Teks & Foto: Ashraf Saharudin

Kini kita kembali kepada persoalan utama, apakah sebab, apakah tujuan kita untuk berada di dalam industri ini?
Melihat fenomena industri fotografi tanah air yang dulu merupakan aliran sungai yang aman tetapi kini airnya melimpah menjadi banjir yang bakal membawa wabak penyakit dan kebinasaan jika tidak dikawal dengan baik.
Bagi setiap individu yang sedang berdayung di aliran fotografi atau kepada mereka yang sedang mempertimbangkan akal fikiran untuk terjun ke dalam arus yang deras ini, tanyakan kepada diri anda apakah sebab, apakah niat anda ingin menjadi seorang jurugambar? Bawalah persoalan ini ke mana-mana, sebuah persoalan yang tampak mudah namun persoalan inilah yang bakal menentukan siapakah anda dalam industri ini. Jika anda ingin mengejar kekayaan, anda jadilah seorang saudagar emas, jika anda ingin berbakti kepada negara, mungkin tidak sempat, jika anda ingin mengejar nama, jadilah seorang penyanyi hebat, tetapi jika anda betul-betul ingin berkarya di atas perahu seni, anda mungkin berada di aliran yang betul. Fikirkanlah sebelum anda hanyut dibawa arus deras dan lemas mati oleh tindakan bodoh diri sendiri.
Memang terbukti ada yang sudah masyur dan tersohor, memang terbukti ada yang sudah kaya dengan perniagaan karya dan gambar, memang terbukti ada yang telah menabur budi dan bakti bukan sahaja kepada negara, malah dunia. Mereka inilah yang harus dijadikan kayu pengukur, mereka inilah yang harus diteladani. Tetapi ada juga yang kecundang kemudiannya akibat ‘nawaitu’ niat hati yang angkuh dan lupa akan asal niat yang murni sebelumnya. Pelbagai fenomena asam garam industri fotografi tanah air dapat dilihat, banyak teladan yang boleh diambil. Kini kita kembali kepada persoalan utama, apakah sebab, apakah tujuan kita untuk berada di dalam industri ini?
Terdorong oleh keinginan yang meronta-ronta ingin memiliki sebuah kamera SLR, ramai bermula sebagai hobi untuk melampiaskan kepuasan diri sediri, bertemu rakan-rakan baru jurugambar bersosial dan merehatkan diri setelah penat bekerja di pejabat. Terdapat segelintir yang kemudiannya bertukar kepada kerjaya separuh masa dan seterusnya menjadi pendayung tetap di aliran seni ini. Samada anda bermula dari latar pendidikan yang berbeza atau sememangnya anda graduan bidang fotografi, matlamat yang ada tetap sama, berkarya, berkarya dan terus berkarya di atas landasan ilmu yang betul dan bukannya dunia ciptaan sendiri yang memesong entah ke mana-mana. Pilihlah dengan baik, ikon atau idola industri fotografi yang sebenar. Sekali anda tersilap pilih, bagi penulis bukanlah bererti anda akan sesat selama-lamanya. Kerana sesat juga adalah proses pembelajaran, cuma memerlukan kita memiliki sikap keterbukaan dalam menerima pendapat dan pandangan. Satu cabaran dalam menundukkan kepala yang ditongkat keegoan diri dan membuka mata, telinga dan minda dalam mencerna pandangan dan cadangan. Pandangan dan cadangan yang mungkin betul atau mungkin ada kesilapan yang anda pula perlu betulkan. Maka dengan pendekatan input dua hala yang sihat ini, proses perkembangan ilmu dalam industri fotografi ini akan mengalir dengan lancar dan tenang hingga ke lautan luas iaitu pentas dunia.
“Apabila karya seni berubah menjadi sebuah tanggungjawab, segalanya berbeza.” respon Soraya Yusof seorang jurugambar wanita tersohor tanah air dalam sebuah laman sosial memberikan penterjemahan padat tentang kematangan seseorang jurugambar dalam berkarya. Tanggungjawab dalam memartabatkan industri fotografi yang memerlukan imej baru dan matang. Industri ini bukanlah gelanggang sabung ayam yang hingar-bingar dengan pekik lolong badut-badut yang sibuk mendabik dada menjulang nama sendiri dan mendakwa ayamnya hebat. Tetapi industri ini memerlukan pelayar-pelayar seni yang akan membawa hasil tuai dari kampung ini untuk diperdagangkan ke dunia luas agar hasil tuaian karya industri tempatan diiktiraf dan dikenali di arena antarabangsa.

Memang kurang agensi-agensi besar fotografi dunia yang bersarang di sini untuk mengetengah dan memberi dedahan kepada karya-karya tempatan yang tak kurang hebatnya. Tetapi penantian itu bak pungguk rindukan bulan. Maka bawalah hasil tempatan ke luar negara daripada menunggu tak kunjung tiba. Mungkin suatu hari nanti negara bakal memiliki agensi-agensi fotografi bertaraf dunia dan pada ketika itu kematangan industri fotografi tanah air berada pada tahap yang lebih tinggi secara keseluruhannya. Bagaimanapun ucapan tahniah dan penghargaan buat jurugambar-jurugambar yang berjaya mengharumkan nama negara di pentas fotografi dunia, pertandingan-pertandingan fotografi antarabangsa, pameran-pameran dan sebagainya. Ini merupakan suatu petanda baik kepada industri yang membuktikan kualiti itu sudah ada yang setanding dan kini kita memerlukan kuantiti pula.
Semestinya usaha ini bukanlah usaha jangka waktu pendek. Usaha ini memerlukan warganegara jurugambar mengembeling tenaga, akal fikiran waras dan karya-karya bermaruah sebagai modal bagi sebuah industri yang masih lagi kerdil di mata dunia. Dengan penglibatan individu-individu yang memiliki rasa tanggungjawab terhadap industri ini, segalanya tidak mustahil. Tahun 2011 menyaksikan gelombang arus yang dulunya bergelora dan bergolak mula mendapat sentuhan pendayung-pendayung tegar industri fotografi kini. 2012 menyaksikan bibit-bibit perubahan dalam penampilan industri tanah air sebagai sebuah industri yang kian matang. Mudah-mudahan 2013 dan seterusnya menyaksikan segala usaha dalam membentuk warganegara jurugambar yang bukan sahaja berbakat, malah berilmu dan pengetahuan luas akan berjaya dibentuk dalam ekspedisi mengemudi karya industri fotografi tempatan ke dunia luas.
Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 11 (Feb/ Mac 2013)
