Temuramah: Miza Foto: Abi Danial

Boleh perkenalkan serba sedikit mengenai diri saudara.
Nama saya Suhandi bin Jitir, dilahirkan pada tahun 14 Januari 1984 di sebuah tempat bernama Mesapol yang terletak di daerah Sipitang, Sabah. Menggunakan nama Abi Danial sebagai nama pena dalam berkarya. Tidak mempunyai latar belakang pendidikan yang formal dalam bidang fotografi. Hanya seorang yang meminati seni visual dan tidak terikat dalam mana-mana genre fotografi.
Sejak bila saudara mula menceburi bidang fotografi?
Mula meminati fotografi sekitar tahun 2010. Pada waktu itu, saya seringkali menggunakan kamera digital milik adik saya untuk merakam aktiviti keluarga. Pada tahun 2011 saya mula memperoleh kamera sendiri, dan kini ianya menjadi sebuah hobi yang menarik.

Bagaimana saudara melihat fotografi itu sendiri?
Saya melihat fotografi ini memiliki dua dimensi yang berbeza. Ianya dibezakan dengan dua perkataan yang mudah, iaitu “merakam” dan “menggambar”. Merakam adalah sebuah proses mendokumentasi sesuatu perkara, situasi atau momen yang berlaku berdasarkan kejadian sebenar seperti yang dilihat oleh jurugambar semasa berada di lokasi. Manakala menggambar lebih merujuk kepada proses rakaman yang berbentuk gambaran, imaginasi, adaptasi atau rakaman semula tentang sesuatu peristiwa, perasaan dan sebagainya. Tidak keterlaluan jika saya mengatakan bahawa proses menggambar ini adalah mirip dengan proses menghasilkan sesebuah karya lukisan. Selain dari merakam detik-detik berharga, fotografi bagi saya adalah sebuah medium untuk menyampaikan maklumat, perkongsian idea serta luahan ekspresi dan kreativiti.
Apakah yang membuatkan saudara tertarik dengan seni fotografi ini?
Saya suka kepada sesuatu yang berbentuk kiasan, puitis dan misteri. Kecenderungan ini yang membuatkan saya bereksperimentasi untuk menghasilkan karya-karya sebegini.
Apakah yang ingin saudara sampaikan dalam setiap hasil karya saudara?
“Provoke their thought and soul more than their eyes” adalah resepi dalam setiap karya berbentuk konsepsual yang saya hasilkan. Melaluinya, saya meletakkan objektif utama untuk mengajak penonton berfikir mencari mesej yang terkandung di sebalik sesebuah karya. Melihat pada trend sebilangan masyarakat pada hari ini yang menginginkan sesuatu perkara tampil dengan mesej yang jelas dan mudah difahami, ditambah pula dengan kecanggihan teknologi yang kita ada, sedikit sebanyak ianya menjadi penyumbang kepada budaya malas berfikir. Justeru, apabila sesebuah hasil karya saya berjaya menimbulkan tanda tanya atau rasa ingin tahu dalam diri penonton, maka bagi saya, ianya telah mencapai objektif yang saya inginkan, kerana secara tidak langsung proses berfikir dalam minda penonton telah bermula.
Secara umumnya, idea asas, saya peroleh dari sesuatu peristiwa atau perkara yang pernah saya lihat, dengar, dan alami sendiri.

