
Brehi adalah dialek Kelantan yang bermakna keperluan, keinginan atau menyukai. Brehi: Under the skin memberi gambaran tentang rasa hormat, cara pemikiran, cara hidup dan warisan masyarakat Kelantan itu sendiri. Jurugambar Ariff Awaluddin dan Soraya Yusuf Talismail telah mengembara, mengkaji sendiri kehidupan serta merasai pengalaman melihat 5 jenis persembahan seni masyarakat orang Kelantan iaitu Wayang Kulit, Mak Yong, Dikir Barat, Menora dan Main Puteri. Mereka telah berinteraksi sendiri dengan tok dalang, penyanyi, pereka tari, pemuzik dan penari untuk merakam semangat dan menjiwai seni persembahan yang mereka sampaikan. Pameran ini dipersembahkan secara medium fotografi dan pelbagai elemen interaktif yang lain seperti multi media, cahaya dan bunyi yang mengajak pengunjung untuk merasai, menjiwai, mengetahui dan meneroka nilai-nilai seni persembahan masyarakat Kelantan.

Ketika ditanya mengapa memilih Kelantan? Ini jawapan Ariff, Kelantan merupakan negeri di Malaysia yang kaya dengan kepelbagaian warisan dan tradisi yang masih tetap diperlihara sehingga sekarang. Seni persembahan yang diketengahkan menggambarkan sosio budaya masyarakat Kelantan pada suatu ketika dahulu dan masih utuh dipersembahkan setiap hari tanpa mengira usia serta mesej penyampaian diselit dengan isu-isu semasa dan jenaka.

Perkembangan arus moden sekarang telah mengubah kepada seni persembahan yang digarap dengan nilai-nilai budaya. Kini, tiada lagi amalan persembahan spiritual dan mistikal yang memuja roh semangat akan tetapi telah diterap estetika seni dan dikembangkan sehingga seni persembahan Mak Yong telah diwartakan sebagai Warisan Dunia tidak ketara oleh UNESCO pada tahun 2005.
Sebuah buku bercirikan 80 imej berwarna dan hitam putih telah dilancarkan dalam majlis perasmian pameran yang lalu. Foto dalam buku dan pameran ini telah dikurator oleh Ariff Awaluddin sendiri dimana beliau lebih mengetahui elemen dan nilai estetika yang perlu ada samaada rakaman momen dihadapan pentas mahupun disebalik tirai.

Pameran Brehi: Kelantan, Under Skin dipamerkan di Galery 3B, Balai Seni Negara daripada 21 November hingga Februari 2018 dimana pengunjung boleh melawat pameran dari pukul 10 pagi hingga 6 petang.
