Jurugambar Sukan – 7 perkara jadikan anda yang terbaik!

13/03/2018 | miza

Teks & Foto: Arep Kulal

Khairul Fahmi Che Mat dan pemain pertahanan Malaysia kecewa apabila pasukan Bahrain menjaringkan gol kemenangan di saat-saat akhir dalam perlawanan pusingan kelayakkan Olimpic

 

Salam hormat dan bertemu lagi dalam penulisan saya yang menjadi medium perkongsian ilmu dan pengalaman khas saya buat para pembaca.

Rasanya belum terlambat untuk saya merakamkan ucapan tahniah kepada sidang editorial majalah Fotografika sempena ulangtahun yang pertama majalah ini. Sudah tentu saya ingin menzahirkan rasa terima kasih yang tidak terhingga kerana memilih foto saya untuk dijadikan gambar muka depan majalah Fotografika isu ke-7 yang lalu.

Pemilihan ini sudah pasti menjadikan saya lebih bersemangat untuk terus mengangkat martabat dunia fotografi sukan seterusnya berkongsi ilmu dan pengalaman yang ada dengan para pembaca Fotografika.

Jika pada keluaran lalu, saya telah berkongsi dengan para pembaca 6 perkara asas penentu keunikan gambar anda, kali ini saya ingin berkongsi pula 7 perkara yang mampu menjadikan anda jurugambar sukan yang terbaik. 7 perkara ini saya yakin dapat membantu para pembaca yang ingin berjinak-jinak dalam fotografi sukan dan seterusnya menjadikan anda antara jurugambar yang terbaik dalam bidang ini.

Semoga dengan perkongsian ini anda mampu menjadi antara jurugambar sukan yang terbaik dan menghasilkan karya fotografi sukan yang bermutu dan diiktiraf di pentas antarabangsa.

Kemahiran mengendalikan kamera dan peralatan anda.
Perkara pertama yang anda perlu ada untuk menjadikan anda jurugambar yang terbaik ialah kemahiran mengendalikan kamera dan peralatan anda. Kamera dan peralatan ini ibarat nyawa anda. Anda bukan sahaja harus mahir menggunakannya tetapi juga tahu menjaganya. Saya masih ingat dengan kata-kata yang diungkapkan oleh saudara Khalid Redza sewaktu saya mula menceburi bidang ini, beliau berkata ‘nasi telah saya sediakan, lauk telah saya hidangkan, tak kan lah saya kena suapkan ke mulut’. Kata-kata ini menjadi pegangan saya sehingga ke hari ini. Saya berkongsi cerita, pengalaman, teknik, tip-tip dan sebagainya. Tetapi anda harus melakukannya sendiri untuk berjaya. Saya boleh nyatakan tetapan kamera apa yang perlu anda gunakan, tetapi anda sendiri perlu keluar dan mencubanya. Saya boleh menasihatkan kamera apa yang perlu anda miliki tetapi anda harus belajar untuk mahir menggunakannya.

Kemahiran menggunakan kamera itu penting sepenting kemahiran menggunakan peralatan-peralatan yang lain.

Sahabat dan juga salah seorang pakar rujuk saya, saudara Aswad Yahya, seorang jurugambar senior di Utusan Malaysia pernah menunjukkan kepada saya kemahiran beliau mengenai struktur dalaman dan luaran sesebuah kamera. Sebagai salah seorang graduan dari Institut Kemahiran Belia, beliau cukup mahir mengenai struktur dalaman sesebuah kamera sehingga boleh membuka beberapa bahagian dalaman yang saya anggap terlalu sulit dan kritikal. Kemahiran yang ada pada beliau membuatkan beliau sentiasa yakin dalam menggunakan kameranya dan berjaya menghasilkan gambar-gambar yang menarik. Pada satu ketika Aswad pernah berkata, dengan sedikit ilmu sahaja lagi, beliau mungkin mampu mencipta sebuah kamera. Saya tidak menafikan kenyataan itu apabila melihat kemahiran beliau. Kemahiran yang ada pada saudara Aswad Yahya merupakan satu kelebihan kepada beliau untuk bekarya dalam bidang fotografi.

Seorang lagi yang sentiasa menjadi pakar rujuk saya ialah saudara Osman Adnan jurugambar News Straits Time Press Berhad. Beliau mungkin tidak semahir Aswad dalam bahagian dalaman kamera namun beliau mempunyai kemahiran mengendalikan komputer dan perisiannya. Cakap sahaja perisian terkini untuk fotografi, Osman Adnan pasti punya informasi dan sedia untuk membantu. Kemahiran menggunakan komputer dan menggunakan perisian yang tepat sering membuatkan imej-imej yang disunting beliau berada dalam kelas yang tersendiri.

Oleh itu, untuk menjadi seorang jurugambar sukan yang terbaik, anda harus mahir dalam mengendalikan kamera dan peralatan fotografi anda. Jika anda tidak celik IT, maka kini masanya untuk anda belajar. Jika anda mahir menggunakan kamera anda tetapi tidak mahir untuk melakukan proses suntingan pada gambar anda, maka anda masih belum cukup sempurna.
Untuk itu, lakukan ‘check list’ peralatan anda. Dalam bidang fotografi sukan, anda memerlukan sebuah kamera, lensa, lampu denyar, komputer riba, perisian yang betul untuk proses suntingan, kad memori, pembaca kad dan aksesori kamera lain-lain. Tanya diri anda, apakah anda benar-benar sudah mahir dengan semua yang tersenarai di atas?

