Alan Ng ‘Master Printer’

09/01/2017 | miza

Temuramah: Ashraf Saharudin                    Foto: Alan Ng

a003

 

Penulis terpanggil untuk menghadiri sebuah pameran seni ‘Horizon’ di Galeri Artelier di Publika Februari lalu. Sebuah pameran landskap Malaysia yang dizahirkan dalam bentuk lukisan catan dan juga fotografi. Pameran ini menampilkan empat orang artis yang terdiri daripada seorang rakan penulis saudara Fauzin Mustafa, selain saudara Johan Marjonid, Zainal Abidin Musa dan Alan Ng sendiri. Dahulunya penulis mengenali Alan Ng tidak secara mendalam, kami pernah bersama-sama dalam Malaysia Nature Society (MNS) suatu ketika dahulu. Di pameran ini, ada sesuatu yang menarik kerana tidak banyak karya-karya fotografi yang diambil sebagai bahan pameran oleh galeri-galeri seni walaupun persoalan itu bukanlah sesuatu yang asing sebenarnya. Ini membuatkan penulis terpanggil untuk mencari salah satu kemungkinan jawapan kepada persoalan ini. Ikuti sesi temubual penulis bersama-sama Alan Ng.

alan-ng

 

Latar belakang
Saya dilahirkan di Sungai Lembing, Pahang. Pada ketika itu saya berulang-alik bekerja di Singapura. Saya lakukan pelbagai kerja pada ketika itu, saya pernah bekerja di pelabuhan, pelayan restoran, bengkel bas selain membantu perniagaan arang keluarga saya sebelum saya menceburkan diri dalam dunia fotografi.

Bagaimana segalanya bermula?
Selepas melakukan pelbagai kerja yang ada pada pertengahan 80-an saya telah diterima sebagai seorang jurujual di sebuah syarikat pencetakan Ciba Geigy di Kuala Lumpur yang mana salah satu daripada produk mereka adalah cetakan Cibachrome atau juga dikenali sebagai Ilfochrome dimana cetakan imej ‘slide’ dibuat di atas lapisan poliester berbanding proses biasa menggunakan kertas foto. Material polimernya lebih tahan dan boleh diarkibkan serta dijamin sekurang-kurangnya 50 tahun. Proses ini akan menyalin ‘slide’ anda kepada cetakan Cibachrome. Jika anda melihat imej Cibachrome, mungkin ramai yang tidak biasa dengan hasilnya kerana imej yang terhasil agak gelap dan harus diperhatikan dengan teliti dengan kontrasnya yang sangat tinggi. Waktu dedahan juga jauh lebih lama dimana pada kebiasaannya waktu yang saya ambil untuk satu dedahan imej Cibachrome mengambil masa selama hampir 40minit. Sehinggalah Cibachrome ditukar kepada Ilfochrome yang hadir dengan tetapan dedahan yang lebih pantas.

a002

Ketika itu saya telah mula merakam tetapi tidak secara serius. Saya tidak menggemari tugas seorang jurujual, saya berkeras ingin bekerja di dalam ‘darkroom’ dan di situ saya mula mempelajari serba sedikit teknik-teknik cetakan. Saya tidak memiliki pendidikan formal sebagai seorang pencetak, saya lebih kepada perkembangan pengalaman dan mencari ilmu itu sendiri. Sewaktu itu mungkin saya antara yang terakhir melakukan cetakan Cibachrome di rantau ini kerana proses cetakan yang rumit dan mahal. Kemudian saya bertukar tempat kerja dan menyertai sebuah lagi syarikat cetakan di SS2, Petaling Jaya dan mereka mencetak menggunakan pelbagai teknik dan proses. Di situ dunia cetakan hitam putih saya bermula disamping cetakan warna dan sebagainya. Tugasan di situ saban hari sangat padat dengan aktiviti mencetak. Setelah hampir setahun, saya berhenti dan pulang ke kampung saya di Kuantan, Pahang sebelum bekas rakan sekerja saya ketika di Ciba Geigy telah mengajak saya untuk bekerja dengannya di syarikat baru beliau CibaColor sebelum ditukar kepada ComColor. Di situ saya telah bekerja sebagai pencetak selama hampir 20 tahun. Saya banyak menghabiskan usia saya sebagai ‘darkroom man’. Saya pernah melatih seorang lagi ‘darkroom man’ bernama Azmi, beliau merupakan penghantar surat pada mulanya, saya latih beliau sehingga mahir dengan proses cetakan dan beliau bagus dalam cetakan warna.

