Teks: Ashraf Saharudin

Kenapa lensa yang bagus, lebih berat dan besar? Bukankah dengan kemajuan teknologi pengimejan dan harga yang mahal, sepatutnya lensa dibina lebih kecil dan ringan seperti yang terjadi pada telefon bimbit? Kadang-kala terlintas di benak akal fikiran terutama bagi mereka yang ingin berjinak-jinak dengan dunia fotografi persoalan seperti ini. Ada pula yang membatalkan niat untuk menceburkan diri dalam kerana terkesima dengan harga lensa yang mampu mencecah puluhan ribu ringgit. Sebenarnya kita perlu faham bahawa teknologi peralatan elektronik dan kanta terdapat jurang perbezaan. Bagi sesetengah genre fotografi seperti fotografi sukan dan hidupan liar contohnya, jurugambar-jurugambar sanggup bekerja keras berpeluh-peluh di bawah terik mentari memikul lensa-lensa besar dan berat beharga puluhan ribu ringgit, semata-mata demi menghasilkan imej yang berkualiti tinggi dengan ketajaman yang maksima. Tapi mengapa lensa dibina sedemikian besar dan berat? Bukankah terdapat dipasaran lensa yang memiliki jarak fokal yang sama tetapi lebih kecil dan jauh lebih murah harganya? Sebenarnya jawapan yang dicari terdapat di dalam lensa itu sendiri.
Lensa kamera terdiri dari susunan beberapa jenis kanta yang setiap satunya memiliki peranan yang tersendiri. Kanta pula boleh dibahagikan kepada dua jenis utama, kanta cembung dan cengkung. Kanta yang tengahnya lebih tebal daripada sisi tepi merupakan kanta cembung dan sebaliknya. Apabila cahaya menembusi kanta cembung, garis cahaya tersebut akan difokuskan pada satu titik dibelakang kanta dan titik ini dikenali sebagai titik fokus. Manakala kanta cengkung pula memiliki titik fokus di hadapan kanta.
Kebanyakan produk optik dibina daripada kombinasi dua jenis kanta ini contohnya dengan menggabungkan sebuah kanta cembung dan sebuah kanta cengkung, objek yang berada pada suatu jarak yang jauh dapat dilihat dengan lebih jelas. Prinsip inilah yang digunakan oleh pereka cipta terkenal Galileo Galilea pada kurun ke-17 ketika mencipta teleskop dan prinsip yang sama digunakan dalam rekaan lensa zoom pada zaman sekarang.

Tetapi mencipta sebuah lensa kamera bukanlah semudah yang disangka. Susunan kanta di dalam lensa adalah hasil kajian dan pembangunan teknologi optik yang bertahun lamanya dan semakin hari, tahap kualiti imej yang dihasilkan lensa-lensa di pasaran semakin tinggi dan ada yang mampu mempamerkan tahap kejelasan imej yang sukar dilihat mata kasar.
Terdapat pelbagai cabaran dalam dunia optik. Antara cabaran adalah imej berkontras rendah, ketajaman imej yang terjejas oleh magnifikasi dan aberasi lensa(lens aberration). Aberasi lensa akan menjejaskan kualiti dan tahap ketajaman imej kerana garis cahaya yang difokuskan tidak tertumpu pada satu titik tepat dan imej yang dihasilkan sedikit kurang jelas atau kabur. Salah satu sebab lensa terdiri daripada susunan bukan dua, tetapi beberapa kanta cembung dan cengkung adalah untuk membaiki masalah aberasi ini.
Aberasi pula terbahagi kepada beberapa jenis dan yang paling lazim buat dunia fotografi adalah aberasi kromatik(chromatic aberration). Seperti yang kita tahu, cahaya terdiri daripada beberapa spektrum warna yang berbeza jarak gelombang. Oleh kerana capahan cahaya oleh kanta adalah berbeza mengikut jarak gelombang warna, maka posisi titik fokus imej yang dihasilkan akan terjejas. Imej akan kelihatan sedikit kabur dengan warna yang biasanya jelas kelihatan tersasar dari titk fokus adalah warna biru. Aberasi kromatik ini biasanya dapat diperbetulkan dengan menggabungkan susunan beberapa kanta cembung dan cengkung yang memiliki indek kanta yang berbeza.
Adalah perlu untuk kita ketahui bahawa kanta juga terdiri daripada beberapa jenis. Jika diteliti pada spesifikasi lensa yang dijual, ada dinyatakan jenis-jenis kanta yang digunakan dalam binaan lensa tersebut. Contohnya kanta jenis ‘aspherical’. Kanta jenis ini diperkenalkan pengeluar jenama Nikon pada tahun 1968. Kanta ini terkenal di kalangan pengeluar-pengeluar lensa kerana mampu menghilangkan masalah aberasi lensa. Kanta ini biasanya sangat berguna bagi memperbetulkan kecacatan imej melengkung yang biasa berlaku sewaktu penggunaan lensa bersudut luas. Selain itu kanta jenis ini menyumbang kepada inovasi kanta yang lebih ringan dan berkualiti.
Abbe(1840-1905) membuat penemuan mengenai keupayaan kanta jenis fluorit yang dikenal pasti mampu menghapuskan aberasi kromatik. Pada ketika itu kristal jenis ‘flourspar’ asli digunakan untuk mendapatkan keupayaan magnifikasi pada lensa. Tetapi aplikasi kanta kristal ini terhad kepada kanta berdiameter kecil seperti mikroskop. Keupayaan kanta fluorit dikenal pasti awal oleh Canon dan digunakan pada lensa telefoto bagi menyelesaikan masalah aberasi kromatik.
Kanta jenis ED(Extra-low Dispersion) pula membolehkan lensa menghasilkan imej yang memiliki katajaman yang tinggi dan pembetulan warna dengan meminimakan aberasi kromatik. Sebelum kanta ini diperkenalkan, kanta pada lensa telefoto dibina daripada elemen optik khas yang memiliki sifat serakan cahaya yang luar biasa iaitu kanta kristal kalsium fluorit (CaF2). Tetapi kanta jenis ini mudah retak dan sangat sensitif pada perubahan suhu dan ini menjejaskan operasi pemfokusan imej. Maka hasil kajian dan inovasi teknoligi optik Nikon, kanta jenis ED dicipta dangan memiliki sifat kualiti optik yang sama, tetapi lebih tahan lasak dan tindakbalas perubahan suhu yang hampir tiada.

