Menerokai foto ‘infrared’ hitam putih

06/03/2018 | miza

Teks & Foto: DigitalDome

 

DSC_1039
Nikon D80, f/9, ISO 400, 1/200s

 

Fotografi ‘infrared’ bukanlah sesuatu yang baru terutamanya apabila kita melihat kepada medium foto hitam putih. Pada tahun lepas telah diadakan satu sambutan ulangtahun ke-100 fotografi ‘infrared’ di kota London dengan menampilkan pameran-pameran fotografi serta bengkel-bengkel berkaitan yang dianjurkan oleh ‘Royal Photographic Society’. Bermula dengan filem ‘infrared’ hitam putih kemudian berkembang kepada filem ‘infrared’ warna sehinggalah pada hari ini dalam era digital, filter ‘infrared’ juga tidak ketinggalan dihasilkan untuk membantu para jurugambar merakam foto dalam bentuk hitam putih.

DSC_1218
Nikon D80, f/8, ISO 400, 1/100s

Pada masa kini bagi medium SLR, tidak banyak jurugambar yang betul-betul komited dalam merakam foto menggunakan filem ‘infrared’. Sir Simon Marsden (simonmarsden.co.uk) adalah salah seorang jurugambar yang masih aktif merakam foto menggunakan filem ‘infrared’ hitam putih, beliau baru sahaja melancarkan buku terbarunya bertajuk ‘Vampires : The Twilight World’ yang memuatkan sebanyak 130 keping foto ‘infrared’ hitam putih yang berkisar tentang tempat-tempat menyeramkan di sekitar German, AS, Slovakia dan Scotland. Pada tahun 1984, kumpulan ‘U2’ turut menggunakan foto ‘infrared’ hitam putih sebagai muka depan album mereka yang bertajuk ‘The Unforgettable Fire’ . Foto tersebut telah dirakam oleh seorang jurugambar bernama Anton Corbijn. Dalam industri perfileman pula, pada awal tahun 1960 terdapat sebuah filem hasil kerjasama antara kerajaan Rusia dan Cuba yang berjudul ‘Soy Cuba’ (I am Cuba) yang menggunakan filem ‘infrared’ hitam putih sebagai platform filem rakaman mereka.

DSC_9329
Nikon D80, f/8, ISO 200, 1/200s

Bagi pengguna DSLR, sekarang mereka tidak perlu risau untuk memikirkan bagaimana mendapatkan bekalan filem ‘infrared’ serta memprosesnya kerana medium digital sekarang adalah lebih mudah. Terdapat dua cara untuk anda mencuba dunia ‘infrared’ hitam putih ini iaitu samaada dengan menggunakan filter ‘infrared’ hitam putih secara tradisional iaitu dengan cara meletakkan filter di hadapan lensa ataupun menggunakan kamera yang telah diubahsuai untuk kegunaan merakam gambar ‘infrared’ hitam putih. Filter-filter seperti dari jenama B+W IR 093 dan Marumi IR 830HB adalah antara filter yang boleh anda gunakan. Ianya berbeza dengan filter ‘infrared’ normal, Filter ‘infrared’ normal kebiasaannya mempunyai skala jarak gelombang sebanyak 720nanometer(nm) manakala filter ‘infrared’ hitam putih mempunyai skala jarak gelombang sebanyak 830nanometer hingga 1000nanometer dalam setiap filter yang dihasilkan.

Antara ciri-ciri utama foto ‘infrared’ hitam putih adalah warna daun (terutamanya daun berwarna hijau) akan bertukar menjadi putih manakala kawasan langit biru dan kawasan air akan bertukar menjadi hitam. Ini mewujudkan suasana ‘contrast’ yang lebih bagus di dalam sesebuah foto. Jika dirakam pada objek seperti manusia, warna kulit akan bertukar menjadi putih bersih dan licin serta boleh menghilangkan kesan-kesan jerawat, corak pada pakaian (untuk jenis kain tertentu) juga akan hilang, bunyinya agak kelakar tetapi itulah kelebihan ‘infrared’. Cuma apabila rakaman dibuat dalam keadaan panas yang cukup, anda boleh melihat dengan jelas urat saraf pembuluh darah pada bahagian badan yang terdedah, anak mata akan jelas kelihatan dan untuk sesetengah jenis kain terutamanya dari jenis ‘cotton’ akan menjadi telus (kesan ini juga boleh di lihat di beberapa jenis ‘infrared’ lain yang dihasilkan oleh digitaliRis). Maka di sini seseorang jurugambar perlu ada sikap bertanggungjawab dan menghormati hak individu lain!

DSC_9396
Nikon D80, f/8, ISO 320, 1/250s

Secara peribadinya saya sangat mengemari foto infrared hitam putih kerana ianya mempunyai karektor tersendiri yang unik di samping menjimatkan masa untuk kita melakukan proses suntingan. Selamat mencuba!

 

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 03 (Okt/ Nov 2011)

fg_03_cover_o