Teks & Foto: Mohd Azlan M.A.M08

Dalam menyelusuri, meneliti dan meneladani hasil-hasil indah ‘karya’ fotografi dan imej-imej yang dirakam melalui instrumen yang kita kenali sebagai kamera, pasti kita akan berdepan dengan santunan halus yang terbit dari kesimpulan kotak visualisasi kita iaitu ada terdapat paksi perbezaan juzuk serta ketumpatan yang sangat berbeza dari setiap manifestasi dan terjemahan hasil fotografi yang dihidangkan di kotak visualisasi di minda.
Apakah perbezaan ini sebenarnya? Apakah intipati dasar kehebatan sesuatu imej fotografi?Apakah yang menyebabkan kotak minda kita lebih terangsang untuk terjun lebih lama dan menyelam di lautan interpretasi yang tidak sama kedalamannya ?
Bagi yang memahami konsep asas dalam olahan seni visual, pasti ini bukan lagi suatu teka-teki atau kekeliruan. Namun bagi yang sudah berenang di laut jauh tanpa menduga akan kedalamannya, pasti akan keliru berdepan dengan sifir fotografi dan formula seni ini. Terlebih dahulu suka saya jelaskan bahawa fotografi hadir dalam rentak dan jalur seni visual sebagai satu daripada cabang utamanya, bukannya sebagai seorang anak tiri. Kitalah yang telah menganaktirikan seni fotografi sehingga sedikit terpinggir di kancah industrialisasi dan pembangunan moden arus seni visual tanahair.

Di mana harus kita bermula setelah terdampar buat seketika? Teringat saya akan kata-kata salah seorang mentor saya yang telah berkecimpung dalam cabang seni fotografi analog selama hampir 30 tahun, Khairil Faizi Abd Majid. Dalam salah satu ceramah fotografi di Johor Bahru baru-baru ini, beliau menegaskan bahawa fotografi itu sendiri adalah wadah untuk menyampaikan ilmu pengetahuan. Satu platform yang baik untuk kita mendidik manusia kerana pendekatannya adalah melalui mesej-mesej visual. Saya sendiri telah lama memandang kesinambungan fotografi itu sebagai satu olahan mesej dalam bentuk pernyataan visual dan subjek mental serta psikologi. Kecenderungan manusia hari ini lebih terarah kepada suatu corak persembahan visual yang kukuh dari segi olahannya. Ini adalah stigma pemikiran dan revolusi akal manusia hari ini. Mahukan sesuatu yang kukuh, padat dan jitu.
Segala rahsia pengukuhan dan komposit bingkai idea yang paling jitu ialah Bahasa Visual itu sendiri. Bahasa lisan membolehkan kita bertutur namun bahasa visual diterjemahkan dalam corak kemampuan pemikiran kita untuk merenung akan sesuatu penyampaian yang dihidangkan. Adakah kita mampu berfikir untuk menakrifkan imej yang terhidang dihadapan skrin penglihatan dan kotak pemikiran kita? Karya–karya fotografi yang kuat akan isi kandungan dan bunga penyampaiannya akan memangkinkan akal pemerhati untuk terus berfikir dalam bahasa visual secara semulajadi akan menyebabkan kita berfikir. Noktah.
Bagi jurugambar yang mahir akan ekspresi fundamental dan nilai estetik dalam fotografi, selain dari menjadikan komposisi sebagai para tertinggi dalam penghasilan karya, pasti mereka akan menyelitkan unsur-unsur bahasa visual sebagai elemen pengukuh sekunder untuk menghasilkan gambar atau hasil seni yang lebih kuat. Bicara seperti ini mungkin agak asing di benak pemikiran kita hari ini kerana dalam alunan rentak fotografi semasa kita telah banyak terdedah kepada gambar–gambar yang menitik beratkan faktor teknikal yang saratdengan kandungan kosmetik dan bukannya nilai–nilai estetik dalam pengisian etika seni yang sepatutnya. Kosmetik adalah pecahan sampingan idea dan bukannya originaliti sesuatu idea. Imej yang menyerap kemampuan kita untuk berfikir ialah imej yang dironggakan dengan originaliti, nilai autentik, astetik dan bahasa visual yang puitis. Malah ada golongan anti–intelektual yang menjumudkan presentasi dan penyampaian mereka lebih kepada penekanan teknikal, applikasi dan suntingan ´post prosessing´ dengan melampaui aspek-aspek penting; kandungan dan intipati visual gambar tersebut.