Kanta jenis HRI(High Refactive Index) pula memiliki indek serakan cahaya lebih daripada 2.0. Ini bermakna kanta jenis HRI menawarkan kesan dan kualiti yang terdapat pada kombinasi beberapa kanta normal dan pada masa yang sama menyelesaikan masalah aberasi dan lengkungan imej. Inovasi kanta HRI ini menyumbang kepada binaan lensa yang lebih kompak dan prestasi kualiti imej yang tinggi.
Pada lensa juga ada diletakkan kanta perlindungan miniskus. Kanta jenis ini biasanya diletakkan pada bahagian hadapan lensa bagi mengelakkan kesan balikan baying-bayang oleh sensor imej atau filem dan kanta perlindungan lain yang terdapat di dalam lensa.
Terdapat sebuah jenis kanta dibangunkan oleh pengeluar Canon yang dikenali sebagai kanta Hi-UD. Memiliki kualiti penghasilan imej seperti kanta jenis florit (CaF2) dan kanta-kanta berkualiti tinggi lain yang mengurangkan aberasi kromatik, kanta jenis Hi-UD juga memiliki indek serakan yang tinggi dan pecahan cahaya yang rendah yang menyumbang kepada binaan lensa yang ringan disamping memperbetul aberasi kromatik lensa. Kanta Hi-UD ini banyak terdapat pada lensa-lensa zoom kemera penyiaran.

Sememangnya terdapat pelbagai lagi jenis kanta yang digunakan pengeluar-pengeluar lensa seperti Zeiss, Leica, Olympus, Fujifilm, Sony, Kodak, Schneider-Kreuznach dan berpuluh-puluh lagi pengeluar lain. Setakat hari ini, walaupun pelbagai jenis kanta dengan gelaran-gelaran atau singkatan-singkatan nama. Pembinaan sesebuah kanta dikira masih lagi terbatas. Dalam pencarian kualiti imej yang tinggi kualiti pada harga yang dianggap mampu milik, segala unsur dan aspek telah diambil kira oleh pengeluar-pengeluar kamera dan lensa dalam menghasilkan lensa masing-masing. Maka setiap lensa yang berada dipasaran, samada bermula daripada yang paling murah mahupun yang mencecah puluhan ribu ringgit, semua itu adalah yang terbaik dalam kategori masing-masing. Penghasilan kualiti lensa adalah mengikut keperluan dan bajet kewangan setiap individu. Aspek utama yang harus diambil kira adalah sejauh mana anda ingin melangkah ke dalam industri fotografi yang menawarkan bermacam-macam menu.
Pada satu tahap tertentu, lensa yang lebih spesifik diperlukan bagi membawa sesebuah karya ke tahap yang lebih tinggi. Fotografi landskap dengan lensa bersudut luas, fotografi sukan dan hidupan liar dengan lensa telefoto, fotografi alam sekitar dengan lensa makro dan bermacam-macam lagi variasi genre fotografi yang menglibatkan variasi lensa yang pelbagai. Kepada mereka yang ingin menceburkan diri dan memiliki kemampuan yang lebih, pelaburan terhadap lensa-lensa professional boleh dikatakan berbaloi jika keupayaan lensa tersebut digunakan sepenuhnya. Kepada mereka yang bermula dengan bajet yang minimal, jangan jadikan itu alasan dalam membataskan penerokaan fotografi anda. Gunakan setiap peralatan yang ada sepenuhnya hinggalah anda berasa perlu untuk mendapatkan peralatan yang lebih baik. Jangan sesekali menjadi hamba kepada alatan fotografi anda. Selamat berkarya.
Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 05 (Feb/Mac 2012)
