Kematangan, Matlamat dan Tujuan Fotografi Anda

05/11/2019 | miza

Teks & Foto: Ashraf Saharudin

 

Berhenti bazirkan masa anda dengan fotografi jika anda tidak memiliki matlamat hala tuju sebagai jurugambar. Baik sebagai hobi, kerjaya separuh masa mahupun sepenuh masa, di setiap peringkat anda harus memiliki matlamat dan tujuan. Orang yang melakukan sesuatu tanpa tujuan adalah orang yang tidak siuman.

Saat ketika anda memutuskan untuk membeli sebuah kamera yang fungsinya lebih dari sekadar merakam foto kaum keluarga di percutian atau di majlis keraian, anda pasti memiliki seribu satu sebab untuk membelinya. Pasti terdapat faktor tertentu samada galakan rakan-rakan, keluarga atau anda mendapat inspirasi dari sumber-sumber tertentu yang memberikan anda dorongan untuk menceburkan diri secara lebih serius. Maksud lebih serius di sini bermula apabila anda meluangkan masa semata-mata untuk merakam gambar tanpa aktiviti sampingan lain dan hanya fokus terhadap aktiviti fotografi tertentu.

Namun untuk bergerak maju dalam bidang ini, seperti kanak-kanak yang baru memasuki tadika, kita perlu didedahkan kepada asas pembelajaran dengan guru tadika sebagai mentor pertama dan dalam konteks ini adalah asas fotografi. Kemudian setelah kita beransur matang dengan pemahaman yang lebih, kita akan mengorak langkah ke tahap pengetahuan yang seterusnya seperti yang pernah kita lalui ketika di zaman sekolah. Bermula dengan sekolah rendah dan seterusnya sekolah menengah, kita berguru dengan guru yang menyampaikan ilmu yang berlainan tahap, sebagai jurugambar kita akan beralih kepada pendedahan ilmu yang baru dan lebih tinggi tahapnya dari semasa ke semasa.

DSCF9252Peringkat ilmu dan kematangan dalam fotografi itu digambarkan seperti perkembangan pendidikan yang kita pernah lalui suatu ketika dahulu, dari sesuatu yang asas kepada sesuatu yang lebih mendalam. Sumber rujukan kita juga akan berubah mengikut tahap pemikiran dan kematangan dalam berkarya dan yang paling penting sumber rujukan itu haruslah betul. Apabila tiba di suatu tahap, kita akan mampu untuk berfikir dan berupaya hadir dengan konsep dan pendekatan kita sendiri, maka pada ketika itu perlu diketahui sebenarnya dunia fotografi kita sebenarnya sedang menuju proses kematangan.

Suka saya berkongsi satu petikan di dalam laman sesawang sebuah agensi foto antarabangsa, Black Star yang ditulis oleh seorang jurugambar antarabangsa Richard Wong yang bertajuk “Photographers, Choose Your Mentors Wisely” (Jurugambar, Pilih Mentor Anda dengan Betul) http://rising.blackstar.com/photographers-choose-your-mentors-wisely.html. Dalam artikelnya beliau mengaku bahawa;

“Media sosial telah digunakan bagi tujuan mengetengahkan diri sebagai contoh seorang pakar fotografi. Tetapi terdapat kesan negatif disebaliknya, satu generasi yang tidak kompeten diambil menjadi idola muka buku oleh jurugambar yang baru hendak bertapak.”

Beliau tidak mengatakan bahawa mengambil jurugambar sebagai mentor itu tidak bagus, ia sebenarnya membantu dalam proses pembelajaran tetapi masyarakat haruslah bijak dalam menilai karya dan pengalaman mentor yang mereka pilih. Dengar apa-apa yang mentor ajarkan, dan tidak takut untuk bertanya dan membahas setiap ilmu yang diajar, bukan kerana tidak mempercayai atau kurang ajar, tetapi sebagai satu kaedah untuk memberi pemahaman yang lebih mendalam.

