Temuramah: Miza
Foto: Ayuziana Azhar
Assalmualaikum & Salam Sejahtera,
Untuk segmen minggu ini, kami memperkenalkan seorang jurugambar sambilan, Ayuziana Azhar. Beliau memerupakan seorang ibu kepada 3 orang cahaya mata. Walaupun nekad untuk bergelar surirumah sepenuh masa sejak 5 tahun yang lepas, minat terhadap fotografi tidak pernah pudar. Ini kerana beliau gemar merakam gambar sejak dari kecil lagi. Kamera dan fotografi sudah sebati dalam jiwa beliau. Dengan berbekalkan Diploma dalam Rekabentuk Grafik dari Politeknik Johor Bahru beserta Ijazah Sarjana Muda Fotografi dan Pengimejan Kreatif dari UiTM Shah Alam, beliau masih terus menawarkan perkhidmatan sebagai jurugambar sambilan bagi memotret bayi/kanak-kanak pada hujung minggu dan hari-hari tertentu sahaja.

Apakah yang membuatkan saudari tertarik dengan genre fotografi ini?
Sebelum menceburi genre ini, hampir kesemua genre fotografi saya sudah mencuba. Atas dasar terlalu minat memotret wajah kanak-kanak sebelum ini, saya mencabar diri dengan mengambil risiko untuk merakam gambar bayi yang baru dilahirkan. Ianya tidak semudah dijangka pada mulanya tetapi setelah hampir 5 tahun berkecimpung dan fokus dalam genre ini, ianya menjadi mudah. Gambar-gambar yang terhasil sudah pasti comel dan banyak yang melucukan apabila di imbas kembali ketika rakaman. Adalah menjadi kepuasan dan kejayaan terbesar dalam diri saya apabila ibubapa kepada bayi/kanak-kanak tersebut senyum tanda berpuas hati dan gembira dengan hasil kerja saya.
Apakah cabaran yang di alami ketika menghasilkan sesebuah photoshoot?
Tidak seperti merakam gambar orang dewasa, merakam gambar bayi/ kanak-kanak adalah cabaran besar yang tidak boleh kita jangka. Setiap bayi/kanak-kanak mempunyai ragam dan perwatakan yang berbeza. Ada masanya saya bernasib baik kerana memperoleh bayi yang tenang dan tidak menangis. Saya hanya memerlukan 1 hingga 2 jam untuk menyalinkan pakaian, ‘posing’ dan merakam mereka. Ada seketika saya menerima bayi yang mudah menangis dan ‘moody’, saya perlu kekal tenang dan bersabar dalam menjalankan photoshoot. Saya berusaha untuk mendapatkan rakaman dari pelbagai sudut terbaik dengan pantas dan sebanyak mungkin. Pernah satu ketika, saya menanti dan berusaha sehingga 5-6 jam lamanya untuk mengendalikan bayi yang terlalu sensitif.
Dari manakah saudari mendapat idea dalam penghasilan karya?
Saya memilih suasana yang semula jadi dalam penghasilan karya saya. Saya tidak terlalu beratkan hasil gambar dengan pelbagai ‘props’. Cukup sekadar berlatarbelakangkan warna putih atau kosong. Saya banyak mengikuti akaun-akaun instafamous dari luar negara seperti Kelly Brown, Landitphotography, Jessicag dan banyak lagi. Kebanyakan hasil adalah sederhana sahaja bergantung pada kerjasama yang diberikan oleh bayi/kanak-kanak itu sendiri. Jika ibubapa mahukan ‘props’ yang lebih, saya berusaha memenuhi permintaan mereka. Karya saya akan kekal menjadi memori terindah untuk anak-anak mereka yang pastinya tidak akan berulang kembali.

Lihat hasil karya beliau selanjutnya dalam website ayuzianaazhar.wixsite.com/studio dan laman sosial instagram by.achmad_ministudio.