Tugasan dan cabaran dalam merakamkan aksi sukan Bolasepak

10/04/2018 | miza

Teks & Foto: Arep Kulal

 

Barisan jurugambar yang cekal membawa aksi sukan dekat kepada anda

 

Salam hormat dan bertemu lagi dalam keluaran kali. Untuk keluaran ini, saya akan berkongsi pengalaman dan sedikit ilmu fotografi bersama-sama dengan anda pembaca setia majalah fotografika.

Jika pada keluaran yang lalu, penulisan saya bertajuk “Pengalaman mengatasi segalanya” menyingkap betapa pentingnya pengalaman seseorang jurugambar untuk berjaya, penulisan kali ini agak berbeza kerana saya ingin menyingkap dengan lebih jelas tugasan dan cabaran dalam merakamkan aksi sukan bolasepak. Seperti saya terangkan di dalam penulisan saya pada keluaran yang lalu, tugasan jurugambar sukan boleh diklasifikasikan kepada 2 kategori iaitu jurugambar sukan yang bertugas untuk agensi berita, akhbar, agensi foto dan jurugambar sukan yang bertugas untuk majalah dan laman sesawang. Walaupun objektif kedua-dua jurugambar ini sama iaitu merakamkan aksi sukan yang sedang berlangsung tetapi tugasan kedua-dua jurugambar ini sebenarnya berbeza.

Sempena perlawanan akhir bolasepak Piala FA 2013 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 29 Jun 2013 yang lalu, saya kongsikan dengan para pembaca tugasan dan cabaran yang dihadapi seorang jurugambar sukan untuk agensi berita, akhbar dan agensi photo.

Ramai yang beranggapan, tugas merakam aksi sukan bolasepak adalah sesuatu yang menyeronokkan. Anda boleh melihat aksi pemain-pemain pujaan ramai di hadapan anda dan anda boleh masuk ke stadium sehingga ke tepi padang. Itulah tanggapan ramai mengenai tugasan seorang jurugambar. Ternyata ‘hanya jauhari yang mengenal manikam’.

Semoga dengan perkongsian ini dapat memberi gambaran jelas kepada anda tugasan dan rutin yang dilakukan oleh seorang jurugambar sukan dalam membawa gambaran aksi dan berita bolasepak dekat kepada anda.

AK1_5152

Persediaan awal
Sebagai seorang jurugambar, telah menjadi rutin untuk lakukan persediaan awal apabila ditugaskan untuk merakam suasana perlawanan akhir bolasepak. Rujukan dari laman sesawang dan majalah-majalah amat membantu untuk memberi idea baru kepada teknik pengambaran yang akan anda lakukan. Perkara yang paling penting ialah memeriksa peralatan. Pastikan kemera, lensa, kad memori, lampu denyar, bateri berada dalam keadaan bersedia.

Datang awal ke stadium
Perlawanan bermula pada jam 8.45 malam, jangan terkejut sebagai seorang jurugambar sukan, anda perlu berada di Stadium seawal jam 3 petang. Ini bermaksud anda perlu berada di stadium 5 jam lebih awal. Datang awal ke stadium membolehkan anda bersedia dan merasai suasana sebenar perlawanan. Anda boleh mula merakamkan gelagat para penonton yang telah pun berkampung di perkarangan stadium sejak dari awal pagi. Pelbagai gelagat dan gaya boleh dirakamkan dan gambar-gambar ini mengambarkan suasana perlawanan akhir tersebut.

Lapor diri di pusat media dan turun ke padang
Selepas melaporkan diri di pusat media, anda akan diberi ‘bip’ oleh pegawai petugas. Pada waktu ini anda mempunyai sedikit waktu untuk memproses gambar yang anda ambil semasa di luar stadium dan boleh menghantar gambar tersebut ke pusat berita terlebih dahulu. Seterusnya anda perlu turun ke padang lebih awal untuk merakam pula aksi penonton di kawasan tempat duduk.

Tetapkan kedudukan dan posisi anda
Perkara seterusnya yang anda harus lakukan ialah menetapkan kedudukan anda. Untuk melakukan ini, anda harus bijak menilai pasukan mana yang mampu menghasilkan gol.

Duduk di belakang pasukan bertahan memungkinkan anda mendapat gambar aksi lebih awal. Jika anda tersilap menilai keupayaan sesuatu pasukan, anda mungkin termenung di tepi padang apabila melihat gol-gol diraikan di kawasan bertentangan. Ini merupakan cabaran buat anda. Salah perhitungan, anda mungkin lambat mendapat gambar.