i003

Pengalaman Menarik
Pelbagai pengalaman menarik sepanjang karier saya sebagai pencetak profesional. Pernah pada suatu ketika, saya mencetak sebuah foto sepanjang 22kaki dengan ketinggian mencecah 6 kaki daripada sebuah negatif 8×10 yang dipancarkan pada dinding. Dedahan imej yang menggunakan sebuah mentol berkuasa 3000watt itu mengambil masa selama setengah jam selama tiga kali dan sekali selama 45minit untuk satu dedahan. Foto tersebut diproses tangan memandangkan saiznya yang begitu besar. Cecair kimia dituang ke dalam sebuah tong dan kertas diproses di dalam tong tersebut. Kemudian atas faktor keluasan kedai, Com Color berpindah ke Glenmarie dan proses cetakan tangan ditamatkan kerana pada ketika itu kehadiran teknologi digital menjadikan cetakan ‘darkroom’ sesuatu yang tidak begitu popular dan dilihat mahal. Setelah ‘darkroom’ ditutup, saya bekerja untuk seketika sebelum berhenti dan memulakan aktiviti memproses cetakan hitam putih saya sendiri untuk jurugambar-jurugambar. Saya cetak untuk Soraya, Eric Peris, malah Raja Ihsan, karya-karya datuknya Almarhum Sultan Ismail, selain jurugambar-jurugambar profesional dan amatur lain.

Kerjaya utama saya adalah seorang pencetak profesional. Jarang seorang pencetak profesional mengambil fotografi sebagai sesuatu yang serius tetapi ini menjadi suatu kelebihan kepada saya kerana saya boleh memahami keseluruhan proses bermula daripada proses rakaman imej dibuat sehingga imej tersebut dicetak. Kebanyakan orang hanya mengenali saya sebagai pencetak profesional dan bukannya sebagai jurugambar kerana fotografi saya hanya untuk diri saya sendiri, dan bersifat peribadi. Saya telah mencetak banyak foto-foto untuk tujuan pameran fotografi hitam putih di Malaysia. Saya masih ingat pada ketika itu Soraya memerlukan cetakan lebih 40 buah karya beliau dari siri ‘Imagine Self’ dalam masa tiga hari untuk pameran tersebut, akibat kesuntukan masa, kami memutuskan untuk menggunakan imbasan digital. Namun setelah negatif-negatif tersebut melalui imbasan digital, sentuhan perisian suntingan dan cetakan menggunakan pencetak Lambda, pihak penganjur masih mahukan cetakan foto secara manual sebagai sumber karya dan saya terpaksa menghabiskan tempoh masa seminggu untuk menyiapkan kesemua cetakan untuk pameran tersebut. Pengalaman itu mengajar saya bahawa bagi sesetengah individu yang menghargai karya seni, cetakan secara manual masih yang terbaik jika dibandingkan dengan hasil daripada Photoshop dan seumpama dengannya.

i001

Berbalik kepada peristiwa cetakan karya tadi, kekurangan terhadap cetakan digital itu terjadi kerana batasan kertas yang digunakan untuk mencetak sesebuah foto. Cetakan menggunakan ‘C-Print’ berbeza dengan ‘Silver Gelatin’ dari segi keupayaan untuk mendapatkan keseluruhan julat tona yang ada pada negatif filem. Meskipun menggunakan cetakan tangan dan teknik ‘dodge & burn’ kawasan hitam masih memiliki perincian imej, tidak seperti ‘C-Print’ atau digital. Jika kita memahami setiap ciri keupayaan filem yang kita gunakan, kita tidak akan merakam sesuatu yang kita tidak boleh cetak dengan baik. Saya sering melalui proses tersebut, hanya merakam dalam keadaan pencahayaan tertentu sahaja kerana saya memahami keseluruhan proses sehingga cetakan dibuat. Kebanyakan kita merakam apa-apa yang ada dihadapan lensa tanpa mengetahui dan memahami apa-apa yang akan berlaku kepada sesebuah rakaman dan hasil akhirnya. Pernah seorang jurugambar berbangsa Jerman menegur saya, beliau berkata “Anda merakam seperti seorang pencetak”. Sebagai seorang pencetak profesional, saya memahami jenis dan sifat-sifat kertas dan bahan kimia yang bakal digunakan ke atas imej yang bakal dirakam, maka saya harus mengetahui struktur dan toleransi pencahayaan yang terbaik untuk imej tersebut.

