Teks & Foto: Jidin
Kampung Keh, Wilayah Kampot terletak kira-kira 250 KM dari ibu Phnom Penh. Perjalanan ke sana memakan masa lebih kurang 4-5 jam bergantung kepada trafik. Perjalanan memakan masa kerana sistem jalan yang masih agak ketinggalan jika dibandingkan dengan Malaysia. Sebelum sampai ke Kampung Keh, anda akan melalui kawasan pekan yang kelihatan seperti pekan ‘koboi’ seperti Malaysia sekitar tahun 60-an.

Penulis ke Kampung Keh dalam misi kemanusiaan untuk membantu penduduk setempat membaiki sekolah agama, mengajar mengaji Al-Quran, program motivasi, kelas Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu, program teori & praktikal menggosok gigi dan menyampaikan sumbangan, bantuan zakat dan sedekah daripada rakyat Malaysia.
Majoriti penduduk Kampung Keh adalah muslim dan berjumlah lebih kurang 350 orang penduduk. Keadaan mereka yang serba kekurangan dan boleh dikatakan majoriti penduduk menggunakan perigi sebagai sumber air utama dan juga tadahan air hujan yang disimpan di dalam tempayan besar. Sekolah pula dengan berlantaikan tanah dan debu, meja dan papan hitam semacam suasana di dalam cerita P. Ramlee “Pendekar Bujang Lapok”. Kanak-kanak pula masih ramai yang kurang terurus dari segi pakaian dan kebersihan diri. Majoriti aktiviti utama penduduk ialah dalam sektor pertanian.

Program ini mendapat kerjasama Menteri Pendidikan dan Belia Kemboja dan mendapat sambutan amat menggalakkan dari penduduk. Walaupun mereka hidup dalam serba kekurangan, hubungan sillaturrahim dan kerjasama mereka amat kuat. Ini dapat dilihat dengan kerjasama penduduk kampung setiap hari bergotong-royong turun ke bendang sebaik saja selesai solat subuh berjemaah. Solat subuh berjemaah di masjid agak ramai jemaahnya dan ini menceritakan bagaimana penduduk kampung ini mempunyai daya ketahanan yang tinggi dan keberkatan dalam kehidupan seharian mereka.
Kanak-kanak pula pergi ke sekolah yang berhampiran dengan masjid dan kemudian disambung pula dengan kelas pengajian Al-Quran pada sebelah petang. Kadang-kala ada kanak-kanak yang terpaksa ponteng sekolah kerana membantu keluarga di bendang.

Program motivasi, kelas Bahasa Inggeris, kelas Bahasa Melayu dan permainan khas untuk kanak-kanak mendapat sambutan luar biasa. Lebih-lebih lagi apabila mereka mendapat hadiah peralatan alat tulis, buku, baju hasil sumbangan rakyat Malaysia. Manakala kelas mengaji Al-Quran pada awalnya kurang mendapat sambutan, tetapi semakin ramai yang datang bila mereka mendengar suara yang kuat dari masjid yang sedang belajar mengaji dengan menggunakan kaedah Al-Baghdadi. Akhirnya hampir penuh masjid dipenuhi dengan orang dewasa dan kanak-kanak lelaki dan perempuan. Mereka juga meminta agar diadakan kelas lanjutan pengajian kepada guru agama disitu untuk memudahkan sistem pengajian Al-Quran kepada kanak-kanak dan orang dewasa.
Insyaallah penulis akan pergi lagi ke Kampung Keh jika diizinkan ALLAH dan juga bersedia membantu kepada individu dan syarikat yang ingin menyalurkan bantuan, sedekah dan zakat kepada penduduk .

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 15 (Okt/ Nov 2013)
