Pengenalan kepada fotografi infrared digital

24/01/2018 | miza

Teks & Foto: DigitalDome

 

foto1_3515
Aperture : f/8  Kelajuan Shutter : 1/25s ISO : 400 Filter : Hoya R72 Warna :Asal

 

Foto infrared digital terhasil daripada satu kaedah merakam foto menggunakan kamera DSLR dan bantuan filter infrared yang mana filter tersebut dapat merakamkan spektrum cahaya infrared (invisible light) yang dihasilkan pada panjang gelombang tertentu dan dibaca dalam skala nanometer (nm). Infrared akan menghasilkan kesan warna unik pada foto yang dirakam. Filter terbabit akan menyaring spektrum warna ‘visible light’ dan membenarkan kemasukan spektrum cahaya infrared ke dalam kamera.

Dunia fotografi infrared dalam era digital atau DSLR semakin berkembang dengan begitu mendadak sekali berbanding semasa penggunaan filem infrared dalam era analog. Kaedah menghasilkan foto infrared dengan menggunakan kamera DSLR adalah lebih mudah, tambahan pula sejak wujudnya kemudahan mengubah suai kamera DSLR bagi tujuan merakam foto infrared secara khusus tetapi kamera yang telah diubah suai tadi akan hilang keupayaan mengambil foto secara normal. Untuk tujuan ini kebiasaannya jurugambar akan membeli kamera DSLR kedua samada yang baru ataupun terpakai. Namun begitu, kini terdapat juga kamera digital biasa yang boleh diubahsuai dan tidak melibatkan kos yang tinggi seperti menggunakan kamera DSLR.

Di dalam siri pengenalan ini saya ingin memberi tumpuan terlebih dahulu kepada teknik mengambil foto infrared dengan menggunakan bantuan filter infrared secara tradisional iaitu dengan memasang filter di hadapan lensa kamera. Antara filter yang biasa di guna pakai adalah dari jenama Hoya R72 dan Cokin P007. Dewasa ini telah banyak filter infrared yang dihasilkan oleh syarikat-syarikat pengeluar filter dengan pelbagai jenama. Harga filter juga bergantung kepada jenama dan diameter yang sesuai dengan lensa anda.

foto7_4201
Sampel foto untuk penggunaan white balance yang salah

Cara penggunaan white balance

Penggunaan white balance yang betul adalah satu perkara yang wajib anda ketahui bagi menghasilkan foto infrared. Kegagalan menggunakan white balance yang sepatutnya akan menjadikan hasil foto infrared anda berwarna merah dan kelihatan janggal warnanya.

Untuk tujuan rakaman foto infrared ini, kita hanya perlu menggunakan preset white balance (Nikon) atau custom white balance (Canon). Secara asasnya terdapat beberapa perkara yang sering digunapakai bagi menghasilkan preset atau custom white balance iaitu samada rumput hijau, langit, kertas putih atau juga kad kelabu. Namun begitu anda juga bebas untuk mencuba bahan-bahan lain bagi untuk dijadikan objek kepada preset atau custom white balance. Setiap objek yang digunakan untuk preset white balance akan memberi kesan yang lebih baik kepada warna foto infrared yang dirakam. Penggunaan kertas warna juga boleh dijadikan sebagai objek white balance.

Bagi pengguna Nikon yang bermula daripada model D90 dan ke atas, adalah menjadi agak sukar untuk anda mendapat keputusan ‘GOOD’ dalam menghasilkan preset white balance, ini kerana halangan berganda yang wujud akibat daripada lapisan ‘sensor cleaning’ yang bercantum bersama filter ‘hot mirror’ di dalam badan kamera anda. Oleh itu penggunakan auto white balance diperlukan dan foto harus dirakam menggunakan format ‘RAW’ yang mana white balance akan dapat dipulihkan semula di dalam perisian Nikon view NX ataupun Nikon Capture NX.

Cara preset white balance bagi pengguna Nikon.

1. Fokus objek yang ingin digunakan bagi tujuan preset white balance dan kemudian tukar mod fokus kepada manual. Kemudian barulah filter infrared dipasang pada lensa anda. Ini kerana filter infrared yang telah dipasang di hadapan lensa akan menyukarkan anda untuk memfokus secara automatik.

