Aspek Romantik Dalam Fotografi

13/04/2018 | miza

Teks: Hakimi bin Halim

 

Seperti dijanjikan, pada keluaran kali ini, penulis akan menghuraikan berkenaan aspek romantik dalam gambar. Apakah itu romantik. Romantik sering dikaitkan dengan perbuatan dan percakapan antara dua pasangan yang bercinta yang membawa kepada unsur-unsur positif dan asmara. Itu secara umum yang kita tahu. Bagaimana pula aspek romantik dalam seni? Daripada pemahaman umum kita mengenai romantik, maka sudah tentu perkataan romantik itu menjurus kepada aspek-aspek dalaman yang subjektif dan dapat dirasa apabila dizahirkan. Oleh yang demikian, adalah baik untuk kita mengenali sejarah istilah ‘Romantik’ dalam seni terlebih dahulu.

Gerakan seni yang digelar dengan perkataan Romantik yang pernah wujud di dunia ialah Gerakan Romanticism yang bermula di Eropah sekitar kurun ke 17 selepas kewujudan Gerakan Neo Classic. Gerakan ini memfokuskan terhadap isu-isu perubahan sosial, pengagungan terhadap emosi yang berlebihan dengan pengolahan komposisi karya dan sapuan cat yang ekspresif. Pengkaryaan mereka bersifat subjektif dimana pengkarya-pengkarya Romanticism memaparkan pelbagai isu dalam karya seperti kisah masyarakat, kisah zaman pertengahan, figura eksotik, misteri dan kisah-kisah mistik. Ini semua adalah untuk menentang industrialisasi dan pembangunan mekanikal yang mengawal aspek keseluruhan kehidupan masyarakat. Maka pengkarya romanticism memprotes trend baru masyarakat pada masa itu dengan membawa isu-isu yang imaginatif. Menurut Charles Baudelaire, “Romanticism boleh diletakkan di antara ‘pemilihan subjek’ atau (memaparkan isu)’kebenaran’, tetapi (subjek- subjek itu diolah) dengan penuh perasaan” (Hodge,2011 : 56 -58).

Maka daripada ini dapatlah difahami Gerakan Romanticism ini adalah gerakan yang mengutamakan idea lebih daripada real dengan melebih-lebihkan pengolahan subjek untuk menyampaikan maksud-maksud dalaman dengan berkesan.
Cara memahami Aspek Romantik dalam Pengkaryaan
Romantik dalam pengkaryaan seharusnya menyentuh aspek konotasi atau pemaknaan. Szarkowski (1978) memecahkan aspek pemahaman gambar kepada dua iaitu mirror dan window. Aspek window adalah aspek penghuraian seperti yang telah dinyatakan pada artikel-artikel tahun 2013 manakala aspek baru yang perlu dikaji ialah aspek refleksi terhadap pengkaryaan. Daripada aspek refleksi inilah yang memberi idea-idea terhadap makna. Dalam pengkaryaan, jurufoto selalunya akan merakam subjek-subjek berdasarkan pengalaman mereka berdepan dengan momen yang signifikan kepada diri mereka. Apabila dipaparkan di pelbagai media samada media cetak ataupun dipamerkan di galeri, penonton sendiri akan merungkai makna tersebut mengikut pendapat diri mereka. Itulah sebabnya terdapatnya pepatah yang mengatakan ‘sekeping gambar memberi ribuan makna’ kerana setiap orang yang melihat mempunyai pendapat yang berbeza terhadap karya itu. Aspek mirror inilah yang menjadi refleksi terhadap penghuraian makna. Sebagai contoh, aspek window adalah aspek menghurai segala yang terdapat di luar tingkap yang kita buka. Kita dapat melihat semuanya sejauh mata memandang dan kita dapat menghurai segala-galanya di depan mata kita. Berbeza dengan aspek mirror, ianya menjurus kepada aspek refleksi atau pantulan yang kita dapat lihat daripada subjek tersebut. Sebagai contoh, jika kita melihat wanita bertudung litup, fikiran kita akan cuba merungkai aspek intuisi wanita itu. Mungkin dia seorang perempuan yang baik, lemah lembut, kuat beragama dan pelbagai refleksi yang kita berikan kepada wanita itu. Berbeza jika kita melihat wanita yang seksi, secara tidak sedar kita mungkin akan memberi konotasi buruk kepada caranya berpakaian dan refleksi bersifat telahan itu mungkin juga memberi idea-idea buruk yang lain berkaitan wanita tersebut. Itu adalah contoh aspek intuisi dalaman yang bersifat ROMANTIK yang dibawakan oleh Mirror dan Window oleh Szarkowski tadi.

