Teks & Foto: Melissa Mohd Nor
Kerjasama: Bang Bang Geng

Apabila anda bercakap mengenai fotografi berformat medium atau sederhana, minda kita secara langsung dibawa ke kamera ikonik Rolleiflex – kamera yang popular idaman ramai di antara semua kamera TLR.

TLR merupakan akronim untuk perkataan Lensa Berkembar atau ‘Twin Lens’ (sebuah kamera yang menggunakan dua lensa berkembar – satu lensa untuk melihat dan satu lagi untuk merakam imej), dan ‘Reflex’ (merujuk kepada cermin yang digunakan di belakang lensa bidikan ketika penfokusan imej). Kedua-dua lensa ini terdiri daripada dua kanta optik yang sama, dengan jarak fokus yang sama, dan “kelajuan” yang setanding. Dua lensa ini kemudiannya akan dipasang di bahagian hadapan kotak kamera dan diselaraskan bersama-sama agar imej pada lensa bidikan akan sentiasa difokuskan pada jarak yang sama. Perbezaan di antara dua lensa berkembar ini; satu lensa membenarkan imej melalui cermin optik atas dan dipantul terus ke pembidik di atas, manakala lensa di bawah membenarkan cahaya imej memasuki ruang gelap kamera ke atas panel filem.
Imej yang dapat dilihat lensa bidikan (atas) dipantulkan ke skrin bidikan imej yang terbentuk di cermin optik bawah itu dilihat terbalik (kiri adalah kanan, dan kanan adalah kiri) dan ianya akan mengambil sedikit masa untuk membiasakan diri dengan cara penggunaan.
Kanta rakaman di bawah mendedahkan filem pada cahaya dan tidak seperti kamera-kamera SLR yang lain, imej yang terhasil tidak sama dengan imej yang dilihat melalui pembidik.
Kamera Rolleiflex pertama yang saya gunakan adalah Rolleiflex Automat 6×6 K4B yang dihasilkan oleh Franke & Heidecke diantara April 1939 hingga Oktober 1945, di Braunschweig, Jerman. “Automat” bermaksud kaunter pembilang filem automatik, juga dikenali sebagai penghitung bidikan – yang mana ianya mengira bilangan bingkai filem yang telah diambil oleh jurugambar, dan membolehkan jurugambar menghitung dan mengetahui jumlah bilangan bingkai filem yang telah digunakan dengan melihat jumlah penghitung bidikan di belakang kamera.

Kamera filem Rolleiflex TLR ini merupakan kamera yang popular dan ianya memiliki pengaruh yang menentukan sejarah fotografi selama berdekad-dekad lamanya. Banyak jurugambar yang masih lagi merakam menggunakan kamera filem Rolleiflex TLR dan filem hitam putih.
Saya memilih untuk menggunakan kamera ini dengan mengambil gambar di George Town, Pulau Pinang sekitar waktu pagi dengan filem hitam putih 100ISO 120mm Fuji Neopan Acros. Merakam gambar menggunakan kamera ini merupakan satu pengalaman yang berharga dan istimewa, seperti menatang sejarah di kedua telapak tangan.
Melissa Mohd Nor merupakan salah seorang penulis dan pengasas blog fotografi filem “Cool Girls Shoot Film” yang ditubuhkan atas tujuan bereksperimentasi ke atas pelbagai jenis filem dan kamera.
Layari pautan internet berikut untuk informasi lanjut:
http://coolgirlsshootfilm.tumblr.com
http://www.facebook.com/coolgirlsshootfilm
Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 25 (Jun/ Julai 2015)
