penjualan hasil karya.
Terdapat beberapa ciri baharu yang boleh dilihat pada Art Expo tahun ini. Antaranya penggiat seni dari Sabah, Awang Damit Ahmad dimana hasil karyanya telah dilelong di Sotheby dan Christie telah menerima penghormatan dalam ‘Tribute Showcase’ menerusi penglibatan beliau dalam seni moden. Siri hasil karya beliau yang popular seperti Essence of Culture (EOC), Marista Iraga, Payarama dan Garismega dipamerkan pada pengunjung.

Hasil karya Kim II Tae dari Saged Gallery yang berasaskan campuran minyak dan emas 24K pada kanvas ternyata membuka mata pengunjung yang hadir. Tidak kurang juga lukisan dakwat cina penggiat seni dari Hong Kong Chit Fung Art menampilkan hasil karya sifu Jia Youfu, Pan Gongkai, Li Xiaoke, Wang Xijing dan Wang Mingming.
Manakala, bahagian ‘Cultural Exchange’ menampilkan penyertaan dari 12 kedutaan iaitu Argentina, Belgium, Kolumbia, Cuba, Croatia, Ecuador, Itali, Iran, Mexico, Mongolia, Romania dan Jordan mempamerkan hasil karya masing-masing.
Tidak ketinggalan juga booth ATR Gallery yang menjadi tumpuan pengunjung setiap tahun. Anda boleh melihat hasil karya penggiat seni Sepanyol yang terkenal seperti Pablo Picasso, Joan Miro dan Salvador Dali.

Art Ekspo Malaysia dikelolakan di bawah naungan Raja dan Permaisuri Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan DYTM Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Untuk informasi lanjut mengenai acara log masuk pada laman sesawang www.artexpomalaysia.com.