Sekiranya anda meluaskan pemandangan anda dan peka dengan keadaan sekeliling, gambar seperti ini berjaya anda rakamkan

Sentiasa berfikir dan luaskan pemandangan anda.
Luaskan pemandangan anda dengan melihat apa yang berlaku di sekeliling anda. Anda juga harus sentiasa berfikir akan sebarang kemungkinan yang mungkin terjadi. Di dalam sesuatu acara sukan, banyak perkara-perkara yang berlaku biasanya di luar daripada subjek utama tetapi masih mampu menjadi berita utama. Misalnya dalam perlawanan bolasepak, permainan bolasepak itu menjadi subjek utama tetapi dalam masa yang sama anda juga harus berfikir dan membuka mata anda melihat apa yang berlaku di sekeliling anda. Kehadiran artis yang duduk di celah ribuan penyokong misalnya mungkin menjadikan gambar anda gambar sensasi jika anda berjaya merakamkannya. Tingkah laku jurulatih yang marah, berang, kecewa, aksi unik para penyokong dan sebagainya merupakan subjek-subjek sampingan yang jika berjaya dirakam akan menjadikan gambar sukan anda lebih bermakna dan bernilai.

Untuk itu, anda perlu buka mata, luaskan pemandangan, lihat sekeliling, berfikir untuk setiap kemungkinan dan tekan butang pengatup anda.

Fokus pada tugasan
Untuk menjadi seorang jurugambar sukan yang terbaik, bukan sahaja kamera anda perlu fokus dengan betul tetapi juga diri kita perlu fokus dengan apa-apa yang kita lakukan dan apa-apa yang sedang berlaku di hadapan kita.

Misalnya jika anda merakamkan aksi permainan golf. Anda harus fokus dengan perlawanan yang sedang berlangsung. Ikuti perkembangan pendahulu kejohanan kerana dalam sukan golf, juara tidak semestinya mereka yang bermain dalam kelompok terakhir. Seringkali berlaku pemain yang telah selesai bermain lebih awal akhirnya dinobatkan sebagai pemenang. Pada waktu ini jika anda fokus dengan keadaan semasa, anda tidak akan lagi mengikut kelompok pemain terakhir sebaliknya terus mencari di mana pemain yang telah menghabiskan permainan tadi. Pastikan anda berada bersama pemain tersebut untuk merakamkan detik-detik kemenangan beliau.

Begitu juga dengan sukan bolasepak. Dikala para jurugambar memfokuskan lensa mereka kepada pemain pasukan yang menang, anda juga boleh memfokuskan lensa anda pada pemain pasukan yang kalah. Imej kesedihan, kegagalan mampu membuatkan imej sukan anda menjadi luarbiasa.

Gelagat jurulatih Irfan Bakti yang memperkatakan sesuatu kepada Penolong Pengadil 1 dalam perlawanan liga super baru-baru ini

Menghargai setiap masa yang ada
Ketika bertugas di luar negara, saya sering melihat tabiat jurugambar-jurugambar antarabangsa yang didatangkan dari negara-negara Eropah. Rata-rata mereka yang saya temui peramah dan senang untuk diajak berbual. Namun ianya hanya berlaku apabila semua tugasan mereka selesai. Apabila aksi sukan bermula, saya lihat mereka komited dengan tugasan yang dilakukan. Mereka seolah-olah berada dalam dunia mereka sendiri dan tidak bercakap dengan sesiapa. Walaupun adakalanya aksi sukan berhenti seketika untuk berehat dan sebagainya, mereka akan menggunakan masa yang ada dengan kerja-kerja mereka. Ini yang membuatkan mereka berbeza dari sudut pandangan mata saya.

Beberapa acara sukan dimainkan dalam masa yang panjang. 90minit dalam bolasepak, 5 jam dalam sukan golf, seharian dalam sukan kriket dan lain-lain jangka waktu yang tertentu. Akibat masa yang panjang ini, anda mungkin bosan untuk menunggu detik-detik kemenangan, detik-detik penting untuk dirakamkan. Gunakanlah masa yang ada untuk mempraktikkan ilmu fotografi anda. Misalnya teknik ‘slow shutter’, ‘bulp shots’ , ‘panning’ dan sebagainya. Semasa anda menunggu, rakamkan apa saja subjek di depan anda menggunakan teknik-teknik fotografi yang anda tahu. Lihat hasilnya dan anda nilaikan sendiri.

Dengan menghargai setiap masa yang ada dengan melakukan sesuatu yang berkait dengan fotografi akan menjadikan anda lebih fokus dalam tugasan anda dan ianya pasti lebih baik dari anda membalas pesanan ringkas atau facebook. Apabila anda lebih fokus, anda pasti mampu memberikan yang terbaik.