Telah sampai masanya dunia fotografi kita harus bergerak berdasarkan sumber ilmu dan manifestasi seni yang ampuh, tidak kiralah kaedah apa sekalipun. Kita harus mula mendasari sesuatu terjemahan melalui kaedah institut minda seni berdasarkan akal seni dan bukannya akal untuk mengaut untung semata-mata. Untung tidak salah namun nilai seni harus tetap kita pertahankan. Saya tidak pernah menongkah arus namun saya memang lantang untuk memberi sedikit penekanan tentang ideologi asal terjemahan manifestasi seni iaitu komposisi, intipati pengisian, kekuatan subjek dan ´frame´, dan yang ingin diutarakan dalam bicara ini ialah bahasa visual itu sendiri. Umum mungkin sukar memahami konsep dan idea yang saya nyatakan, bukan perkara baru tapi agak terpinggir selama ini. Bahasa visual bagi saya ialah corak metaforifikasi dalam berkarya. Satu pelunasan idea dalam bentuk perlambangan imej yang dapat mendasari pengertian realiti dalam ertikata yang sebenar. Dalam pengenalan fotografi sebagai cabang seni visual, etika penyampaian sangat penting. Kita adalah penyampai dan bukannya wabak yang ingin memanipulasi pengertian realiti sehingga pendekatan realism tentang cerita sebenar hilang dalam hasil karya kita kerana kita lebih banyak menampilkan palitan kosmetik yang agak ´superficial´ dan bukannya mandatori.

Saya banyak bereksperimentasi tentang nilai sebenar kehidupan, manusia dan alam dalam karya–karya konseptual, seni halus dan kontemporari saya, namun pendekatan yang sering saya gunakan ialah belajar dari jurugambar terdahulu yang banyak merakam episod-episod kehidupan manusia melalui olahan benar cerita-cerita yang berlaku dalam realiti kehidupan. Realiti yang sebenar dan bukannya acuan palsu.
Bagaimana kaedah saya untuk menterjemahkannya? Jawapannya ialah secara ´metaforifikasi´. Metaforifikasi penting dalam penghasilan karya konseptual dan seni halus. Malahan pergerakan dan perkembangan seni dunia telah menyaksikan kelahiran manifesto-manifesto seni yang terdahulu yang memang berpaksikan perlambangan sebagai mesej penyampaian selain pendekatan jujur dalam bentuk realiti. Matlamat untuk melontarkan realiti boleh kita ambil secara langsung melalui pendekatan langsung seperti dokumentasi dan hasil journalistik. Realiti juga boleh diterjemahkan secara provokatif melalui kaedah halus berkonsepkan metafora dalam bahasa visual yang tersendiri. Secara prognostiknya, kedua-dua kaedah adalah secara ilmiah untuk mengajar manusia mengenal pasti kewujudan realiti di sekeliling mereka. Kita jangan keliru dengan terjemahan sifar dari gambar–gambar atau imej yang kelihatan cantik tetapi tiada roh dan jiwa di dalamnya. Kerana jiwa sesuatu imej itu adalah bahasa visualnya.
