Temuramah: Miza
Foto: Maizurah Ariff
Assalamualaikum & Salam Sejahtera,
Bersempena bulan menyambut Hari Wanita Sedunia, kami menampilkan seorang lagi jurugambar wanita yang mengemari bidang fotografi genre landskap dan jalanan iaitu saudari Maizurah Ariff. Beliau mengemari mengembara dan meneroka sendiri bidang fotografi ini. Beliau mengisi waktu senggang beliau dengan mengabadikan momen pengembaraan menggunakan kamera kesayangan beliau, Canon dan Leica.

Apakah yang mendorong anda untuk terlibat dalam bidang fotografi dan pengembaraan?
Melihat gambar-gambar yang sungguh mengagumkan di majalah-majalah baik di dalam mahupun di luar negeri. Terdetik dalam hati saya, bagaimana gambar mereka cantik-cantik belaka. Kemudian saya mula mengenali kawan-kawan yang sememangnya meminati hobi dalam bidang fotografi. Ada juga kawan-kawan yang menceburi bidang fotografi sebagai sumber pandapatan sepenuh masa mereka. Dari situ saya mula membeli kamera tahap permulaan, banyak membaca buku-buku fotografi, mempelajari dari youtube dan mula menyertai pengembaraan fotografi yang dianjurkan oleh rakan-rakan dalam bidang fotografi. Saya teruja apabila melihat hasilnya dan dari situ, minat saya terhadap fotografi semakin mendalam. Malah, suami juga banyak memberi dorongan dan sokongan terhadap hobi saya.

Bagaimana anda mendekati orang asing untuk bergambar? Bagaimana anda berhubung dengan mereka?
Dalam fotografi kita harus menjadi peramah dan berhemah. Sebelum saya memotret, saya akan cuba bersembang secara santai dengan orang tersebut seperti bertanya khabar dan sebagainya. Selepas orang tersebut selesa dengan saya, baru saya meminta izin untuk memotret orang tersebut. Jika diberi keizinan, barulah saya memeriksa tetapan kamera dan memulakan rakaman. Saya merupakan seorang yang mengemari memotret aksi ‘candid’ atau bersahaja, jarang sekali saya menyuruh orang tersebut ‘berlakon’ kecuali saya ingin memotret wajah beliau secara ‘eye contact’. Kadang kala saya ada juga memberi cenderahati kepada orang tersebut sebagai tanda penghargaan. Bak kata pepatah ‘orang berbudi, kita berbahasa’.
Tetapi ada juga pentas fotografi yang mana kita akan memanggil seorang yang berbakat untuk menggayakan aksi yang kita mahukan. Akan tetapi bagi saya, saya lebih menyukai aksi ‘candid’.

Hasil karya anda mempunyai gaya tersendiri, apakah pendapat anda semasa mengedit gambar anda?
Penyuntingan memang kerap kali akan menaikkan hasil karya sesebuah gambar. Saya lebih mengemari sesuatu yang semulajadi atau natural. Akan tetapi saya ada menggunakan sedikit mood vintaj dan gambar rona hitam putih untuk fotografi jalanan. Bagi fotografi genre landskap, penataan cahaya adalah penting disamping keseimbangan warna alam semulajadi. Saya akan mengimbas kembali di minda apa yang saya rakamkan tadi dan apa yang perlu saya edit agar ia tidak nampak kita memanupulasi gambar tersebut. “We have to give credit to our beautiful mother nature”.

Ikuti hasil karya beliau yang selanjutnya dalam laman sosial Instagram my_zurah