Teks & Foto: Andrialis Abdul Rahman

Seorang jurufoto juga merupakan seorang artis kerana beliau mengadaptasikan sesuatu idea yang abstrak kepada sesuatu yang konkrit dan nyata. Seorang artis hendaklah mempunyai pemikiran yang bebas dari anasir yang berat sebelah ataupun pemikiran yang terhad. Beliau perlu menggunakan potensi penuh imaginasinya untuk menghasilkan sesuatu yang boleh dianggap inovasi dan serba baharu.
Sebagai seorang artis, saya masih di dalam proses untuk menambahbaik proses pencernaan idea dan menggunakan segala medium yang ada demi melahirkan sebuah karya yang agak lain daripada yang lain. Sesuatu yang menakjubkan mengenai bidang seni ialah tiadanya limitasi dalam berkarya, setiap perkara yang ada di sekeliling seseorang artis boleh diubah menjadi karya seni, hanya imaginasi yang menjadi limitasi untuk menghalang artis tersebut. Kebebasan untuk bereksperimen perlulah dijadikan alat untuk menjadi lebih kreatif dalam menghasilkan sesuatu yang tidak dijangka penonton. Kebebasan ini juga adalah punca utama seseorang artis ingin meningkatkan tahap kreativiti kepada yang lebih tinggi daripada yang sebelum ini. Dengan kebebasan ini, semangat inkuiri melonjak tinggi dan inspirasi yang membuak-buak akan melahirkan karya yang lebih bermakna.

Eksperimentasi fotografi ialah sesuatu yang sangat abstrak namun mempunyai maksud yang mendalam jika diteliti dengan terperinci. Bagi saya, melakukan kerja sebegini merupakan sesuatu yang sangat menarik kerana ianya memaksa saya untuk memikirkan sesuatu di luar kotak jangkaan penonton dan lari daripada sesuatu yang klise. Menerokai sesuatu yang asing dan menjadikan medium itu untuk berkomunikasi melalui seni fotografi merupakan cabaran, namun cabaran itu jugalah yang akan bertukar menjadi keseronokan.
Seorang artis harus mempunyai visi yang jauh, seperti mana Andy Warhol, seorang artis Pop Art yang terkemuka yang mahsyur di abad ke-20, yang dulu pada zaman persekolahannya merupakan seorang yang dipandang pelik kerana beliau pendiam dan sentiasa membawa buku lukisannya ke merata tempat, dengan perwatakan berkulit pucat dan rambut perang keputih-putihan.

Walaupun begitu, beliau begitu gemar mencuba pelbagai medium yang berlainan dan sentiasa komited terhadap buku lukisannya. Beliau sentiasa mencari saluran baru bagi mengetengahkan karya seninya. Daripada video, seni lukisan, mahupun komputer, beliau tetap gigih mencari medium yang sesuai untuk karya seninya. Akhirnya, seni Pop Art beliau menjadi begitu terkenal dan kekal relevan sehingga kini. Andy Warhol telah menggunakan kebebasan untuk bereksperimen dengan segala medium seni menjadikan beliau antara salah seorang artis yang paling berpengaruh sehingga kini.
Fotografi eksperimental tidak seharusnya menjadi sesuatu yang terlalu tradisional ataupun terlalu konvensional hanya kerana sesuatu hasil itu tampak tiada nilai atau buruk, jika dilihat daripada sudut yang berbeza, sesebuah karya itu mungkin jauh lebih bernilai dan menarik. Genre eksperimental ini tidak semestinya dilakukan dengan terlalu teratur dan terperinci, kerana setiap idea yang mungkin ‘gila’ apabila difikirkan mungkin boleh bercambah menjadi sesuatu yang sangat menarik.
Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 23 (Feb/ Mac 2015)
