Temuramah: Miza
Foto: Siti Aishah

Assalamualaikum & Salam Sejahtera,
Minggu ini kami teruskan temuramah bersama-sama jurugambar jalanan Siti Aishah yang mula meminati genre fotografi ini sejak tahun 2016. Beliau gemar melancong dan banyak merakam gambar di lokasi-lokasi menarik yang dikunjungi. Selepas diperkenalkan dengan fotografi jalanan, beliau mendapati genre ini sangat mencabar. Beliau cuba untuk menghasilkan lebih banyak gambar fotografi jalanan semasa melancong. Kebanyakkan hasil gambar beliau dirakamkan di Kuala Lumpur, HongKong, India, Bangladesh dan Bangkok.

Bagaimanakah anda menggambarkan gaya fotografi anda?
Hasil karya saya lebih cenderung ke arah fotografi jalanan dan kembara kerana saya gemar mengembara sambil merakam suasana kehidupan masyarakat setempat di lokasi tersebut.

Manakah gambar fotografi jalanan anda yang tidak dapat dilupakan? Kenapa?
Hasil karya sekumpulan kanak-kanak bermain berlatarbelakangkan Taj Mahal yang saya rakamkan semasa kunjungan ke Agra, India pada tahun 2017. Untuk menghasilkan gambar berkenaan, ia memerlukan kesabaran yang tinggi bagi mendapatkan ‘framing’ yang tepat dan spontan.

Siapakah jurugambar yang anda minati dan bagaimana dia mempengaruhi anda?
Jurugambar yang saya paling minati ialah jurugambar antarabangsa, Raghu Rai yang banyak mempengaruhi gambar saya dalam konteks framing, timing dan gambar monochromenya.

Ikuti hasil karya beliau selanjutnya dalam laman sosial Instagram siti.aishahz.