Teks: Hakimi Halim

Secara tidak sengaja, saya telah menonton satu rancangan bual bicara Indonesia di TV One yang membincangkan berkenaan Pasca Pemilihan Presiden di sebuah kedai makan di Kota Samarahan. Tajuk bual bicara tersebut adalah “Menebak Langkah Jokowi”. Membicarakan apa seterusnya yang perlu Indonesia lakukan selepas Presiden Jokowi dipilih sebagai Presiden baharu Indonesia. Merungkai mata pandang penyokong calon lawannya iaitu Prabowo dan polisi- polisi baharu Indonesia. Yang menarik perhatian saya ialah analisa visual berkenaan sahsiah kedua- dua lawan ini dibincangkan oleh seorang Profesor Universiti Indonesia iaitu Profesor Ronny Nitibaskara. Ronny bukanlah merupakan pakar visual atau pensyarah visual tetapi diberi kepercayaan untuk merungkai sahsiah, bahasa badan, bentuk muka, bahasa muka dan aspek- aspek visual dua tokoh besar ini. Malah kajian perbandingan juga dilakukan demi menegakkan hujahnya di kaca televisyen.
Sebagai pensyarah seni visual, saya melihat isu ini amat menarik untuk difikirkan bersama. Mengapa Indonesia begitu terbuka sehingga hal- hal yang kita anggap kecil ini dikaji dan diberi peluang untuk dibahaskan di televisyen yang boleh ditonton jutaan rakyat negara mereka.
Prof Dr Ronny bukanlah pakar dalam pengkhususan visual atau kajian sahsiah manusia. Beliau merupakan Profesor Antropologi (walaupun kajian kebudayaan dan sahsiah kelompok adalah sub daripadanya) dan Kriminologi di Universiti Indonesia. Tetapi keberaniannya membaca personaliti kedua tokoh ini melalui hipotesis- hipotesis tertentu membuatkan penulis merasa takjub di mana dunia sebelah sini sudah mula menganggap visual adalah penting. Pada satu ketika dahulu, di Saluran BBC pada tahun 1971-72, terdapat siri retorik popular yang membincangkan berkenaan visual secara meluas. Di hostkan oleh pakar visual, curator dan pengkritik seni, John Berger iaitu Way of Seeing. Melihat Prof Ronny menilai kedua- dua calon Presiden ini melalui bahasa visual menyebabkan penulis teringat berkenaan rancangan Way of Seeing yang pernah popular di dunia barat satu ketika dahulu.
Benar, Prof Ronny tidaklah sehebat dan sepopular John Berger dalam kajian visual, tetapi keberaniannya menghujah susuk dua tokoh, Prabowo dan Jokowi wajar dipuji. Ini kerana tidak senang bercakap dan meyakinkan penonton seramai ratusan juta secara langsung di televisyen apatah lagi subjek yang jarang diketengahkan di Asia iaitu pembicaraan aspek visual.
Ulasan Prof Ronny menyebabkan saya teringat kembali pembelajaran komunikasi secara perseorangan (interpersonal communication) di mana topik ini dirungkai sama ada beliau sedar atau tidak dalam ulasan beliau.
Pembacaan memek wajah, dan bahasa badan kedua- dua tokoh yang dirakam secara spontan dibincangkan dalam bual bicara ini. Malah Prof Ronny secara langsung telah membuat kajian perbandingan wajah calon yang kalah dalam pilihanraya Presiden iaitu Prabowo dengan diletakkan bersebelahan dengan Winston Churchill dan membuat bacaan hipotesis berkenaan persamaan karektor atau ketidaksamaan karektor antara dua tokoh.
Sebagai ahli akademik, saya memahami ulasan- ulasan Prof Ronny dengan baik sekali disebabkan kebiasaan saya berurusan dengan teori komunikasi. Tanpa menjelaskan dari mana sumber hujah tersebut iaitu bagi saya suatu kelemahan dalam ulasan Prof Ronny dalam bual bicara ini (dalam bidang akademik, cakap- cakap kosong tanpa menyertakan dokongan hujah adalah sesuatu yang dianggap pendapat peribadi), ianya masih dianggap ringan tetapi lebih senang dihadam oleh khalayak ramai terutama di Indonesia yang mempunyai ratus jutaan rakyat pelbagai latarbelakang. Mungkin kerana itu, ulasan Prof Ronny masih mengikut tingkatan kefahaman majoriti penonton. Prof Ronny cuma mendukung pendapatnya dengan hanya mengatakan “ianya adalah kajian- kajian yang pernah dibuat oleh barat” tanpa menyatakan siapa yang bercakap, di mana sumber hujah tersebut, adakah ada kontradiksi dengan hujah- hujah yang lain yang pernah dikaji oleh pakar- pakar sebelum ini.
