Cahaya Berbicara

29/03/2018 | miza

Teks & Foto: Sharkawi Che Din

CahayaBerbicara_0001
Canon EOS-1D X, EF17-40mm, 15 saat, F6.3, ISO 100 Campuran cahaya buatan dengan cahaya semulajadi seringkali dijadikan adunan yang standard di kalangan jurufoto “outdoor” terutamanya alam semulajadi kerana ia berupaya menghasilkan kesatuan warna dan cahaya yang seimbang daripada segi kontras dan nilai warna. Penggunaan dedahan yang lama iaitu selama 15 saat membolehkan perincian dalam gambar ini ditingkatkan dan pergerakan awan dirakam seolah-olah beranimasi atau memiliki ilusi pergerakan.

 

Tanpa cahaya, dunia akan menjadi gelap. Permukaan subjek yang tidak disinari cahaya tidak akan dapat ‘dilihat’ oleh sensor kamera walaupun ia merupakan elemen penting dalam sesebuah komposisi gambar. Iluminasi cahaya berperanan menyinari permukaan objek yang kemudiannya membolehkan subjek dirakam dengan menggunakan teknik fotografi. Cahaya akan bertindak sebagai elemen utama dalam membentuk karekteristik sesebuah objek untuk mengekalkan bentuk, isipadu dan warna dan mentranformasikan subjek biasa menjadi karya yang luarbiasa. Sehubungan dengan ini, peranan cahaya dalam seni fotografi bukan sahaja sekadar menyinari permukaan objek, lebih penting daripada itu adalah mengenal pasti sumber cahaya memberikan sinaran yang terbaik yang bersesuaian dengan permukaan sesebuah subjek.

CahayaBerbicara_0002
Canon EOS 5D Mark II, EF17-40mm, 1/5000, F4.0, ISO 400 Pembahagian antara ruang positif dengan ruang negatif menimbulkan ilusi ruang sementara bahagian batu di latar hadapan yang menjadi bayang adalah kerana ia tidak disinari dengan cahaya secukupnya seperti yang berlaku pada bahagian latar belakang gambar ini. Komposisi dan subjek ini adalah mudah tetapi dengan tompokan-tompokan cahaya yang datar yang hanya menyinari kawasan-kawasan khusus terhadap permukaan subjek menambahkan keunikan pada keseluruhan komposisi gambar ini.

Fungsi cahaya inilah yang jarang dikuasai oleh kebanyakan orang terutamanya mereka yang terlibat secara langsung dalam bidang seni fotografi alam semulajadi. Lazimnya, proses merakam gambar-gambar semulajadi melibatkan tiga tahap utama iaitu; 1)menentukan lokasi, 2)mengambil bacaan meter cahaya, dan 3)merakam gambar. Akan tetapi seorang jurufoto yang analitikal akan menjadi lebih peka terhadap cahaya dan bagaimanakah kesannya terhadap permukaan objek yang bakal dirakam.

CahayaBerbicara_0004
Canon EOS 5D Mark II, EF17-40mm, 1/160, F8.0, ISO 200 Posisi sumber cahaya tepi dapat diubah (menerusi sudut pandangan jurufoto) supaya kedudukannya berhadapan dengan kamera. Sumber cahaya utama (matahari) boleh dilindungi dengan cara memanipulasikan kedudukan jurufoto supaya terselindung di sebalik sesuatu subjek. Teknik ini juga berupaya menghasilkan gambar yang dramatik bukan sahaja daripada segi “point-of-view” (POV) malah cahaya juga kelihatan dramatik terutamanya dengan penggunakan lensa sudut luas yang biasanya akan menghasilkan herotan perspektif (perspective distortion). Jika tidak diatur dengan baik, kemungkinan berlakunya “lens flare” adalah tinggi dan ini akan menganggu dedahan keseluruhan terhadap komposisi gambar yang dirakam.

