Asas Fotografi Pelancongan

25/01/2018 | miza

Teks & Foto: Dr Sharkawi Che Din

 

Gambar 3
Canon EOS 5D Mark II, EF70-200mm F2.8L IS. 1/1250, F5.6, ISO200, Jurugambar pelancongan mestilah sentiasa berupaya melihat dan kemudiannya memilih gambar-gambar yang bukan sahaja unik malah meninggalkan impak kepada khalayak.

 

Seni fotografi diwakili beberapa bidang pengkhususan yang masing-masing mempunyai kelompok peminatnya yang tersendiri. Antara cabang fotografi yang menarik adalah fotografi pelancongan. Namun ada juga berpendapat bahawa bidang fotografi pelancongan kini agak ketinggalan. Dengan perkembangan teknologi pengimejan digital serta harga yang jauh lebih murah berbanding sepuluh tahun dahulu, pemilikan kamera seolah-olah menjadi keperluan asas kepada kebanyakan individu. Harga kamera yang murah di pasaran menjadikan ia mampu dimiliki oleh sesiapa sahaja samada untuk merakam secara santai ataupun komersial. Umumnya, bidang fotografi pelancongan bermaksud proses penterjemahan yang bercirikan dokumentari mengenai sesebuah lokasi, gaya hidup, tempat-tempat bersejarah, kebudayaan dan adat resam sesebuah masyarakat ke dalam bentuk visual atau gambar.

Secara literalnya, fotografi pelancongan merujuk kepada gambar yang dirakam ketika seseorang itu mengunjungi sesebuah lokasi. Rakaman ini boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja yang memiliki kamera tanpa mengambil kira samada ia dilakukan oleh seorang amatur ataupun professional. Penghasilan gambar-gambar yang telah dirakam dikongsi dengan pembaca menerusi dua kaedah popular iaitu samada menerusi media cetak atau menerusi laman sesawang seperti laman sosial atau laman yang khusus seperti flickr, pbase dan sebagainya.

Gambar 4
Canon EOS 5D Mark II, EF17-40mm F4L. 1/125, F8, ISO100, Rakaman yang memperlihatkan mercu tanda sesebuah kawasan berupaya memberikan gambaran lebih jelas mengenai lokasi gambar dirakam. Gambar-gambar seperti ini tidak perlu disertakan dengan pernyataan dalam bentuk teks kerana ia sudah difahami secara umum

Persediaan Sebagai Jurugambar Pelancongan

Seperti bidang-bidang fotografi yang lain, kejayaan perjalanan bergantung sepenuhnya kepada pesediaan-persediaan yang mesti dilakukan secara terancang kerana peluang melancong berlaku mungkin hanya sekali seumur hidup. Sesuatu perjalanan itu belaku atas beberapa sebab iaitu samada direka khusus untuk tujuan fotografi ataupun dilakukan secara sampingan yang biasanya berlaku apabila seseorang itu berada di luar kawasan atas urusan tertentu. Apapun jua situasinya, kejayaan memperoleh gambar-gambar yang terbaik bergantung kepada perancangan yang dilakukan sebelum seseorang itu sampai ke lokasi. Jurugambar profesional terutamanya, perlu memastikan perjalanan yang dilakukan itu diurus dengan baik supaya di akhir sesi pengembaraan itu nanti beliau berupaya membawa sejumlah gambar yang diperlukan sebagaimana yang dikehendaki oleh pelanggan, berbeza dengan jurugambar amatur yang mungkim merakam gambar untuk dikongsi dengan rakan-rakan sebagai kenangan.

Penyelidikan Lokasi dan Persediaan Perjalanan

Penting bagi seseorang jurugambar untuk memahami lokasi kawasan yang bakal dilawati bagi memastikan bahawa kita mempunyai sejumlah maklumat yang mencukupi dan memudahkan perancangan proses pengambaran yang bakal dilakukan. Menerusi perkembangan teknologi terkini, laman sesawang berkaitan dengan lokasi yang dituju, maklumat boleh diakses dan dicetak untuk dijadikan rujukan. Menerusi laman sesawang juga, maklumat seperti kemudahan logistik dan penginapan boleh diperoleh dengan mudah. Jika lokasi tersebut boleh diakses dengan jalanraya, koordinat GPS juga boleh diperoleh menerusi Google Earth. Data GPS amat membantu pengguna untuk memastikan halatuju perjalanan daripada rumah ke lokasi yang hendak dituju terutamanya jika ia terletak di lokasi yang agak asing.

Perjalanan melibatkan penerbangan pula perlu dikendalikan dengan lebih teliti terutamanya dalam mengenalpasti tarikh dan masa perjalanan sebenar. Sebaiknya anda perlulah berada di lapangan terbang sekurang-kurangnya dua jam sebelum waktu berlepas. Dari segi peralatan, ia perlu dikendalikan dengan cermat kerana jumlah saiz dan berat beg yang dibenarkan untuk dibawa bersama-sama ke dalam pesawat adalah terhad. Anda dinasihatkan menyemak perkara ini supaya tidak timbul masalah yang tidak dingini. Antara alatan yang biasa dibawa ke dalam pesawat adalah seperti komputer riba, kemera, lensa, pengecas bateri, kad storan dan aksesori lain yang berkaitan. Peralatan yang lain seperti tripod boleh dimasukkan ke dalam kargo pesawat. Walau bagaimanapun, untuk tujuan pelancongan, penggunaan tripod yang lebih kecil dan ringan adalah digalakkan, bukan sahaja untuk menjimatkan ruang malah berat tripod tersebut perlu juga diambil kira supaya ia tidak menganggu pergerakan perjalanan ketika sesi penggambaran nanti.