Strategi yang tepat dalam tugasan.
Untuk menjadikan anda seorang jurugambar sukan yang terbaik, pemikiran strategi fotografi adalah penting. Ketika melakukan tugasan, anda perlu mempunyai strategi yang mampu memberikan anda imej sukan yang baik dan bernilai. Antara strategi yang sering saya gunakan ialah strategi memberikan lebih tumpuan kepada pemain bintang.

Dalam perlawanan bolasepak misalnya, pemain bintang buat masa sekarang ialah Safee Sali. Tetapkan masa dalam 5 minit, pastikan lensa kamera anda sentiasa mengikuti pergerakkan beliau walaupun bola tidak berada dalam kawalan beliau. Bola pasti akan dihantar kepada beliau dan waktu itu teruslah menekan butang pengatup. Kamera anda pasti tidak akan ‘out focus’ kerana anda telah bersedia dari awal.

Lakukan ‘kerja rumah’, baca berita-berita terkini sebelum perlawanan sukan berlangsung. Contoh : Beberapa hari sebelum perlawanan bolasepak yang melibatkan pasukan Selangor, ada khabar angin yang mengatakan jurulatih Selangor akan digugurkan. Bagi membolehkan gambar yang dihasilkan selari dengan isu semasa, jangan lupa untuk mengambil gambar jurulatih Selangor semasa beliau memberi arahan kepada pemain atau ketika beliau sedang bercakap dengan pegawai Selangor. Anda akan lihat bagaimana nanti gambar anda mendapat permintaan yang tinggi dan seterusnya menjadikan anda jurugambar yang terbaik.

Aksi pemain bintang Ryo Ishikawa dari Jepun dalam pertandingan golf Thailand baru-baru ini

Buat Penilaian dan Bandingkan hasil kerja anda.
Pujangga ada mengatakan, ‘anda tidak hebat, sekiranya anda tidak mengetahui ada orang yang lebih hebat dari anda’.

Membuat penilaian dan membandingkan hasil kerja anda dengan hasil kerja jurugambar-jurugambar yang lebih hebat adalah salah satu cara untuk mengangkat semangat anda untuk terus berusaha dan berkarya. Ingat, sehebat manapun anda dalam dunia fotografi, pasti ada insan lain yang lebih hebat. Justeru itu, jangan terlalu berbangga dengan 1000 ‘like’ yang anda dapat di laman sosial facebook misalnya kerana itu tidak menjamin mutu dan kualiti hasil kerja anda.

Menjadi rutin saya sebelum melakukan apa-apa tugasan, saya akan rujuk imej-imej sukan di laman-laman sesawang, laman ‘stock photo’ Getty Images dan galeri AFP. Saya akan melihat sudut-sudut yang menarik yang dihasilkan dan melihat teknik pengawalan cahaya yang dilakukan. Hasil kerja sahabat-sahabat saya juga sering saya lihat terlebih dahulu sebelum saya keluar melakukan tugasan.

Rutin ini memberi saya lebih bersedia dengan idea dan berusaha untuk menghasilkan sesuatu yang lebih baik. Persaingan sihat secara ‘rahsia’ ini banyak membantu saya untuk maju dalam bidang ini dan saya yakin anda juga mampu melakukannya untuk menjadikan anda jurugambar yang terbaik.
‘Make it simple’
Kadangkala jurugambar terlalu ghairah apabila diberi peluang untuk merakamkan aksi-aksi sukan. Akibatnya pelbagai jenis lensa dibawa bersama dengan beg yang pelbagai jenis mengikut gaya dan selera masing-masing. Percayalah, anda hanya mampu menggunakan satu kamera dan satu lensa pada satu-satu masa. Jadi mengapa perlu bawa lensa yang tidak diperlukan. Anda juga tidak perlu mengantung setiap beg di pinggang dan bahu anda, fotografi sukan memerlukan anda bergerak dengan pantas. Beg yang dibawa pasti akan menganggu tugas anda.

Make it simple ! Pelajari terlebih dahulu jenis gambar sukan yang ingin anda rakamkan. Misalnya untuk mengambil gambar perlawanan badminton, lensa 70-200mm sudah memadai jika anda berada di tepi gelanggang. Jadi, bawa yang perlu sahaja. Dalam banyak-banyak tugasan yang saya lakukan, saya hanya membawa 2 buah kamera yang dilengkapi dengan lensa 400mm dan 24-70mm. Dan ianya memudahkan saya. Ini cara saya dan saya senang dengan cara ini.

Jadikan ianya ‘simple’ tapi anda tetap yang terbaik.

Saya harap 7 perkara ini dapat membantu anda untuk terus maju dalam fotografi sukan. Teruskan usaha anda dan terus berlatih dan berlatih. Ingatlah, ‘Kebanggaan terbesar dalam hidup adalah apabila kita mampu menjadi yang terbaik dikala orang lain tidak dapat melakukannya…’

Sehingga kita berjumpa lagi dalam keluaran akan datang. Salam hormat dan terus memartabatkan kredibiliti seorang jurugambar di Malaysia.

 

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 08 (Ogos/ Sep 2012)

fg-08-cover_o