Sebagai seorang pencetak dan turut terlibat dengan proses rakaman imej, saya cuba memahami kriteria setiap negatif yang hadir. Jika anda berikan sebuah negatif kepada sepuluh orang pencetak, anda akan mendapat sepuluh hasil yang berlainan. Segalanya bergantung kepada jumlah yang anda ingin zahirkan dan jumlah yang anda ingin tenggelamkan. Bagi saya lebih kepada jumlah yang perlu ditenggelamkan atau disorok. Jika dizahirkan terlalu banyak, imej tersebut tampak sedikit membosankan, sebab itu jika anda lihat imej-imej saya, kebanyakannya lebih kepada ‘low key’. Lebih banyak kawasan seakan-akan hitam tetapi hitam tersebut adalah bayang-bayang dan bukan hitam sepenuhnya. Saya tidak suka apabila kawasan pencahayaan tinggi saya musnah dan hilang perinciannya. Namun ini lebih kepada pendekatan peribadi saya dan pada pendapat saya kebanyakan jurugambar gemarkan keadaan ini contohnya Soraya dan seorang rakan klien biasa saya daripada Pulau Pinang. Saya memahami kehendak jurugambar kerana saya juga turut merakam gambar dan bukan hanya sekadar seorang pencetak.

g004

Dunia fotografi
Pada saya fotografi seperti seolah-olah sebuah meditasi, sangat menenangkan. Saya mula melibatkan diri dengan Malaysia Nature Society sekitar 20 tahun yang lalu. Alam semulajadi telah membawa saya kepada fotografi. Menerokai alam semula jadi merupakan cinta pertama saya. Pada ketika itu saya sering membawa sebuah kamera lama Nikon F.

Subjek utama saya kebanyakannya adalah hutan-hutan hujan. Kita sering melihat imej-imej hutan hujan dalam bentuk gambar berwarna, tetapi saya gemar lakukannya dalam bentuk hitam putih. Kebanyakan rakan-rakan saya di MNS pada ketika itu bukanlah terdiri daripada golongan jurugambar, maka saya terdidik untuk bertindak pantas ketika merakam kerana jika hanya 10 minit waktu yang saya ambil untuk merakam, mereka sudah berada jauh di hadapan di dalam hutan. Seringkali saya akan keseorangan ketika merakam dan saya memerlukan sekitar 30 minit untuk bersama-sama mereka semula. Saya belajar untuk bergerak lebih pantas daripada mereka meskipun menanggung beban yang berat di belakang.
Saya bersama-sama beberapa ahli MNS yang lain memilih laluan-laluan yang jarang diterokai. Mendaki gunung-ganang di Malaysia dan kebanyakannya saya sudah daki lebih daripada sekali. Pada awalnya kamera yang saya gunakan hanyalah sekadar kamera ringkas, saya hanya perlu mengikut arahan pada kamera dan filem. Toleransi filem sangat tinggi, meskipun dedahan anda kurang atau terlebih pencahayaan, imej yang terhasil masih bagus. Fotografi saya pada ketika itu kebanyakannya adalah sekadar rakaman biasa. Saya rakam kebanyakannya menggunakan filem ‘slide’ dan kamera digital pertama saya merupakan sebuah kamera kompak pemberian seorang rakan ketika di Nepal, sebuah kamera Canon G12. Meskipun kamera tersebut merakam imej warna, namun setiap kali saya pulang ke rumah, saya mengubahnya kepada imej hitam putih. Namun jika imej tersebut tampak lebih bagus dengan warna, imej tersebut kebiasaannya tidak cantik dengan tona hitam putih. Ada juga imej yang bagus samada warna atau hitam putih, tetapi saya lebih menggemari imej hitam putih.

Saya masih ingat lawatan saya ke Fotokina di Eropah untuk sebuah syarikat tempat saya bekerja. Saya bawa sebuah kamera format medium Hasselblad dengan sebuah lensa 40mm, saya di Belanda untuk beberapa hari, saya tidak merakam apa-apa imej kerana tiada cahaya yang baik. Bagi saya rakaman hitam putih yang baik harus ada elemen pencahayaan yang baik. Tidak cukup sekadar sebuah imej yang cantik, harus ada elemen utama fotografi, cahaya.