Antara gelagat menarik penyokong JDT & Kelanatan diluar stadium yang hadir bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala FA 2013 di luar Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini. JUN 29, 2013. Foto/SAFWAN MANSOR
Antara gelagat menarik penyokong JDT & Kelantan diluar stadium yang hadir bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala FA 2013 di luar Stadium Nasional Bukit Jalil

Pasukan masuk ke padang untuk memanaskan badan
Pada waktu ini penonton telah mula ghairah bersorak. Ini adalah waktu terbaik sekali lagi untuk anda merakamkan aksi penonton dan keseluruhan stadium.

Perarakan masuk pemain ke padang
Anda harus bergegas untuk mendapatkan gambar tetamu VIP bersalaman dengan barisan pemain dan gambar pasukan kedua-dua pasukan.

Perlawanan bermula, aksi dirakamkan
Bermulanya perlawanan, bermaksud anda perlu menggandakan fokus anda. Rakamkan aksi demi aksi untuk mendapatkan gambar yang terbaik. Aksi seperti pemain melakukan terjahan, percubaan ke arah pintu gol lawan, pemain meraikan gol, perlu dirakamkan sebaik mungkin.

Masa rehat bukan masa untuk berehat
Masa rehat pada babak pertama perlawanan bukanlah masa rehat buat anda. Sebaliknya masa rehat selama 15 minit amatlah singkat untuk anda melakukan proses menyunting gambar aksi babak pertama perlawanan dan menghantar gambar ke pusat berita.

Babak kedua bermula
Sambil melakukan kerja-kerja suntingan dan menghantar gambar, aksi babak kedua tidak boleh ditinggalkan begitu sahaja. Kamera sentiasa diriba untuk merakamkan setiap aksi yang datang berhampiran anda. Pada waktu ini anda harus sentiasa peka dengan permainan yang sedang berlangsung.

Anggota polis berkuda berkawal di luar Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini. JUN 29, 2013. Foto/SAFWAN MANSOR
Anggota polis berkuda berkawal di luar 

Tamat Permainan
Tugas anda masih belum tamat. Anda harus bersedia untuk merakamkan aksi-aksi para pemain meraikan kemenangan dan juga merakamkan aksi pemain-pemain yang menangisi kekalahan mereka. Selepas itu anda harus pantas bersedia untuk majlis penyampaian hadiah dan aksi-aksi pemain meraikan piala kemenangan. Gambar pasukan bersama-sama piala kemenangan amat penting kerana pasti akan digunakan sebagai berita utama keesokan hari. Selepas selesai acara penyampaian hadiah, anda perlu mendapatkan beberapa gambar pasukan meraikan kejayaan bersama piala dengan para penyokong.
Tugas masih belum selesai
Ketika pesta meraikan kejayaan telah selesai, dikala pemain kesemuanya telah masuk ke dalam bilik persalinan, diwaktu para penyokong sudah mengosongkan stadium dan lampu limpah stadium mula dipadamkan, anda masih bersama-sama dengan kumpulan para jurugambar yang lain di tepi padang. Waktu ini dianggap waktu yang amat genting. Masing-masing sibuk melakukan proses menyunting gambar dan menghantar gambar ke bilik berita. Pada waktu ini anda harus pantas, memilih gambar, menyunting dan seterusnya menghantar gambar-gambar tersebut. Anda mempunyai masa lebih kurang setengah jam untuk melakukan semua itu bagi memastikan berita dan aksi bergambar dapat disiarkan pada keesokan hari untuk tatapan umum.

Perkara terakhir untuk anda lakukan ialah menghubungi pejabat berita bagi memastikan mereka telah menerima semua gambar yang telah anda hantar.

Sekitar jam 12.30 malam, barulah tugas anda selesai dan anda melangkah keluar dari stadium. Anda pasti akan pulang dengan senyuman kepuasan sekiranya segala tugasan mampu dijalankan dengan teratur.

Walaupun pada dasarnya dilihat tugasan seorang jurugambar sukan ini mudah namun hakikatnya tidak semudah yang disangka. Berdepan dengan tekanan, kekangan masa, situasi setempat dan keadaan semasa yang sukar untuk dijangka merupakan cabaran yang

harus ditempuhi oleh seseorang jurugambar sukan yang merakamkan aksi sukan bola sepak. Itu tidak termasuk dengan situasi mercun dilemparkan ke tepi padang, botol air mineral dibuang ke arah anda dan lain-lain lagi perkara yang boleh membahayakan diri anda. Ternyata hanya mereka yang cekal mampu melakukannya.

Sehingga kita bertemu lagi dalam keluaran akan datang. Bersama kita memartabatkan bidang fotografi di negara kita. Salam hormat.

 

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 14 (Ogos/ Sept 2013)

fg14-cover_new-updated