Temuramah: Miza Foto: Mohd Mursi b. Abd Rahim

Mohd Mursi
Saya meminati bidang fotografi sejak dari sekolah lagi setelah terlibat sebagai ahli komuniti kelab fotografi selain gemarkan melukis. Selain itu pengaruh daripada keluarga saya yang cenderung dan berlatar belakangkan bidang seni terutama ibu saya yang merupakan alumni Fakulti Seni Reka UiTM.
Saya mula berjinak-jinak dalam fotografi sebagai hobi sejak 6 tahun lalu sehingga sekarang. Malah saya juga turut mengambil tugasan separuh masa merakam imej-imej komersial untuk beberapa syarikat pengiklanan.
Saya pernah mewakili syarikat Apple dalam WPPA untuk berkongsi dengan jurugambar lain menggunakan perisian profesional dan mengajar mereka untuk mengurus cara kerja dengan sistematik.
Pernah bekerja sementara dengan Leica Store Malaysia dan mengendalikan beberapa kelas mengajar fotografi dan penggunaan kamera.

Selain daripada pengiklanan
Hobi kedua saya adalah berbasikal dan dalam perjalanan berbasikal tersebut, saya gemar merakam pemandangan landskap. Kerana dari situ, ia dapat menenangkan fikiran saya disamping membuatkan saya bersyukur atas keindahan ciptaan Ilahi.
Hasil karya pertama
Karya pertama sekali saya hasilkan adalah ketika saya membantu rakan saya untuk merakam produk makanan untuk restoran beliau. Daripada situ, saya mula merakam produk untuk beberapa syarikat terutama dalam produk automotif dan sukan pemotoran.
Makna Fotografi
Fotografi bagi saya suatu platform dimana saya boleh sampaikan perasaan saya menerusi foto. Malah ia juga turut bermakna apabila saya rakamkan sesuatu yang menarik dan momen yang terlepas pandang oleh orang lain untuk saya kongsikan.
Bagi saya yang tidak suka duduk diam, fotografi merupakan salah satu alasan untuk saya berjalan-jalan melihat perkembangan dan kemajuan negara lain di samping fotografi membenarkan saya untuk merakam sesuatu yang tidak dapat dilihat oleh orang lain daripada pelbagai sudut berbeza.
“Bagi saya, fotografi adalah mengenai kreativiti individu yang berada di belakang kamera, bukanlah peralatan itu semata-mata. Peralatan membantu jurugambar untuk merakam dengan memberi hanya sedikit kelebihan.”

Maksud gambar yang cantik
Terdapat banyak faktor yang memainkan peranan bagi penghasilan gambar yang cantik. Pertama sekali, sudah tentulah komposisi, warna, momen yang menarik dan maksud yang tersirat yang ingin disampaikan oleh jurugambar tersebut. Secara peribadi, saya lebih gemarkan hasil karya asli yang kurang penggunaan kaedah suntingan di samping hasil karya tersebut mempunyai momen yang tepat!
Mentor
Larry Chen; jurugambar pemotoran, Scott Kelby; jurugambar Amerika, Steve McCurry; jurugambar National Geographic dan jurugambar tempatan Teng Wei. Saya meminati mereka kerana mereka sukakan kerjaya mereka dan cara kerja mereka yang teratur membuatkan saya rasa tenang. Mereka komited pada kerjaya yang dilakukan dan mengetahui subjek yang ingin dirakamkan. Ketika saya bekerja dalam bidang grafik suatu ketika dahulu, saya mula mempelajari teknikal mengenai fotografi dengan lebih mendalam daripada senior saya.
Inspirasi
Inspirasi utama saya ialah melalui minat yang mendalam terhadap kereta dan bidang pemotoran ini. Saya juga ada membuat kajian terlebih dahulu melalui rakaman jurugambar lain mengenai kaedah menghasilkan rakaman mereka dan saya monokok tambah mengikut kreativiti dan sudut yang diinginkan. Malah, muzik metal juga memainkan peranan pada saya ketika merakam sesuatu produk tersebut kerana ia menenangkan saya untuk merakam serta membenarkan saya untuk berfikir dengan lebih kreatif lagi.

Kenangan
Momen yang paling indah bagi saya adalah semasa saya mengikuti bengkel fotografi sukan yang dikelolakan oleh Canon semasa Japan GT 2009 bersama-sama dua mentor hebat Glenn Guan dan Kamarul Akhir yang merupakan jurugambar sukan ikonik tempatan. Pada masa tersebut, saya mendapat tunjuk ajar yang paling beharga dan penghargaan yang tidak terhingga bagi saya untuk mempertingkatkan mutu fotografi saya.
Cabaran
Cabaran biasa yang pernah saya alami daripada segi klien, cuaca dan momen yang tidak dapat dikecapi. Cabaran terbesar bagi saya ialah teknikal peralatan yang agak lambat untuk merakam gambar kerana dalam bidang fotografi sukan ini memerlukan lebih sensitiviti pada kejadian-kejadian yang bakal terjadi.
Motivasi
Bagi saya fotografi ialah sesuatu yang saya lakukan pada setiap hari. Merakam sesuatu yang cantik dan kongsikan kepada orang lain sudah memberikan motivasi kepada saya untuk menghargai setiap ciptaan tuhan.

Mesej
Mesej dalam gambar saya ialah untuk meluahkan kreativiti saya dalam penghasilan sesebuah karya di samping menyampaikan apa-apa yang terjadi pada waktu tersebut bagi hasil karya pemotoran saya. Bagi hasil karya produk pula, saya ingin sampaikan kecantikan dan keunikan yang ingin ditonjolkan bagi setiap produk.
Mereka yang ingin menceburi dalam bidang ini perlu banyak membuat kajian dan merendah diri untuk bertanya pendapat daripada jurugambar profesional yang ada. Tambahan lagi, mereka perlu mempraktikkan pemahaman yang ada dengan turut serta bengkel-bengkel fotografi yang dianjurkan disamping berkenalan dengan mereka yang lebih mengetahui dalam bidang ini.
Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 22 (Dis 2014/ Jan 2015)