Terdapat di kalangan kita menceburkan diri dalam bidang fotografi ini hanya sekadar untuk melepaskan tekanan atau bersosial. Tiada salahnya di situ akan tetapi kita bertanggungjawab dalam membangunkan industri yang sedang kita tumpang untuk berhibur di masa lapang ini. Kenali rapat ertikata jurugambar hobi, jurugambar separuh masa, jurugambar separuh masa. Kenali juga juara muka buku dan siapa yang membaca buku, antara juara pada namanya atau juara pada karyanya, kenali juga yang berunsur perniagaan dan yang berunsur pendidikan.

DSCF9258
Salah satu koleksi unik oleh jurugambar Noraini Che Amat

Tidak dinafikan wujud sebuah budaya menyempitkan pemikiran sendiri di kalangan komuniti jurugambar kita. Kita lebih cenderung untuk menerima sesuatu yang di luar kemampuan kita sebagai sesuatu yang sangat mengagumkan dan diterima sebagai kemuncak kepada sesuatu karya dan genre. Namun kita tidak belajar untuk bertenang dan membuka mata melihat secara lebih luas dan global. Dengan cara itu kita akan lebih bersifat terbuka dan memiliki sumber rujukan yang jauh lebih banyak, melihat kadang-kala terdapat yang jauh lebih hebat di sudut dunia yang lain.

Di suatu tahap kita bakal melihat sesuatu imej dengan lebih mendalam, kita akan lebih tenang dalam mentafsir dan menganalisa setiap isi kandungannya. Maka pada ketika itu imej-imej yang sebelumnya kita lihat cantik seperti imej yang digunakan pada kalendar akan beransur pudar akibat penceritaannya yang cetek dan terlalu pendek.

Dengan kematangan yang ada pada diri, kita tidak akan mudah memperlekeh sesebuah imej meskipun dikatakan hanyalah sekadar imej biasa. Kita akan belajar untuk lebih menghormati karya jurugambar lain, menghargai setiap usaha yang dicurahkan untuk seseorang itu mendapatkan imej tersebut. Kita akan belajar menghormati karya-karya daripada genre fotografi yang lain sebagaimana kita ingin dihormati dengan genre yang sedang kita lakukan. Menghargai setiap aspek kepakaran yang harus ada pada setiap genre dan membentuk sikap profesionalime di dalam diri, kita akan lebih mudah untuk memuji dan menerima sesebuah imej yang hebat daripada jurugambar lain secara terbuka dan mengkritik kekurangan secara peribadi dengan kaedah yang profesional.

Pada ketika itu, kita akan sedar bahawa kita akan semakin berkurang memetik butang pengatup, kita akan lebih banyak berfikir dan menghargai sebelum memetik kerana kita sudah memahami matlamat dan tujuan sebagai jurugambar.

DSCF9283
Perbincangan forum oleh (dari kiri) Shamshahrin Shamsudin, YM Raja Ahmad Aminullah dan Prof. Jalaini

Pameran Fotografi TIGA, daripada pelajar jurusan diploma EDICPADI, yang berlangsung di Galeri Annexe Mei 2013. Turut diadakan bicara foto oleh jurnalis foto antarabangsa daripada Malaysia Suzanne Lee dan daripada India Sanjit Das, jurugambar komersial tempatan Amri Ginang, jurugambar Hanif Maidin serta Forum yang menampilkan Prof. Jalaini (pelukis/artis seni halus), YM Raja Ahmad Aminullah (pelukis/penulis/pemilik galeri seni) dan Shamshahrin Shamsudin (Jurnalis foto antabangsa)

Pameran Kuala Lumpur Photography Award yang diadakan di Galeri Petronas bermula 23hb Mei-23hb Jun 2013 mempamerkan antara rujukan-rujukan fotografi potret dan antara jurugambar tempatan yang terlibat adalah seperti saudara Yaman Ibrahim, Lim Li-Ling, Karuna Ang, Stephen Chan Kian Wai, Mervin Dublin, Ian Kirk Jing Kye, Edward Khoo Kah Guan, Alvin Lau, Tan Chee Hon dan Krishnan Kumaraguru.

 

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 13 (Jun/ Julai 2013)

fg13-cover_updated