Kekuatan sesuatu imej itu bukan pada kamera, setiap karya yangterhasil adalah manifestasi idea dan projeksi dari minda sang perakam. Rasanya masih ada yang belum sedar akan perkara ini kerana kita lebih terdorong untuk menghayati betapa cantiknya kamera dan aksesori kita daripada berfikir secara kritis dan ilmiah bagaimana kita dapat menghasilkan imej yang dapat menyampaikan mesej yang kuat daripada sebarang kamera sekalipun. Sering saya nyatakan dalam siri ´phototalk´ saya bahawa kamera itu hanyalah alat yang menjadi perantara antara si perakam dan isi penyampaiannya. Si perakam yang sebenar adalah mata, hati dan akal kita. Inilah pancaindera perakam yang merupakan anugerah yang paling hebat pernah kita nikmati. Maka secara logiknya haruslah kita rakam sesuatu yang dapat menggambarkan akan kehebatan pancaindera yang dikurniakan tadi. Ayuh kita harus sedar di mana kita sekarang, sudah sampai masanya kita julang fotografi ini sebagai sesuatu yang beretika untuk mendidik dan merangsang corak minda masyarakat kita sepertimana karya seni visual yang lain. Karya agung mungkin tidak dapat mengubah kehidupan kita tetapi pastinya ia dapat mengubah cara kita berfikir. Imej–imej yang baik akan menafikan segala macam bentuk diskriminasi kerana semua pihak akan dapat menikmati mesej yang cuba disampaikannya. Carilah kekuatan sebenar kita dalam berkarya, seni untuk membina peradaban masyarakat.

Saya hadir sebagai pembawa seni fotografi yang agak kritis, provokatif, suram dan dengan halus ingin menterjemahkan makna realiti kehidupan dan alam dalam apa yang saya panggil sebagai `rebirth. unwanted. unseen´: satu corak persembahan yang didasari dengan bait–bait puitis bahasa visual tentang realiti dan subrealiti dalam menterjemah kehidupan seharian kita. Satu konsep yang tidak asing bagi pergerakan global seni fotografi terutama seni halus dan konseptualisma tetapi agak baru dan mungkin sedikit janggal buat komuniti seni fotografi di sini khususnya. Sebenarnya setiap perakam imej adalah seorang perintis kerana kita merintis sesuatu penemuan yang tidak sama dalam setiap hasil rakaman kita. Mungkin kita tidak sedar tetapi itulah yang kita lakukan setiap kali kita menerajui butang dedahan kita . Setiap penghasilan karya haruslah bernafaskan nada ilmiah supaya kita dapat menerangkan akan misi dan visi setiap karya yang kita hasilkan. Hari ini kita agak kurang memberi faktor penekanan terhadap aspirasi, ekspresi dan penterjemahan idea kita dalam setiap rintisan karya kita. Kita telah menghampiri pembudayaan masyarakat foto yang malap dengan budaya berfikir. Kita digula-gulakan dengan karya `plateau` yang enak dipandang mata tetapi pengisian mata hati yang kosong. Masih ada ruang untuk kita terus berkarya dalam memartabatkan aliran seni fotografi kita di Malaysia. Seperti yang saya terangkan, bukanlah menongkah arus tetapi memagari arus seni itu sendiri agar kita tidak bisa hanyut terus ke laut dalam lalu lemas.
Kita harus meneladani insan–insan terdahulu yang ingin mengangkat martabat seni fotografi sehinggakan karya-karya mereka terus menjadi satu episod penjelajahan visual yang berterusan dalam memahami konteks sebenar maksud sesuatu gambar. Karya mereka tidak pernahpudar dan menjadi kajian serta rujukan ´retrospective´ generasi pelapis dan segar dibuai usia zaman. Kita sendiri harus ada sentimen dan inisiatif seperti ini. Seni adalah tentang gagasan murni untuk memartabatkan budaya bangsa dan bukannya kautan populariti dan keuntungan semata-mata. Tidak salah tetapi harus ada imbangan tara yang adil. Seorang perakam imej yang baik sememangnya mahu jiwa dan tafsirannya tentang sesuatu imej itu dapat dinilai dan ditafsirkan dengan betul tanpa sebarang diskriminasi dan prejudis kerana begitulah sikap kita apabila berdepan dengan isu-isu seperti ini. Harus ada keterbukaan dan rasa hormat sesama kita. Saya bukanlah seorang theoris tetapi saya adalah seorang artis yang mahukan seni fotografi kita terus melangkah ke satu paradigma yang membanggakan.Tidak perlu dijulang tapi cukup untuk dihormati. Apapun yang kita lakukan, sekecil-kecilcabang fotografi sekalipun haruslah ada dedikasi untuk menaik taraf tahap seni fotografi kita setanding dengan kelompok seni visual yang lain. Inilah terjemahan kita.
Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 04 (Dis 2011/ Jan 2012)
