Anatomi Senyuman dalam merakam gambar potret

15/03/2018 | miza

Teks & Foto: Jidin

 

fotografika 9.2

 

Terdapat pelbagai jenis senyuman. Ada senyuman yang ikhlas dan natural, ada juga senyum yang dibuat-buat. Senyuman juga boleh memikat dan menarik minat seseorang dan mungkin juga melahirkan rasa menyampah. Senyuman juga berpotensi untuk membantu menyelamatkan nyawa atau memanipulasi orang lain. Senyuman yang ikhlas akan disukai oleh orang ramai dan terdapat juga jenis senyuman sekadar hanya sebagai senyuman untuk bersosial, seperti senyuman kepada jiran, rakan kerja ataupun kawan-kawan. Ramai juga yang senyum dengan bertujuan untuk menyembunyikan perasaan sebenar. Senyuman yang dibuat-buat biasanya mudah dipaparkan berbanding dengan senyuman yang ikhlas menawan hati orang yang diberikan senyuman ataupun senyuman yang sebenar bila dirakamkan dalam sesi penggambaran. Menjadi satu cabaran kepada jurugambar untuk merakamkan dengan terbaik senyuman yang ikhlas dan bukannya senyum yang seolah-olah terpaksa.

fotografika 9.5

Kajian terhadap mangsa strok boleh membantu kita memahami anatomi senyuman. Mangsa yang telah mengalami kerosakan kepada korteks motor mereka tidak boleh menghasilkan senyuman apabila diminta, tetapi agak menghairankan apabila mereka boleh tersenyum dengan mudah apabila mereka mendengar jenaka yang baik. Sebaliknya, mangsa strok yang telah mengalami kerosakan kepada bahagian yang lebih mendalam di dalam otak boleh tersenyum apabila ditanya, tetapi mereka tidak boleh tersenyum dan bertindak balas kepada jenaka walaupun mereka berfikir ianya melucukan. Fakta-fakta ini menunjukkan bahawa sebenarnya ada dua bahagian dalam otak yang mengawal senyuman. Salah satu daripadanya adalah di bawah kawalan sedar korteks serebrum, bahagian otak yang berkaitan dengan pergerakan sukarela. Manakala satu bahagian lain ialah bahagian yang dikaitkan dengan tidak sedarkan diri dan ditadbir oleh struktur dalam otak primitif yang berkaitan dengan emosi kita. Bahagian ini apabila diaktifkan, menyebabkan tingkahlaku spontan dan sukarela seperti pergerakan otot di sekitar mulut dan mata.

Jurugambar mesti peka dengan keadaan senyuman ini terutamanya jika sedang merakam gambar portrait. Gambar akan jadi kurang menarik jika individu yang dirakam dalam sesi portrait senyumannya kelihatan palsu atau seolah-olah terpaksa senyum berbanding sesi portrait yang terpancur di wajah individu tersebut senyuman yang natural dan ikhlas.

Rahsia untuk mengesan senyuman sebenar adalah dengan melihat pengecutan otot di sekeliling mata. Kesan tindakbalas tersebut memberi petanda kepada kita dan semestinya perlu peka dengan tindak balas tersebut untuk merakamkan senyuman sebenar. Sebab itu kita ada mendengar orang berkata “senyuman dengan mata”. Kajian juga mendapati bahawa senyuman itu berjangkit. Apabila kita melihat seseorang dengan senyuman keseronokan yang sebenar, ia membuatkan kita berasa begitu selesa dan kita juga mungkin bertindak balas dengan senyuman yang ikhlas. Di samping itu, lebih banyak kita mempamerkan senyuman yang ikhlas, ianya akan membuat kita lebih rasa selesa. Kita tersenyum kerana kita gembira, dan kita gembira kerana kita tersenyum dan orang sekitar kita pun akan turut tersenyum.

fotografika 9.3

Rahsia di sebalik senyuman yang jujur banyak mempengaruhi kejayaan sesuatu portrait yang dirakamkan. Senyuman yang ikhlas akan memancarkan senyuman yang menawan dan akan menawan hati individu yang melihat gambar tersebut berbanding dengan gambar yang kelihatan senyuman hambar dan seolah dibuat-buat. Perbezaan senyuman yang sebenar dan hambar ini menjadi faktor dalaman yang membezakan gambar yang lebih menarik walaupun oleh senyuman daripada individu yang sama.

Uji diri anda dengan cuba meneka rakaman portrait gambar yang dipaparkan. Cuba cari perbezaan rakaman gambar yang kelihatan senyuman sebenar dan senyuman palsu.

Jika anda disukai oleh subjek atau sudah ada ‘repo’ yang baik, maka anda lebih berpeluang untuk merakamkan gambar yang baik. Perbezaan antara dua senyuman sebagaimana yang telah dibincangkan di atas kadangkala agak sukar untuk dikesan dan kadangkala agak jelas perbezaanya. Anda mungkin sukar untuk meneka dengan jelas perbezaan senyuman yang dipamerkan, tetapi anda akan dapat merasai senyuman yang sebenar. Ini kerana pengesanan dan interpertasi senyuman kadangkala dikenal pasti pada tahap minda kurang sedar. Sebagai contoh, adakah anda mendapati diri anda sendiri kadangkala senyum semula kepada portrait yang memberi senyuman sebenar? Ahli kaji selidik percaya ini berlaku kerana tindak balas sosial dan juga salah satu cara mengurangkan tekanan. Dalam erti kata lain, apabila kita melihat senyuman palsu, ianya akan melahirkan rasa kurang senang. Ini kerana kita dapat mengesan emosi sebenar disebalik senyuman yang dipamerkan. Emosi dan pemikiran kita akan memproses senyuman yang dipamerkan, apakah mesej yang ingin disampaikan dalam senyuman tersebut? Adakah rasa tidak selesa? Cubaan untuk menipu? Ataupun menyembunyikan sesuatu ?

Senyuman yang dipamerkan dan faktor membuatkan subjek senyum memberi impak yang pelbagai kepada jurugambar. Bagaimana caranya untuk menghasilkan gambar yang mempamerkan senyuman sebenar? Bagaimanakah komunikasi yang sepatutnya untuk menghasilkan gambar yang memberi makna kepada jurugambar dan mereka yang melihat gambar?

Berdasarkan pengalaman saya, saya dapati bahawa berkomunikasi dengan subjek dan menyelitkan unsur lawak jenaka amat membantu agar subjek berasa selesa dan tersenyum. Kita boleh memilih isu yang agak general untuk berkomunikasi dan membuatkan subjek lebih selesa. Apa jua kaedah anda, anda perlu membuatkan subjek berasa selesa dan santai. Mungkin melalui muzik, prop yang menarik minat kepada subjek, atau pilihan dalam persekitaran semasa sesi rakaman. Selain itu, suasana boleh menjadi cerita lucu dan jenaka atau melibatkan mereka dalam sesi foto yang meletakkan senyuman di wajah mereka.

 

fotografika 9.4

 

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 9 (Okt/ Nov 2012)

fg-09-cover_o