 

johnszarkowski02
Mendiang John Szarkowski
(18 Desember 1925 – 7 Julai 2007)

Pengkritik-pengkritik dan ilmuan seni barat sering membincangkan perkara ini dan meletakkan istilah dan terma-terma tertentu terhadap aspek penghuraian dan pemaknaan. Seperti yang dijelaskan tadi, Szarkowski menggunakan istilah Window dan Mirror, manakala Roland Barthes mencadangkan dua istilah yang sebenarnya membawa kefahaman yang hampir sama iaitu connote dan denote. Denote adalah berkaitan dengan pengurusan subjek atau aspek fizikal subjek manakala connote adalah bagaimana subjek-subjek di dalam gambar itu mencadangkan maksud-maksud tertentu kepada pemerhati.

 

Incontro con Italo Calvino
Mendiang Roland Barthes
(12 November 1915- 25 Mac 1980)

Selain itu, Chandlers (2007: 15) menerangkan pendapat Ferdinand de Saussure yang terkenal dengan teori semiotik iaitu Signifier dan Signified. Chandlers menyatakan bahawa Model Signifier Saussure adalah objek yang boleh dihuraikan secara luarannya. Manakala Signified pula merupakan konsep atau makna sesuatu objek. Sebenarnya teori Saussure inilah yang memperkembangkan teori-teori semiotik moden sehingga hari ini.

 

ferdinand_de_saussure
Mendiang Ferdinand de Saussure

(26 November 1857 – 22 February 1913)

Oleh demikian, kita telah mengetahui 3 tokoh yang mempunyai pandangan yang sama terhadap aspek Romantik. Szarkowski dengan aspek Cerminannya (Window), Barthes dengan aspek Connote dan Chandlers dengan aspek Signified. Ketiga-tiga ini adalah tidak jauh bezanya dimana ianya menceritakan aspek refleksi terhadap objek. Daripada objek tersebut kita mengenali ciri-ciri tertentu dan penonton mula menyoal diri dan berinteraksi dengan imejan tidak hanya dengan diskripsi kulitnya tetapi sudah menyentuh aspek intuisi, emosi, perasaan dan nilai dalamannya.

Jika kita mula membicarakan tentang bunga ros. Ros tetap sekuntum bunga ros. Ianya bunga yang pelbagai warna tetapi dominan yang disukai ramai adalah merah. Kelopaknya kita sudah terbayangkan bentuknya, daunnya hijau dan tangkainya berduri. Ianya sudah cukup cantik dan baunya adalah harum. Jika kita berkata seperti ini, ianya adalah penjelasan bersifat Window, Denote dan juga Signifier.

Tetapi bila kita mula berpuisi tentang ros, menghurainya bukan dari segi rupa tetapi jiwa. Sebagai contoh, warna merah ros dilambangkan sebagai perasaan berahi, wangi ros itu memulihkan indera, kelopak yang tidak penuh terbuka itu melambangkan perasaan malu. Duri di tangkai melambangkan ianya cantik tetapi tidak mudah disentuh, maka kita berbicara tentang aspek romantik ros tersebut seperti dijelaskan oleh tiga tokoh yang dibincangkan tadi.
Diharapkan penghuraian berkenaan aspek romantik pada perbincangan kali ini dapat memberi kefahaman awal terhadap aspek pemaknaan. Insyaallah pada keluaran depan saya akan membawa satu kajian kes supaya perbincangan ini dapat dilanjutkan lagi. Nantikan.

 

Rujukan
Barret, T, (1990) Criticizing Photographs, an Introduction to Understanding Images (3rd Edition): Mayfield Publishing.

Chandler D. (2002) Semiotics: The Basics, London: Routledge, Taylor & Francis Group

Hodge s. (2011) 50 Art Ideas You Really Need to Know :Quercus Publishing Plc, LONDON

 

Rujukan Imej Diperolehi pada 20 Januari 2014 di :
http://newlearningonline.com/_uploads/ferdinand_de_saussure.jpg

http://www.jonathanrosenbaum.net/wp-content/uploads/2010/06/roland-barthes-2.jpg

http://www.americansuburbx.com/wp-content/uploads/2010/11/johnszarkowski02.jpg

 

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 17 (Feb/ Mac 2014)

fg17-cover-rgb