Penulis tidak mengatakan bahawa hujah Prof Ronny ini pincang atau penulis mempersoalkan kredibiliti Prof sebagai ahli akademik yang mendapat sanjungan akademia di Indonesia (setelah meneliti latar belakangnya yang hebat). Tetapi penulis melihat bahawa Prof Ronny ini cuba memahamkan khalayak ramai dari pelbagai golongan tentang teori komunikasi terutama yang diungkapkan berkenaan ‘komunikasi verbal’ dan ‘komunikasi bukan verbal’.
Daripada ini ianya telah membuatkan penulis secara peribadi teringatkan kata- kata Profesor Sejarah yang Ulung di Malaysia iaitu Professor Emeritus Tan Sri Dato` Dr. Khoo Kay Kim yang mengatakan seorang Profesor yang baik boleh memberi kefahaman kepada pelbagai peringkat masyarakat dan golongan walaupun dengan kanak-kanak, atau orang- orang tua di kampung yang tidak mempunyai pendidikan yang tinggi.
Komunikasi Tidak Verbal
Jika kita membincangkan komunikasi tidak verbal, kita tidak dapat lari dari membincangkan berkenaan visual menerusi pembacaan dalaman seseorang. Komunikasi tidak verbal selalunya merangkumi bacaan- bacaan dari lontaran bahasa tubuh, memek wajah, sahsiah, gerak- gerak tertentu malah merangkumi cara duduk, cara berpakaian, corak tulisan, kebiasaan dalam menggayakan rambut, dan banyak lagi.
Lunenberg (2010, p.1) menerangkan pendapat Hicson (2010) bahawa komunikasi bukan verbal datang melalui empat cara iaitu komunikasi secara kinesics, proxemics, paralanguage, and chronemics.
Untuk meringkaskan pendapat Lunenberg, penulis tidak akan menerangkan berkenaan komunikasi, proxemics, paralanguage, dan chronemics. Tetapi apa yang diperhatikan, Prof Ronny cuma banyak menerangkan berkenaan komunikasi secara kinesics sahaja. Komunikasi kinesics adalah komunikasi yang melibatkan gerakan badan, ekspresi muka, gerakan mata, sentuhan, juga merangkumi bentuk tubuh, fizikal, postur, ketinggian, berat badan, rambut dan warna kulit (Bowden, 2011; Furnham, 2011; Walters (2011).

Pernilaian Prof Ronny banyak membicarakan aspek kinesics. Prof Ronny membicarakan tentang wajah Prabowo ketika bertemu untuk berdamai dengan Jokowi di Istana Presiden dengan membaca gerak tubuh dan wajah yang ikhlas menerusi video- video daripada agensi berita. Prof Ronny langsung membuat konklusi ringkas di mana pembacaan daripada aspek riak wajah, kejelasan ucapan dan bahasa tubuh (mungkin keadaan Prabowo yang berdiri dengan selesa) menunjukkan keikhlasan Prabowo dengan Prof Ronny menekankan perkataan “menunjukkan keikhlasan Pak Prabowo, pada masa itu”. Perkataan ‘pada masa itu’ telah memberi saya pembacaan secara tidak verbal pula terhadap Prof Ronny, Adakah menurut Prof Ronny Prabowo Cuma ikhlas pada masa itu sahaja dan belum tentu ikhlas pada masa hadapan?. Mungkin Prof membuat ulasan berhati- hati terhadap tokoh politik yang boleh berubah bila- bila masa sahaja mengikut keadaan semasa demi kelangsungan karier mereka.
Gambar foto mugshot Prabowo diulas dengan membuat analisa terhadap garisan- garisan wajah tokoh ini. Yang paling ditekankan ialah terdapat garisan lekuk di tengah- tengah dahi Prabowo. Prof Ronny terus mengeluarkan hujahnya dengan mengatakan tokoh yang mempunyai garis lekuk di tengah dahi (menurutnya merupakan pendapat dari kajian- kajian orientalis) merupakan seseorang yang berani mengambil risiko. Hujah ini disokong dengan peristiwa- peristiwa lepas ketika Prabowo merupakan pegawai tinggi Tentera Nasional Indonesia (TNI), dimana Prabowo pernah menyelamatkan anak buahnya di medan pertempuran semasa konflik di Timor Timur.