Gambar 5
Canon EOS 5D Mark II, EF70-200mm F2.8L IS. 1/125, F4.5, ISO200, Gambar-gambar yang memaparkan latar belakang budaya dan gaya hidup juga berperanan menyampaikan maklumat visual yang berimpak tinggi.

Peralatan Kamera

Perkara utama yang perlu diberi perhatian dalam penyediaan peralatan berkaitan fotografi pelancongan adalah memastikan berat alatan berada pada tahap minima. Sehubungan dengan ini jurugambar perlu menentukan peralatan sesuai untuk dibawa untuk jenis gambar yang bakal dirakam. Sebagai panduan asas kepada jurugambar yang berfokus kepada fotografi pelancongan, adalah memadai dengan membawa sebuah kamera dan sejumlah lensa yang mewakili focal length antara 15mm hingga 200mm. Terdapat sesetengah jurugambar yang lebih selesa membawa sebuah kamera beserta dengan satu lensa seperti lensa 18mm – 200mm. Walau bagaimanapun, lensa semua dalam satu ini (all in one) seringkali menjadi pilihan pengguna amatur kerana ia mudah dikendalikan dan memerlukan beg yang lebih kecil berbanding dengan jurugambar professional yang lazimnya membawa sekurang-kurangnya tiga jenis lensa yang merangkumi lensa focal length 15mm, 17-40mm dan 70-200mm. Namum begitu, berbeza dengan jurugambar amatur, jurugambar professional menggunakan gambar tersebut bagi tujuan komersial yang kadang-kadang memerlukan ia dicetak pada saiz yang besar. Dengan menggunakan lensa khas bagi sesebuah gambar dapat memberi jaminan kualiti yang lebih baik berbanding lensa semua dalam satu seperti 18mm-200mm itu tadi.
Digital Darkroom

Keperluan alatan komputer berbeza antara jurugambar professional dan amatur. Bagi jurugambar professional, alatan komputer perlu untuk mengkatalog dan memproses gambar berasaskan kepada keutamaan bagi tujuan penghantaran gambar yang telah dirakam. Contoh, sekiranya gambar akan digunakan dengan segera dan perlu dihantar kepada editor maka ia perlu disertakan dengan kapsyen yang bersesuaian supaya setiap gambar dilengkapi dengan perincian yang berkaitan dan mudah dikenal pasti. Sebagai keperluan asas jurugambar pelancongan, sebuah komputer riba yang berkeupayaan tinggi diperlukan untuk memuat-turun gambar yang disimpan di dalam kad storan dengan cepat dan efisyen.Sebelum memulakan perjalanan, pastikan fail-fail yang terdapat dalam komputer itu dipindahkan ke storan mudah alih. Hal ini penting bagi memastikan komputer riba yang dibawa memiliki ruang storan yang cukup untuk menampung storan gambar-gambar yang bakal dirakam sepanjang program lawatan berlangsung.

Gambar 2
Jurugambar professional pula boleh memilih perisian yang lebih khusus untuk memproses atau pun mengkatalog gambar-gambar yang dirakam. Rajah ini menunjukkan dialog Info daripada Adobe Bridge yang membolehkan kata kunci dimasukkan ke dalam setiap gambar yang dirakam. Maklumat lain yang lebih terperinci juga boleh dilakukan dengan mudah.

Perisian Pengimejan Digital

Adobe adalah antara pembekal perisian pengimejan digital yang lazim digunakan kebanyakan jurugambar untuk mengkatalog dan menyunting gambar. Sebagai amalan biasa, sejumlah gambar yang dipindahkan ke dalam storan dalam komputer riba akan dilengkapi dengan kata kunci dan kapsyen. Pengguna amatur mungkin berminat dengan perisian percuma yang disediakan oleh pengeluar kamera yang digunakan. Bagi pengguna Canon, perisian yang disediakan adalah Canon Digital Professional (DPP) sementara pengguna Nikon disediakan dengan ViewNX.

Keupayaan Visualisasi Jurugambar

Perolehan gambar yang berkualiti tinggi wujud berdasarkan kandungan gambar dan aspek teknikal yang perlu dirancang secara sistematik. Perancangan ini termasuklah mengenalpasti subjek yang terbaik, mengenalpasti masa dan keadaan cahaya yang berupaya memberi impak yang lebih kepada subjek yang bakal dirakam, mengenalpasti lokasi yang mudah tetapi berupaya memaparkan karekteristik asal sesuatu lokasi dengan tepat. Kesemua perencah ini perlu diadun dengan cara yang terbaik berdasarkan kemahiran dan kepakaran yang ada pada setiap jurugambar. Ia perlu dianalisis secara kritikal sebelum sesebuah gambar dirakam dan proses analisis ini biasanya dilakukan secara memvisualisasikan perencah yang disebutkan secara bijaksana dengan menggunakan deria penglihatannya yang unik dan tersendiri. Setelah ‘lakaran’ asas terhasil maka jurugambar yang kreatif akan mula menilai komposisi tersebut bagi memastikan ia sesuatu bukan kebiasaan seperti yang biasa dirakam oleh jurugambar sebelum ini. Hal ini demikian kerana ratusan gambar mungkin telah dirakam oleh jurugambar yang lain dilokasi yang serupa maka sesuatu yang luar biasa daripada lokasi yang sama adalah faktor penting dalam member kelainan kepada gambar pelancongan yang dirakam.

 

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 02 (Ogos/ Sep 2011)

fg_02_cover