Antara Sumbang dan Penyumbang

17/07/2017 | miza

Teks & Foto: Mohd Azlan M.A.M08

 

Exif_JPEG_PICTURE
Bicara Dari Menara i

 

[ ca•coph•o•ny ]

Dalam daerah itu, ada hingar bunyian umpama muzik di alam bunian.
Dalam daerah itu, ada lagu–lagu yang menyapa dalam termanggu.
Dalam daerah itu, ada irama yang bernada sejujur rantaian gema.
Dalam daerah itu, ada lirik sekilas bait-bait yang melirik.
Dalam daerah itu, ada melodi sehalus desiran padi.
Dalam daerah itu, ada sonata merungkai di sisi mata.
Dalam daerah itu, ada harmoni seraya disantap rohani.
Dalam daerah itu, ada yang sumbang dan ada yang menyumbang.

 

Exif_JPEG_PICTURE
Bicara Dari Menara ii

Lagu Tierce de Picardie itu terus menyumbangkan harmoni irama dan jiwanya pada yang mahu mendengar. Maka orkestra simfoni fotografi itu terus berlagu, bergema di alam nyata gugusan minda akal yang mahu menyumbang atau minda akal yang mahu terus dikuintet sumbang. Sang konduktor terus memimpin tanpa erti lelah dan bersalah. Sang konduktor terus memimpin sampai tiba nya detik dia pula yang harus dipimpin. Sang konduktor kini mengerti bahawa hukum alam itu tetap hadir dan pasti berlaku. Sang konduktor kini dalam nafas sugul meliuk mengikut irama ballet dalam dewan yang kini kosong tanpa sang pemerhati . Kosong tanpa isi. Kosong tanpa sumbangan. Tanpa lagu dan irama fotografinya.

Kisah klasik ini terus tertancap di dada–dada sang pengikut yang adanya, mahu mengerti dan adanya terus dibuai alunan penipuan. Kerana apa? Kerana kita telah tidak bisa untuk memahami akan maksud sebenar konduktor fotografi itu dalam gugusan kejujuran dan lingkungan fotografi itu sendiri. Manusia hadir dengan rupa yang sudah jauh berbeza dengan apa yang telah ditetapkan sejak azali, hanya untuk mencari sekawah penghormatan atas nama perjuangan yang bersifat rakus dan duniawi. Manusia berubah dengan adab zaman yang hanya berpaksikan tali–tali duniawi. Antara sumbang dan penyumbang kita terus dimambang tanah kan. Di dalamnya kita sebenarnya sedang meratap tanpa sedar.

 

Exif_JPEG_PICTURE
Bicara Dua Menara

Lalu kita terus berbaris dengan persenjataan yang lengkap, pejuang–pejuang tua dan muda masih memerhati gelagat isi dunia tanpa faham akan apa yang perlu kita lakukan. Nobat terus berbunyi dan gendang perang sudah lama hilang. Kita masih dengan senjata yang semahunya harus terus dimamah usia dan hiruk pikuk kedewasaan sonsang yang kita lalui. Jalan telah dirintis, jalan telah siap di tanda bagi memudahkan haluan. Namun, kita hadir dengan sumbangan yang sangat sumbang untuk rentetan perjalan fotografi kali ini. Kita tidak sedar kerana kita belum disedarkan. Kita masih mahu melarik mimpi enak, indah walaupun dalam kesumbangannya yang tersendiri. Kita terdedah dalam dedahan yang belum cukup terdedah. Kita ‘expose’ yang tidak cukup ‘expose’.

Dalam sisi yang lain, kita masih ramai pendekar usang yang hanya tahu mengeruhkan suasana tanpa mahu menyumbang dalam ertikata yang sebenarnya untuk kemaslahatan semua peringkat pengamal fotografi dan masyarakat khususnya. Ini saya rumuskan dalam satu baris ayat yang sangat ringkas: Sungguh menyedihkan. Inilah yang sedang berlaku sekarang dalam dramatari insitusi dan halatuju industri kita. Hambar, terkapar–kapar tapi penuh dengan kegemparan. Gempar yang penuh dengan lagak–lagak sumbang.

 

Exif_JPEG_PICTURE
Self Portrait 2014

Jika kita telaah akan fenomena ini secara logiknya dari pembawakan budaya yang telah menjadi mainstream ini, kita sebenarnya akan sedar bahawa kita tidak mempunyai daya atau pun hak untuk melabel bahawa fenomena ini adalah sebuah kejayaan atau kemunduran. Ketika industri fotografi ini harus mengalami pendewasaan, kita lebih banyak mendewakan keuntungan tanpa sedar bahawa kualiti dan pencapaian kita masih lagi jauh untuk diterokai. Inilah fasa–fasa yang sedang kita alami. Fasa dimana sumbang dan sumbangan diletakkan di dalam satu kotak yang sentiasa merungkai persoalan, bermacam–macam soalan. Natijahnya, kita semakin bergerak tanpa karya–karya yang sarat dengan kesinambungan. Kita bergerak dengan deruan yang sangat sumbang tanpa pecutan.

Persoalan terus berlari di benak. Sampai bilakah kita harus terus melihat aliran mainstream kita menjadi begini. Dengan Industri dan Institusi yang semakin matang, seharusnya kita tidak terdoktrin dengan dominasi keuntungan semata–mata oleh kautan kapitalis seni dan pengamal fotografi itu sendiri. Nilai moraliti dan etika kita semakin rendah, semakin nipis umpama kulit bawang dan daun kangkung yang jatuh harga. Kemunduran atau kemajuankah yang kita cari?

 

 

Untuk artikel kali ini saya noktahkan dengan “Orang Timur” ( SYJ ) khas buat tatapan kita semua .

Jepun pandang ke barat untuk kemajuan
Apa nak jadi dengan Malaysia
Pandangannya ke mana di mana arahmu
Sedar bangunlah besar dan majukan negerimu

Orang Timur..
Bangunlah..
Besar dan majukan negerimu

Apakah warna kulitmu
Adakah kita sama
Ke manakah perginya
Mana arahmu..

Orang Timur..
Bangunlah..
Besar dan majukan negerimu

Marilah kita bangunkan
Untuk kepentingan kita bersama
Tegaklah langkahmu ke hadapan
Berhenti kejayaan

 

Exif_JPEG_PICTURE
The Fall of The Last Emperor

 

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 17 (Feb/Mac 2014)

fg17-cover-rgb