Teks & Foto: Dr Sharkawi Che Din

Pada 7 Nov 2015, Putrajaya melakar sejarah kerana buat kali ke dua telah berjaya menjadi tuan rumah untuk acara berprestij di peringkat dunia. FIA Formula E Putrajaya ePrix pusingan kedua ini berlangsung dengan jayanya dan mendapat perhatian daripada penonton dari dalam dan luar negara.
Sebagai jurugambar, peluang ini dimanfaatkan sebaik mungkin bukan sahaja untuk merakam gambar-gambar aksi malah jauh lebih penting daripada itu adalah untuk merakam gambar-gambar yang memperlihatkan mercutanda sekitar Putrajaya sebagai lokasi perlumbaan pada tahun ini.

Pemandu ePrix akan melakukan persediaan dengan memastikan kenderaan berada pada tahap terbaik sementara bagi jurugambar pula antara persediaan penting adalah memahami selok-belok perjalanan perlumbaan tersebut. Yakni, jurugambar perlu sekurang-kurangnya faham dilaluan manakah kereta akan melintasi dan bangunan apakah yang mungkin akan dijadikan latar belakang terhadap subjek utama. Perkara ini tidak dapat diteka tetapi beberapa penelitian dan langkah awal boleh dilakukan bagi memastikan mercutanda dapat dikenalpasti sehari sebelum perlumbaan bermula.

Antara langkah yang dapat dilakukan oleh jurugambar ialah dengan mendapatkan peta lokasi yang disediakan oleh pihak penganjur. Peta ini biasanya boleh dimuat turun daripada sesawang FIA. Langkah berikutnya ialah meneliti setiap sudut lokasi yang tercatat di dalam peta dan cuba bayangkan ‘point of view’ (POV) yang bakal diperoleh daripada lokasi tersebut. Tanda di dalam peta tersebut. Langkah berikutnya ialah pergi ke lokasi berkenaan sama ada sebelum hari berlangsungnya acara atau pun hadir awal pada hari yang sama sebelum perlumbaan.
Daripada segi teknikal pula, penggunaan pengatup (shutter) perlahan sekurang-kurangnya dapat mengaburkan pagar di hadapan jurugambar. Ini berbeza dengan jurugambar media kerana mereka disediakan dengan tingkap jurugambar (photographer window) bagi membolehkan mereka melihat terus ke litar tanpa sebarang halangan.

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah digital Fotografika isu 28 (Dis 2015/Jan 2016)
