Bukan Terjahan Tapi Tujahan

09/03/2018 | miza

Teks & Foto: Mohd Azlan M.A.M08

Exif_JPEG_PICTURE
Silent shattered memories

Henri Cartier-Bresson , pada tahun 1974 pernah memberitahu dunia bahawa “ Kami jurufoto merakam sesuatu yang akan terus lenyap dan beliau juga memberitahu dunia bahawa kita tidak boleh menghasilkan atau mencetak semula memori lampau. Hidup ini hanya sekali dan kita sentiasa melalui pembaharuan tanpa batasan”. Andaikata hari ini kita faham akan maksud yang cuba disampaikan oleh beliau, maka pantas sekali kita yang berpuak-puak dan penuh dengan haluan masing-masing yang diangotai batalion bala tentera akan menjunjung martabat fotografi kita agar menjadi satu santunan coretan masa yang akan terus diingati keturunan. Persoalannya ialah bagaimana? Fahamkah kita akan erti rakaman cahaya?

Exif_JPEG_PICTURE
Project D

David Burnett di dalam salah satu sessi penyampaiannya ketika World Press Photo 11 memberitahu dunia bahawa tanpa fotograf, maka tiadalah bukti peradapan manusia dan kepincangan dunia. Fotograf telah menjadi satu siri kolektif memori untuk penghuni dunia. Maka haruslah kita faham bahawa urusan fotografi adalah satu urusan yang serius dan perlu ada martabatnya yang tersendiri. Ketika era keemasan dan kegemilangan fotojournalism di Eropah dan Amerika Utara, pada ketika itu dunia menyaksikan penghasilan imej–imej yang sangat mengagumkam dan penuh dengan keindahan dan penghayatan ceritanya tersendiri. Ini termasuklah kandungan pengisiannya yang cukap dramatik dan provokatif. Imej–imej ini terus melakar jalur sejarah peradapan manusia sehingga ke hari ini. Kenapa gambar dan imej seperti ini masih terus mengungguli carta sejarah minda dan pemikiran manusia? Tentulah kerana ideologi gambar dan imej yang terhasil tersebut telah dirakam dan dimanifestasikan oleh kotak minda sang perakam yang sangat luhur dan jujur. Adakah kita hari ini merakam dengan kejujuran dan originaliti idea kita?

Tiga juzuk utama dalam pengkaedahan yang betul bagi penghasilan foto yang berkaliber ialah pemilihan subjek itu sendiri, penggunaan dan olahan kamera yang betul dan yang paling penting sekali ialah ‘mata minda’ sang perakam. Inilah antara perkara penting yang mendasari carta proses perakaman imej. Imej–imej yang berjaya adalah imej–imej yang akan terus kekal di dalam memori sang pemerhati. Ketumpatan idea itu perlu di sulam dengan pemahaman khusus tentang keperluan untuk merakam pada masa yang tepat. Jurufoto umpama suara bagi manusia lain yang ingin menyampaikan sesuatu. Secara halusnya, sesi penyampaian dilakukan dengan representasi gambar yang pegun “still photo”.
Ketika era “Eksperimental Photography” yang menyaksikan lahirnya beberapa pergerakan ketika itu seperti Dadaism, Cubism dan Suprematism, salah satu daripada cabangan fotografi ketika itu ialah Constructivism sepertimana yang telah dipelupori Laszlo Moholy–Nagy yang telah mencipta satu kaedah perakaman imej dengan menggunakan kertas bersensitiviti tinggi dan penggunaan objek yang diletakkan di atasnya untuk didedahkan kepada cahaya . Inilah yang dikenali oleh dunia sebagai fotogram. Apakah tujuan Moholy–Nagy berekperimentasi dengan siri–siri fotogram ini? Dia sebenarnya cuba untuk membuktikan apa yang mata biasa tidak nampak atau dapat melihat melainkan setelah proses projeksi dan perakaman imej dilakukan dengan kaedah fotogram. Inilah sesuatu yang menarik dalam fotografi kerana ia berfungsi untuk menyampaikan secara langsung atau melalui proses timbang-tara imej dari visualisasi mata, hati dan akal sang perakam dan pemerhati itu sendiri.

Exif_JPEG_PICTURE
The land of honour

Setiap imej adalah refleksi tentang kehidupan kerana kita semestinya bergelumang dengan aspek kehidupan dalam setiap proses perakaman imej yang kita lakukan. Hubungkait diantara fotografi dan kehidupan adalah rapat kerana fotografi itu sendiri menterjemahkan integrasi antara teknologi, faktor sosial dan keperluan ekonomi manusia sejagat. Fotografi juga menterjemah keperluan biologi dan pertalian manusia, dan yang penting sekali ialah kesan psikologi ke atas manusia itu sendiri melalui kewujudan unsur seperti bentuk, warna, isipadu dan ruang. Inilah nilai–nilai fundamental yang kurang diketahui kita sebagai penjunjung kamera. Keupayaan kita untuk berfikir adalah proses hubungkait kita dengan keupayaan alatan atau kamera itu sendiri .