2. Tekan butang WB untuk beberapa saat sehingga kelihatan perkataan ‘PRE’ berkelip-kelip di ruang monitor sebelah atas kamera anda. (kaedah mungkin berlainan antara jenis dan model kamera. Sila rujuk buku panduan dan tatacara bagi preset white balance untuk model kamera anda)

3. Halakan lensa ke arah objek yang ingin anda gunakan untuk preset white balance dan tekan butang shutter.

4. Lihat monitor sebelah atas kamera anda dan pastikan anda mendapat keputusan ‘GOOD’, jika tidak maka ulang proses preset white balance dengan menukar tetapan samada iso, shutter speed ataupun aperture. Penggunaan mod A atau M adalah disarankan ketika proses preset white balance dijalankan.

foto6_3583
Aperture: f/4 Kelajuan Shutter: 1/4s ISO : 640 Filter : Hoya R72 Warna :Swap Channel dan Color Balance

Cara custom white balance bagi pengguna Canon.

1. Fokus objek yang ingin digunakan untuk custom white balance dan selepas itu tukar mod fokus kepada manual, kemudian barulah filter infrared dipasangkan pada lensa anda.

2. Boleh gunakan mod AV dengan auto white balance.

3. Rakam objek yang hendak digunakan untuk custom white balance seperti kertas putih, rumput hijau dan sebagainya.

4. Masuk ke dalam menu dan tetapan untuk custom white balance, pilih foto yang telah anda rakam sebentar tadi dan aktifkan custom white balance. Kini kamera anda telah siap untuk membuat rakaman foto-foto infrared.

Tip merakam foto infrared

1. Rakaman hendaklah di buat pada keadaan cuaca cerah atau panas. Meskipun pada kebiasaannya rakaman foto normal tidak sesuai dilakukan pada waktu tengahari, tetapi untuk rakaman foto infrared itu tidak menjadi masalah.

2. Gunakan format RAW untuk memudahkan proses mengubahsuai white balance. Ini sangat berguna terutamanya bagi model-model kamera yang mempunyai kesulitan membuat preset atau custom white balance.

3. Gunakan bukaan aperture yang bersesuaian dengan keadaan semasa. Dicadangkan bukaan aperture pada skala f/5.6 dan ke atas.

4. Sebaiknya gunakan ISO yang rendah untuk mengelakkan ganguan noise pada foto.

5. Bagi kelajuan shutter, anda boleh mulakan 1 saat dan lebih lama. Apapun jika keadaan cuaca berangin, kelajuan shutter yang perlahan akan memberi kesan ‘motion blur’ pada foto anda bagi objek-objek yang bergerak seperti pokok, awan dan sebagainya.

6. Gunakan nilai komposisi dedahan yang bersesuaian dengan keadaan semasa atau cuaca, kebiasaannya antara +1 hingga -1.

7. Penggunaan filter Hoya R72 akan membuatkan ruangan view finder anda menjadi gelap dan kesukaran menentukan komposisi dan dedahan yang betul akan berlaku, Jadi anda perlu mencuba pelbagai gabungan iso, bukaan aperture dan kelajuan shutter bagi mendapatkan dedahan yang tepat. Dari segi komposisi foto, anda harus membuat komposisi terlebih dahulu sebelum memasang filter di hadapan lensa anda.

foto5_3587
Aperture: f/8 Kelajuan Shutter: 1/25s ISO : 320 Filter : Hoya R72 Warna : Suntingan color balance

8. Jangan abaikan komposisi foto bersama undang-undang asas fotografi. Tiada guna jika anda boleh menghasilkan foto infrared yang hanya kelihatan unik pada warnanya sahaja tetapi dari segi komposisi foto anda gagal.

9. Oleh kerana rakaman foto infrared dengan kaedah ini memerlukan dedahan yang lama, maka objek-objek yang bergerak semasa rakaman foto dibuat akan kehilangan sifat asalnya.

10. Walaupun filter infrared itu gelap namun tidak digalakkan membuat rakaman foto secara langsung ke arah matahari, tambahan lagi dengan keadaan dedahan yang lama.

11. Wajib menggunakan Tripod.

 

Ini merupakan serba sedikit pendedahan awal kepada dunia foto infrared. Untuk siri akan datang kita akan belajar cara bagaimana melakukan proses suntingan bagi foto infrared. Tidak dapat dinafikan menghasilkan foto infrared melalui kaedah tradisional sedikit sebanyak mempunyai kelemahan terutamanya limitasi bagi penggunaan kelajuan shutter secara normal, namun begitu anda akan temui keseronokannya yang tersendiri ketika merakam foto-foto tersebut. Selamat datang ke dunia infrared saya ucapkan.

 

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 01 (Jun/ Julai 2011)

fg_01_cover