Teks & Foto: Nora Shazlin

Kamera plastik mampu milik Savoy 620 ini terkenal di sekitar era 60an kerana reka bentuk yang futuristik (lihat pada logo orbit angkasa lepas) dan kemasan berkilat di hadapannya. Savoy 620 boleh didapati dalam beberapa warna seperti warna hijau (warna kebiasaan yang sering dilihat), kelabu, merah dan biru.

Saya memperolehi Savoy 620 di internet pada harga RM60. Meskipun dihasilkan dalam era 60-an, kamera tersebut masih berkeadaan baik. Lensa plastik pada kamera ini dapat menghasilkan satu suasana cahaya lembut pada hasil gambar dimana tona warna lembut itu seolah-olah mengimbau suasana silam. Lihat gambar di sini sebagai bukti; kota moden Kuala Lumpur yang difotokan dilihat seolah-olah ia masih kota Kuala Lumpur 40 tahun yang lalu. Filem tarikh luput dari tahun 1989 telah digunakan untuk mengambil gambar ini, ia berjaya menghasilkan ‘film grain’ yang bertona emas keperangan. Banyak filem Kodak Gold telah menghasilkan efek seperti ini pada hasil akhir pemprosesan.
Kamera ini sangat mesra pengguna, mudah untuk digunakan kerana anda hanya perlu tekan dan rakam! Model kamera ini direka untuk kegunaan luar, dengan hanya memerlukan satu fokus pegun dan satu kelajuan shutter (lebih kurang 1/125), hasilnya lebih memberangsangkan apabila digunakan di bawah sinar matahari. Meskipun kamera ini menggunakan filem 620mm yang sudah tidak wujud di pasaran, dengan sedikit modifikasi pada ‘film spool’ 120mm, anda boleh menggunakan filem 120mm pada Savoy 620.

Nora Shazlin merupakan penulis dan pengasas blog fotografi filem “Cool Girls Shoot Film” yang ditubuhkan atas tujuan berekperimentasi ke atas pelbagai jenis filem dan kamera.
Layari pautan internet berikut untuk informasi lanjut:
http://coolgirlsshootfilm.tumblr.com,
http://www.facebook.com/coolgirlsshootfilm
Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 24 (April/ Mei 2015)