Sudah sampai masanya kita harus berfikir di luar kotak selesa kita selama ini kerana menjurus kepada keselesaan ini ialah penghasilan imej- imej yang sangat stereotaip baik genre apa-apa sekalipun yang sedang kita amalkan. Kita harus mula menggapai satu tahap integriti yang tinggi dengan menghasilkan siri–siri hasil kerja yang kukuh secara berterusan tanpa mengira samada kita adalah junior, senior atau ikon dalam industri fotografi ini.

Yang penting kita hadir dengan persembahan yang merangkumi konsep, manifestasi, komposisi dan penggunaan cahaya dengan cara kita yang tersendiri. Dengan ini barulah kita dapat mewujudkan laluan yang betul untuk halatuju kita dan bukannya mengorak langkah dengan keberadaan julangan populariti atau fotografi berlandaskan para pengikut. Semua jurufoto mempunyai bakat dan intipati, persoalannya ialah bagaimana kita mendominasi bakat kita sendiri untuk penghasilan imej yang lebih baik? Saya menolak sekeras–kerasnya kewujudan jurufoto dalam ‘liga angkuh’ yang memperlecehkan orang lain hanya kerana mereka masing–masing telah berjaya. Ini bukanlah tingkahlaku orang yang berjaya tapi inilah golongan yang takut pada baying-bayang sendiri. Ilmu untuk dikongsi dan bukan untuk mencaci.

Setiap gambar atau imej yang berkesan umpama suatu pementasan atau teater yang mempunyai jalinan ceritanya yang tersendiri, ada permulaan dan ada pengakhirannya. Gambar–gambar yang baik berdiri mengikut peradaban imaginasi dan kreativiti. Gambar yang baik sebenarnya menyingkap idea perakam itu sendiri. Ia turut menggambarkan kepekaan seseorang dalam pengolahan yang terbit dari kotak minda.

Exif_JPEG_PICTURE
A love anthem

Suka saya membawa cerita Ansel Adam yang mempelupori kaedah ‘zon fokus’, beliau pernah memberitahu dunia bahawa f64 bukanlah semata–mata tentang pemfokusan pada kamera tetapi ia juga sebenarnya melibatkan pemfokusan pada tujuan asal “art of seeing” iaitu luminans, kedalaman dan keseimbangan. Inilah makna visualisasi dan interpretasi yang sebenar dalam menghasilkan gambar atau imej yang tinggi martabat seninya sehinggakan fotografi diangkat sebagai salah satu daripada cabang seni halus.

Dalam pencarian ilmiah saya mengenai intipati tentang perkara yang perlu kita corakkan dalam sesuatu gambar yang dirakam, terbaru saya menemui rakan–rakan yang arif dalam manifestasi dan komposisi gambar–gambar mereka seperti saudara Shamshahrin Shamsudin, Naza Hamed, Kupih Photo Aper dan Julian Oh bagi mengambil sedikit ilmu tentang perkara yang sering mereka lampiaskan bagi menghasilkan sesuatu imej yang berkesan pada visualisasi kotak minda kita dan imej yang sering dilihat dapat memberi lebih penghayatan dan lontaran ekspresinya yang tersendiri. Kesimpulannya ialah ‘Pengisian’. Ya , pengisian adalah dasar objektif sesuatu imej yang kita rakam. Yang lain hadir sebagai pemantap dan suntingan hadir sebagai cirian kosmetik untuk memperindahkan hasilan akhir sesuatu imej. Komposisi yang bersifat mutlak tanpa pengubah suaian, manipulasi atau suntingan banyak saya pelajari dari Smelly Plastik Photographic Group (SPPG) , satu kumpulan kecil tempatan yang hadir dengan konsep fotografi tradisional yang mementingkan konsep pra-visualisasi untuk penghasilan dan gubahan komposisi yang lebih matang. Satu konsep asas dalam fotografi tetapi sering diabaikan akibat industrialisasi fotografi era digital (DSLR). Bukan menyalahkan industrialisasi itu, tetapi tangan-tangan dan pemikiran manja sang pengguna.

Semoga kita sama–sama mengangkat martabat fotografi kita agar kesinambungannya akan berterusan buat kita di bumi Malaysia. Bukan terjahan tapi tujahan.

 

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 06 (Apr/ Mei 2012)

fg-06-cover