Jana pendapatan melalui hobi – Bani Hasyim

14/12/2018 | miza

Temuramah: Miza

Foto: Bani Hasyim

 

IMG_20180606_121808

 

Bani Hasyim mula menceburi diri dalam bidang fotografi sekitar tahun 2007 hingga sekarang. Pada tahun 2010, beliau bergiat secara aktif di laman sosial Flickr dan Facebook dimana hasil karya beliau mendapat komen yang memberangsangkan dari rakan-rakan termasuk rakan baharu sehobi.

Bagaimana saudara boleh meminati bidang fotografi?

Saya meminati bidang fotografi semasa menjalani tugas membuat pemeriksaan dimana saya mula mengenali kamera kompak dan DSLR. Sejak daripada itu, timbul minat dalam diri untuk lebih mendalami bidang fotografi. Saya tertarik dengan genre fotografi landskap, makro dan sukan.

bani

Ada sesiapa jurugambar profesional yang menjadi mentor saudara dalam bidang ini? Kalau ada, kenapa saudara memilih beliau?

Antara sebahagian sahabat saya yang saya kagumi ialah Fakrul Jamil (Duta Sony Malaysia) dan Raja Kamal Raja Hussin yang merupakan seorang jurufoto landskap Malaysia yang hebat. Saya teruja melihat hasil karya landskap beliau yang mengagumkan dari segi ‘Rule of Third’, ‘Point of Interest’ dan pencahayaannya. Bagi jurugambar luar negara pula saya tertarik dengan karya DK Photography yang amat menarik seperti rakaman beliau di Iceland, Scotland, Australia, New Zealand dan lain-lain lagi.

Apakah kunci untuk menghasilkan kara fotografi landskap yang terbaik?Adakah sama untuk menghasilkan gambar secara umumnya (tidak kira apa jua genre fotografi)?

Bagi saya untuk menghasilkan sebuah karya yang menarik bagi fotografi landskap ialah perlu mengetahui fungsi kamera anda,memahami asas fotografi seperti ISO,Apertur dan ‘Shutter Speed’, menjaga komposisi ‘Rule of Third’ dan subjek ‘Point of Interest’. Selain daripada itu, saya juga menggunakan penuras ‘RGND Singh-ray’ dan ‘Raymaster’ bagi mengawal cahaya serta menghasilkan warna yang lebih menarik.

hm-71

Macam mana saudara plan untuk merakam gambar? Adakah saudara membuat kajian dahulu mengenai lokasi untuk merakam?

Tidak juga, berdasarkan pengalaman saya jika saya akan ke tempat yang baharu untuk merakam landskap saya akan mencari subjek ‘Point of Interest’ dahulu, selepas itu baharu saya akan menilai komposisi ‘Rule of Third’.

Lokasi manakah yang menjadi lokasi kegemaran saudara untuk merakam? Kenapa?

Lokasi kegemaran yang saya suka ialah di tempat yang mempunyai air seperti pantai dan sungai kerana kita akan dapat pembalikan cahaya disamping keindahan pantai yang cantik serta kemungkinan banyak lagi ‘Point of Interest’ yang bakal kita dapat.

d-2

Selain daripada merakam gambar landskap, adakah saudara merakam gambar dalam genre fotografi lain seperti sukan atau potret?

Ada, saya juga merakam gambar makro dan sukan air. Saya merakam gambar makro kerana kita dapat melihat dan merakam serangga-serangga kecil yang jarang dapat dilihat dengan mata kasar. Untuk rakaman fotografi makro, saya menggunakan ‘DIY Diffuser’ yang mampu mengawal pencahayaan agar lebih kemas disamping masih menggunakan asas fotografi yang betul dan menggunakan lensa yang sesuai untuk rakaman makro. Bagi sukan air pula, saya banyak merakam acara sukan lumba perahu yang diadakan bersempena Sarawak Regatta yang berlangsung setiap tahun di Kuching, Sarawak. Saya menggunakan lensa telefoto 200mm dan 300mm untuk merakam aksi dramatik semasa perlumbaan berlangsung.

Matlamat dan cita-cita saudara dalam bidang fotografi ini.

Pada mulanya tujuan saya terlibat dalam bidang fotografi hanya sekadar hobi semata-mata akan tetapi lama-kelamaan bidang fotografi ini boleh menjana pendapatan sampingan apabila hasil karya mendapat perhatian orang lain dan sesebuah organisasi. Bermula dari situ hobi ini bertukar menjadi sesuatu yang sangat menarik dimana saya juga ditawarkan untuk merakam gambar kursus dan bengkel. Tambahan lagi, saya kini telah berkecimpung dalam ‘microstock’ secara global dengan memasarkan hasil karya ke agensi seperti penyumbang gambar Shutterstock, Eyeem, Dreamtime dan lain-lain lagi. Daripada situ, saya dapat melaksanakan cita-cita saya dengan menjana pendapatan dan merakam lebih lagi keindahan landskap negara kita kalau boleh landskap di seluruh Malaysia untuk tatapan generasi akan datang.

 

Untuk melihat lebih lagi hasil karya saudara Bani Hasyim, layari laman sosial Facebook https://www.facebook.com/capulet.hm, Flickr https://www.flickr.com/people/tangkapdari_lensaku/ dan Shutterstock https://www.shutterstock.com/g/Hashim+mahriin.