g001

Saya sering idamkan sebuah kamera format medium. Seorang jurugambar berbangsa Jepun yang telah lama menetap di Malaysia bernama Suguwara telah menjual kamera Hasselblad 500C dengan lensa 80mm beliau kepada saya. Saya sering menghabiskan masa saya dengan beliau ketika itu dan pada saya beliau mungkin antara guru-guru fotografi yang terbaik ada di Malaysia.
Saya bermula dengan filem ‘slide’ sebelum tertumpu kepada imej hitam putih kerana pada awalnya saya tidak tahu bagaimana untuk ‘melihat’ imej hitam putih yang baik . Seperti saya katakan tadi, imej-imej awal saya kebanyakannya berkisar mengenai hutan hujan sehinggalah pada suatu ketika saya melihat karya-karya arwah Ismail Hashim dan jurugambar lain seperti Eric Peris. Subjek yang mudah tetapi pengisian imej yang dihasilkan hebat, di situ hati saya mula tertambat. Saya gelarkannya ‘The Miracle in the Mundane”. Tiada maknanya jika saya ke Nepal untuk merakam pemandangan yang hebat, kerana di sana hampir dimana-mana pemandangannya hebat-hebat. Tetapi jika anda ke tempat-tempat yang tampak biasa seperti Chow Kit, Pasar Seni dan yang seumpama dengannya, kemudian anda kembali dengan imej yang hebat, itu lebih bermakna.

Untuk pemilihan filem pula, kebanyakan rakaman menggunakan filem ‘slide’ saya dirakam di atas filem Fujifilm Velvia ISO50, sebuah filem yang sangat stabil pernah saya lihat. Kebanyakan aktiviti-aktiviti pendakian, saya akan bawa tiga buah kamera, kamera SLR Nikon dengan filem ‘slide’, format medium bagi rakaman hitam putih dan sebuah lagi SLR Nikon FM2 dengan filem ‘infrared’. Bayangkan anda membawa tiga set kamera dan kelengkapan perkhemahan untuk selama seminggu dan berpuluh-puluh pendakian, kini saya telah menjalani pembedahan kedua-dua lutut. Kemudian saya bertukar kepada sebuah kamera format medium dengan tiga ‘filmback’, satu untuk 6×6 hitam putih, satu untuk filem 6×6 ‘slide’ dan satu A16. Tetapi saya jarang menggunakan A16 kerana saya lebih gemarkan format 6×6. Merakam format empat segi sama sebenarnya lebih mencabar terutamanya dalam genre alam semula jadi. Rakaman yang saya lakukan lebih dekat, berbeza dengan rakaman panorama yang kebanyakan jurugambar sering lakukan.

c005

Saya telah bereksperimentasi dengan pelbagai jenis filem dan pada satu tahap anda akan memiliki pilihan jenis filem yang paling anda gemari dan filem kegemaran saya kini adalah Fujifilm Neopan Across 100. Filem ini memiliki struktur ‘grain’ yang sangat halus dengan kos yang lebih murah tetapi setanding Ilford100 dan T-Max100. Filem ini tidak terlalu tebal dan membuatkannya tidak terlalu menghalang cahaya dan ini menjadikan kontras cahayanya tidak terlalu gelap. Manakala filem ‘slide’ kegemaran saya sudah tentu Velvia dan kini filem ini bagi saya terlalu mahal, saya terpaksa mengurangkan penggunaan filem-filem ‘mahal’ ini melainkan untuk projek-projek atau lawatan-lawatan tertentu. Jika saya ke Tibet, sudah tentu saya akan merakam menggunakan ‘slide’.

Saya pernah penyertai beberapa pameran dan kebanyakannya secara berkumpulan. Satu-satunya pameran solo saya adalah untuk sebuah persatuan alam sekitar WWF yang telah diadakan di Lot10 Kuala Lumpur pada awal 90-an. Lebih 40 imej saya dicetak menggunakan teknik Cibachrome mempamerkan imej-imej dari kawasan tanah tinggi di Malaysia dalam kempen WWF untuk menyelamatkan gunung-ganang di Malaysia.

Kini saya banyak menghabiskan masa memproses dan mencetak negatif-negatif hitam putih yang dihantar kepada saya dan kebanyakannya saya bekerja daripada rumah. Selain daripada itu, kini saya juga lebih kepada merakam imej-imej ketika pengembaraan saya seperti di Nepal dan bgeberapa negara lain. Bagi saya untuk sebuah imej yang baik, harus ada pergerakan yang bagus di dalam sesebuah imej, ‘aliran’ mesej yang berkesan. Sebuah imej yang cantik tidak bermakna tanpa ‘aliran’ ini.

 

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 19 (Jun/Julai 2014)

fg19