Kemudian ulasan diteruskan dengan berhipotesis bahawa rahang Prabowo yang besar merupakan karekter wajah yang biasa yang terdapat pada pemimpin- pemimpin dunia. Setelah itu, info grafik menunjukkan foto dua wajah pemimpin besar dunia yang mempunyai rahang yang lebar dan dipadankan dengan Prabowo iaitu Winston Churchill dan John F Kennedy bagi menyokong hujahnya. Prof Ronny melogikkan hujahnya secara visual dengan menunjukkan ketiga- tiga tokoh ini mempunyai fizikal wajah yang sama iaitu lekuk di dahi, rahang yang lebar dan muka yang sedikit sempit berbanding saiz rahang. Bentuk dagu juga diulas dengan mengatakan bentuk dagu yang bersegi mempunyai karekter yang keras kepala dan sedikit perkauman. Untuk menyokong hujah ini gambar Prabowo diregukan dengan gambar pelakon terkenal Mel Gibson yang mempunyai sejarah keras kepala dan anti simetik .
Ulasan diteruskan dengan membaca bentuk kepala Presiden Jokowi yang berdahi luas. Prof Ronny membuat ulasan bahawa orang yang berdahi luas mempunyai karekter ‘cepat berfikir dan cepat bertindak’. Tetapi wajah yang panjang serta rahang yang pendek dikatakan mempunyai karektor suka mendengar pendapat- pendapat dan bertindak atas pendapat- pendapat bersama.

Ulasan- ulasan Prof Ronny kemudiannya dikomentar lagi oleh orang- orang rapat dengan dua tokoh ini iaitu Firman Jaya Daeli yang merupakan salah seorang pasukan Jokowi dalam Parti PDI- Perjuangan dan Riza Patria iaitu Ahli Politik Parti Gerindra iaitu Parti yang diwakili oleh Prabowo. Ternyata ada beberapa keadaan dimana tekaan- tekaan Prof Ronny berkenaan kedua- dua tokoh calon Presiden yang bertanding ini ada yang masih samar- samar. Prof Ronny pada awal rancangan ini menegaskan tekaan- tekaan ini bukan ramalan- ramalan karut tetapi kajian- kajian komunikasi tidak verbal yang telah dibuat oleh sarjana- sarjana barat terutamanya sarjana Amerika.
Penutup
Perbincangan tentang kajian komunikasi verbal atau tidak verbal ini mempunyai perbincangan yang panjang, malah boleh dilawan dengan hujah- hujah yang lain yang mungkin lebih kuat. Ini adalah kebiasaan dalam kajian komunikasi di mana ianya sentiasa bersifat kualitatif dan bukan bersifat fakta empirikal dan juga numerik dan lebih mengutamakan teoritikal yang sentiasa terbuka untuk dibincangkan. Walaupun perbincangan ini adalah perbincangan yang agak akademik dan berat, usaha yang dilakukan oleh pengamal media di Indonesia untuk mengangkat tokoh- tokoh yang boleh membicarakan berkenaan kepentingan visual dan pembacaan- pembacaan visual patut dipuji. Pengamal media di Malaysia juga perlu memberi ruang kepada perbincangan visual di media arus perdana. Dewasa ini, penggunaan visual yang tidak terkawal di media sosial dengan niat- niat yang cenderung kepada negatif dan pembulian siber perlu diberi penjelasan dari sudut pandang akademik supaya masyarakat mendapat ilmu berguna dan memikirkan kesan- kesan penyalahgunaan visual di masa akan datang. Image is Power. Malaysia bila lagi?
Bibliografi
Makalah
Bowden, M. (2011).Winning body language: Control the conversation, commandattention, and convey the right message without saying a word. New York, NY: McGraw- Hill.
Furnham, A. (2011).Body language in business: Decoding the signals. New York, NY: Palgrave Macmillan.
Lunenburg, F. C. (2010). Louder Than Words: The Hidden Power of Nonverbal Communication in the Workplace. International Journal of Scholarly Academic Intellectual Diversity. Volume 12, Number 1. Sam Houston State University.
Walters, S. B. (2011). Principles of kinesic interview and interrogation. Boca Raton, FL: CRC Press.
Internet
www.youtube.com/watch?v=LCXYcu11r-c
www.merdeka.com/politik/pdip-tanggapi-santai-pertemuan-jokowi-dengan-prabowo-di-istana-bogor.html
Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 24 (April/ Mei 2015)