Apakah iluminasi cahaya di lokasi dan pada masa tersebut berupaya mewujudkan ilusi tiga dimensi ataupun gambar secara keseluruhanya akan kelihatan datar? Jika ini berlaku, ia mestilah dirakam pada waktu berbeza supaya ia berupaya menyumbang kepada kekuatan subjek dan iluminasi cahaya yang berlaku ketika itu. Kekuatan cahaya semulajadi adalah pada arah cahaya yang berbeza-beza yang berubah mengikut peredaran masa. Memahami ‘bagaimana’ dan ‘bila’ waktunya cahaya semulajadi mengeluarkan sinarnya yang terbaik dapat membantu jurufoto merancang proses rakaman supaya semua permukaan objek disinari dengan iluminasi cahaya yang berupaya menimbulkan ilusi ruang dan ilusi tiga dimensi.

“Side lighting” (cahaya arah tepi) adalah contoh cahaya yang terhasil daripada arah cahaya yang terjadi samada ketika matahari naik dan matahari terbenam. Cahaya arah tepi ini berlaku apabila permukaan objek disinari dengan satu arah cahaya samada daripada arah kiri ataupun kanan. Walau bagaimanapun, karekteristik cahaya tepi ini adalah berkontras tinggi dan sesuai dimanfaatkan untuk menegaskan garis dan bentuk subjek yang dirakam.

CahayaBerbicara_0005
Canon EOS-1D X, EF17-40mm, 15, F6.3, ISO 100 Warna selepas matahari terbenam adalah kaya dengan dominasi campuran warna panas seperti oren, jingga dan kuning. Jika warna ini digabungkan dengan warna artificial yang lain seperti warna putih dan hijau, keseluruhan mood dalam komposisi akan berubah menjadi lebih unik dan mantap. Penggunaan dedahan panjang menyebabkan cahaya hijau dan kuning yang terdapat di atas bot kelihatan menjadi seperti satu garisan lurus menambahkan kekuatan pada komposisi gambar ini.

Gabungan cahaya semulajadi dengan cahaya “artificial” (cahaya buatan manusia) adalah teknik yang berupaya mewujudkan gabungan tona warna yang unik, luar biasa dan “eye catching”. Hal ini demikian kerana karekteristik cahaya semulajadi dengan cahaya “artifical” diadun supaya menghasilkan sejumlah campuran yang seimbang (ataupun tidak seimbang) yang kemudiannya menimbulkan kontras daripada segi warna dalam sesebuah gambar. “Cityscape” adalah contoh subjek yang boleh digunakan oleh jurufoto untuk mengabungkan teknik ini.

Penguasaan terhadap cahaya dan karekteristik cahaya penting dalam melengkapkan alat keperluan sebagai jurugambar alam semulajadi di samping keperluan-keperluan teknikal seperti perlatan kamera, lensa dan penuras. Penguasaan terhadap aspek teknikal terutamanya memahami jenis dan peranan butang kamera boleh diperoleh dengan membaca manual kamera yang didatangi bersama-sama dengan alat yang dibeli akan tetapi penguasaan aspek estetika seperti komposisi dan cahaya hanya boleh dimantapkan menerusi siri latihan dan proses pembelajaran yang berkala yang dilakukan tanpa jemu kerana ia hanya dapat dikuasai menerusi rentetan proses pembelajaran yang berperingkat dan tiada jalan pintas untuk penguasaan pada tahap maksimum.

 

CahayaBerbicara_0006
Canon EOS-1D X, EF17-40mm, 25, F11, ISO 100 Gambar ini terhasil daripada dua fail yang dirakam secara berasingan dan kemudiannya disambung secara digital dengan menggunakan kaedah digital stichting. Adunan warna yang terhasil daripada cahaya semulajadi dengan warna daripada cahaya buatan (artificial) menyerlahkan suasana pada komposisi ini. Kesan pembalikan cahaya di dalam tasik juga menambahkan serlahan warna dalam gambar ini. Jurufoto yang kreatif akan sentiasa memikirkan bagaimana untuk memanfaatkan kesesuaian subjek, cahaya dan format terbaik yang boleh meningkatkan kekuatan subjek dan lokasi dalam sesebuah gambar.

 

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 12 (Apr/ Mei 2013)

fg-12-cover