Teks: Hakimi bin Halim
Sedar atau tidak, hampir setahun saya telah menulis di Fotografika. Saya mengucapkan setinggi- tinggi penghargaan kepada warga kerja Fotografika yang tidak memandang remeh keupayaan orang-orang muda seperti saya ini dalam arena penulisan fotografi. Sebelum ini, saya telah menghantar tulisan-tulisan saya kepada beberapa penerbitan. Tulisan-tulisan saya telah ditolak disebabkan dianggap tulisan yang berat dan tiada pembaca yang minat membaca tulisan-tulisan seperti ini. Maka saya pun menghantar ke Fotografika dan balasan positif daripada Fotografika amat menggembirakan saya.
Setelah setahun, pembaca ruangan ini telah melalui perkongsian proses-proses penghuraian gambar. Segala aspek penghuraian telah diceritakan secara ringkas pada setiap keluaran. Perlulah pembaca semua ketahui, pelajaran berkenaan aspek penghuraian adalah bersifat permukaan sahaja dan bukanlah bersifat terlalu kritikal.
Bermula pada tahun ini, penulis berazam untuk menulis berkenaan aspek permaknaan pula yang memerlukan kefahaman mendalam berkenaan aspek teori dalam memahami gambar. Mungkin pada tahun 2014, perbincangan dalam pojok ini akan menjadi lebih kritikal lagi.
Sebagai mukadimah sebelum kita ke peringkat seterusnya, pada keluaran ini, saya akan menerangkan bagaimanakah ‘foto’ boleh menjadi ‘instrumen’. Jika kita memahami maksud instrumen, ianya adalah berkaitan dengan ‘alat’. Maka tajuk pada keluaran ini ialah ‘fotografi sebagai alat’. Alat yang saya maksudkan ialah peranan fotografi dalam membantu menjayakan sesuatu mengikut objektif pihak yang menggunakannya.
Sebagai kajian kes, pada 7 Januari 2009 muka hadapan Utusan Malaysia telah menunjukkan gambar seorang kanak-kanak yang maut akibat serangan Israel, tertanam badannya dengan hanya kepala sahaja yang tinggal pada permukaan runtuhan rumahnya. Gambar tersebut telah menjadi instrumen yang berkesan sehingga isu ini menjadi sangat besar di seluruh negara. Siri-siri bantahan dan demonstrasi di seluruh negara terus memuncak sehingga pada akhirnya sidang parlimen khas diadakan demi menyatakan pendirian Malaysia pada masa tersebut.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib (2009), dalam ucapan sokongan ke atas usul Perdana Menteri dengan merujuk kepada gambar menyatakan :
“That image had drawn a million words because it shows clearly a dead body of a young girl, only to the head, found under the debris of a house that had been destroyed by the Zionist army. Whose heart was not saddened, whose feeling was not feel bad seeing a cute, innocent little face, fall down and stoned as like a flower that was not able to bloom,” (Utusan Malaysia, p. 4, February 13, 2009)
Daripada imej di atas, dapatlah dikatakan bahawa gambar tersebut memberi kesan yang amat mendalam ke atas emosi masyarakat pada ketika itu sekaligus menjadi instrumen yang tidak dapat dibendung kuasanya dengan mudah.
Barret (2009) dalam menerangkan perbincangan-perbincangan yang dirungkai melalui Plato, Tolstoy dan Lenin menyatakan bahawa signifikasi seni menyebabkan sesuatu isu itu berdiri dengan teguh disebabkan nilai yang dibawa oleh gambar tersebut lebih besar dari estetika seni. Ianya amat penting menggambarkan bahwa seni boleh memacu tabiat dan etika manusia dan menyampaikan atau menghasilkan sesuatu yang berfaedah kepada masyarakat.
Daripada pendapat Barret ini, ianya menunjukkan bahawa gambar yang disertakan unsur kesenian di dalamnya dapat menjadi instrumen pembujukan yang berkesan bergantung kepada objektif-objektif yang ingin disasarkan oleh kelompok-kelompok tertentu berdasarkan kepercayaan mereka terhadap sesuatu isu.
Jurufoto atau boleh saya panggil ‘Instrumentalis Seni’ selalunya tidak akan mengambil mudah tanggungjawab mereka terhadap masyarakat dalam menghasilkan kesenian. Peranan dalam menghasilkan seni tidak boleh dibataskan kepada penghasilan ‘karya agong’ semata-mata tanpa mengambil bahagian dalam menyampaikan emosi kepada masyarakat dari segi nilai dan moraliti. Kadangkala, sikap provokasi melalui gambar mungkin merupakan keperluan yang mendesak.
Ini seiring dengan pendapat Kimmelman (1989) yang menyatakan bahawa kriteria sebagai instrumentalis seni adalah untuk menunjukkan mesej jelas dan sebenar dalam karya seni atau imejan; tidak hanya menjadi sebahagian daripada muzium yang hanya menyedapkan mata yang memerhati, tetapi tidak menyentuh hati dalam menyampaikan informasi sosial (p 1,6).
Pendapat Kimmelman ini adalah tersangat indah dari segi bahasanya. Kebanyakkan jurufoto terlupa bahawa sikap egois sebagai jurufoto menyebabkan mereka lupa bahawa karier mereka sebenarnya sangat besar maknanya jikalau sumbangan mereka mempunyai nilai yang besar kepada masyarakat.
Daripada inilah terdapat perdebatan antara pendokong ‘Seni untuk Seni’ dengan pendokong ‘Seni untuk Masyarakat’. Malah sesetengah seniman menganggap dengan menjual karya yang mahal maka mereka adalah ikon dalam masyarakat, menjadi selebriti popular dalam bidang mereka, dirujuk dan dipuja oleh peminat- peminat, tetapi lupa bahawa peranan mereka dalam menyampaikan provokasi dalam kesenian juga penting untuk masyarakat ramai.
Peranan fotografi sebagai instrumen telah terbukti di seluruh dunia. Di era Perang Dunia ke-2, Perang Dingin, Vietnam, Perang Teluk, Perang Iraq, Perang Afghanistan, Arab Spring, Perang Syria dan segala peristiwa yang berprofil besar dalam sejarah, fotografi tidak pernah tertinggal dari mengambil bahagian.
Malah peranan instrumentalis fotografi adalah terkehadapan malah kadangkala merubah suasana dan dasar- dasar kuasa besar disebabkan sekeping gambar yang seberat 120 gram sahaja. Maka, tugas jurufoto adalah sangat bermakna jika mereka tahu mereka adalah insan- insan yang bermakna dan menjalankan tugas dengan penuh makna. Jurufoto, anda bukanlah orang biasa!
Pada keluaran hadapan, kita akan menyentuh aspek Romantik dalam gambar foto, nantikan.
Rujukan
Kimmelman, M. (March 19, 1989) “Bitter Harvest: AIDS and Arts”: New York Times, Art and Leisure Section.
Utusan Malaysia, January 13, 2009, Perbuatan Israel Umpama Pengganas Bersiri – Najib: Utusan Melayu (Malaysia) Berhad.
Barret, T, (1994) Ohio State University, Criticizing Art: Understanding the Contemporary, Retrieved January 28, 2009 from: http://people.moreheadst.edu/fs/e.mesagaido/CriticizingArtHandout.pdf
Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 16 (Dis 2013/ Jan 2014)
