Siem Reap,Kemboja

16/03/2018 | miza

Teks & Foto: Dome

 

3_DOM9684

 

Kemboja merupakan sebuah negera yang sudah tidak asing lagi di dalam peta fotografi dunia dimana selepas Angkor Wat dibuka kepada umum, ianya menjadi salah satu lokasi yang wajib dikunjungi oleh jurugambar. Keunikan senibinanya dan budaya rakyat Kemboja pasti menarik perhatian anda.

Di dalam artikel ini saya lebih tumpukan kepada kawasan Siem Reap yang menjadi lokasi utama pelancongan di Kemboja. Antara foto wajib yang anda perlu rakam di sini adalah keindahan matahari terbit di belakang Angkor Wat dimana sebuah kolam yang berada di depannya memberikan suasana pantulan senibina yang indah. Rakaman foto dalam bentuk silhuet, pastikan kedudukan anda adalah sesuai supaya menampakan kelima-lima menara Angkor Wat di dalam gambar dengan jelas. Ini antara asas yang perlu anda pertimbangkan sebelum meneroka sudut-sudut lain. Terdapat banyak lagi kuil-kuil atau candi sekitarnya seperti Bayon, Ta Prohm dan pelbagai lagi. Semua kuil-kuil ini terletak dalam satu kawasan besar yang dikenali sebagai dataran Angkor.

Salah satu subjek lain yang perlu anda ambil kira adalah keunikan penari ‘Apsara’ yang memakai pakaian tradional khas mereka. Jika diperhatikan pada dinding-dinding Angkor Wat, kita boleh melihat ukiran-ukiran penari Apsara yang dikatakan berasal dari syurga menurut kepercayaan mereka. Kebiasaanya apabila anda memasuki ruangan dalam Angkor Wat, para penari ini sudah bersiap sedia menunggu, dengan bayaran tertentu kita boleh merakam foto mereka.

5_DOM9444

Antara lokasi lain yang wajib anda kunjungi adalah Tasik Tonle Sap, sebuah tasik air tawar yang menyajikan pelbagai panorama. Kampung-kampung terapung juga banyak wujud di tasik ini merupakan salah satu tarikan utama. Kehidupan mereka tidak ubah seperti suku Bajau Laut di Semporna, perahu menjadi kenderaan utama dan kedatangan pelancong ke daerah ini juga membuka peluang pekerjaan kepada mereka yang kebanyakannya terdiri daripada golongan miskin. Suasana di sini akan berubah-rubah mengikut paras air tasik, pada musim kering, ada bahagian kampung yang akan timbul sepenuhnya menjadi daratan dan sebahagian lain masih kekal di dalam air. Tarikan subjek kemanusiaan di tempat ini bagi saya cukup kuat.

Saya sempat juga ke ladang-ladang bunga teratai yang banyak terdapat di sini. Bunga suci mereka ini menjadi salah satu sumber rezeki bagi penduduk tempatan. Tanaman bunga ini adalah bermusim dan menjelang penghujung tahun kebanyakan bunga akan dipetik dan beransur kurang. Jika mempunyai kelapangan dan kesempatan, masukkan Kemboja ke dalam kalendar kembara fotografi dan teroka dengan lensa kamera anda.

 

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 10 (Dis 2012/ Jan 2013)

fg-10-cover