Karya saudara ini seolah-olah bermisteri, adakah ia merupakan salah satu ciri perwatakan yang ada dalam diri saudara?
Dalam menghasilkan karya, konsep serta pengolahan dilakukan dengan mengambil kira citarasa peribadi sebagai perkara utama agar karya yang terhasil mempunyai elemen yang boleh memberikan provokasi serta ingin tahu atau pertanyaan kepada penonton. Saya syorkan para pembaca untuk merujuk semula hasil tulisan saudara Hakimi bin Halim, yang bertajuk “Aspek Romantik Dalam Fotografi” dalam Majalah Fotografika, Isu 17 (Feb/Mac 2014), halaman 30-31, kerana anda akan dapat melihat gambaran lebih jelas serta informasi yang lengkap mengenai prinsip pengolahan yang saya nyatakan tadi.
Daripada mana saudara mendapat ilham dan sumber inspirasi penghasilan sesebuah karya?
Saya membahagikan idea kepada dua bahagian, iaitu idea asas dan idea persembahan. Idea asas merupakan perkara penting dalam fasa awal penghasilan sesebuah karya, ianya mengandungi beberapa elemen seperti rangka penceritaan, lakaran, imaginasi, konsep serta pra-visual pada peringkat sebelum atau semasa proses rakaman dilakukan. Manakala idea persembahan meliputi aspek pada peringkat pengolahan dan peringkat akhir penghasilan karya. Secara umumnya, idea asas, saya perolehi dari sesuatu peristiwa atau perkara yang pernah saya lihat, dengar, dan alami sendiri. Berbeza halnya dengan idea persembahan, untuk mendapatkan idea tersebut saya banyak memerhati, cuba memahami, mentafsir hasil kerja pengkarya lain. Antara pengkarya yang menjadi rujukan saya adalah seperti Pablo Picasso (Sepanyol), Hengki Lee (Indonesia), Zewar Fadhil (Iraq), Mohd Azlan Mohd Latib (Malaysia), Jay Satriani (Indonesia), Ajie Alrasyid (Indonesia), serta beberapa lagi pengkarya yang lain. Suka saya kongsikan di sini, perkara paling berkesan untuk mendapatkan idea dan ilham ialah dengan cara memohon doa kepada Allah.

Apakah cabaran yang saudara alami dalam penghasilan karya ini?
Kekangan masa, idea dan kreativiti antara cabaran besar yang saya alami dalam menghasilkan sesebuah karya.
Di antara semua hasil karya saudara, yang manakah hasil karya yang paling istimewa saudara? Mengapa?
Saya suka “Lost in Reality”, kerana ianya amat ‘dekat’ dengan jiwa saya.
Kesemua hasil karya saudara bertonakan monokromatik. Mengapa saudara memilih tona ini dalam penyampaian hasil karya?
Ada sesuatu perasaan dan perkara yang sukar untuk saya ungkapkan mengenai monokrom, saya sangat selesa mempersembahkan karya-karya saya melaluinya, namun sesekali saya tampil dengan karya berwarna jika mesej atau mood yang saya ingin sampaikan tidak dapat saya ungkapkan melalui monokrom.
Ada sesiapa yang memberi dorongan kepada saudara dalam penghasilan karya?
Ibu, isteri dan teman-teman adalah individu yang banyak memberikan motivasi dan dorongan kepada diri saya. Semasa saya mula bereksperimentasi dengan karya-karya berbentuk konsepsual pada sekitar tahun 2013, teman saya, saudara Hengki Lee, seorang artis visual daripada Indonesia, banyak memberikan bimbingan, nasihat dan tip-tip yang sangat berguna. Saya bersyukur kerana mempunyai keluarga dan teman-teman yang memberi semangat kepada saya dalam berkarya.

Sebarang nasihat kepada jurugambar yang baru menceburi bidang fotografi ini?
Fahami dan kenali minat serta kecenderungan kita dalam berkarya. Jangan takut untuk melakukan sesuatu yang kita minati walaupun kita menerima ejekan, kritikan negatif dan penolakan daripada orang lain. Mulakan dengan mencari sumber rujukan melalui buku, majalah, komuniti atau dengan cara melihat dan memerhati hasil karya orang lain. Semasa saya baru berjinak-jinak dengan genre ini, saya menerima banyak kritikan dan ejekan dari penonton yang terdiri dari rakan-rakan dan orang yang tidak saya kenali, namun ianya tidak mematahkan semangat saya untuk terus berkarya. Saya menghantar beberapa hasil karya-karya saya untuk dinilai oleh kurator di beberapa komuniti atas talian yang memiliki kreaditibiliti seperti www.1x.com untuk mendapatkan maklum balas mengenai karya-karya yang saya hasilkan. Ini bertujuan untuk mengukur sejauh mana karya yang kita hasilkan mempunyai nilai estetika melalui pemerhatian mereka yang lebih berpengetahuan dan berpengelaman luas dalam bidang seni fotografi. Apa-apa jua bidang atau genre yang anda ceburi, minat, usaha dan semangat tidak mudah putus asa serta doa adalah kunci kepada kejayaan atau sesuatu perkara yang anda impikan.
Kenali karya-karya Abi Danial secara lebih dekat dengan melayari laman-laman sesawang berikut:
– http://www.abidanial.com
– http://1x.com/member/abidanial
– https://www.facebook.com/monokromatik
Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 23 (Feb/ Mac 2015)
