Temuramah: Miza Foto: Syahrel Azha Hashim

Pengenalan
Syahrel Azha Hashim merupakan graduan kejuruteraan kimia daripada Clarkson Universiti, New York dan kini beliau bekerja sebagai pengurus teknikal di A&E System Sdn Bhd. Pada tahun 2009, beliau hanya merekod gambar lawatan sahaja akan tetapi setelah hasil karya beliau berjaya mendapat pujian rakan-rakan, semangat untuk menceburi bidang fotografi ini terus melonjak. Beliau mula berjinak-jinak dalam bidang fotografi dengan mempelajarinya daripada hasil karya jurugambar berpengalaman di laman sesawang seperti flickr, majalah dan mengikuti kem foto pelancongan yang dianjurkan oleh akademi tempatan. Melalui kem-kem foto, beliau mendapat lebih banyak idea dengan bertukar-tukar pendapat di kalangan jurugambar-jurugambar lain. Sejak tahun 2010, beliau menjadi antara penyumbang imej untuk laman sesawang Getty Image.
Maksud Fotografi
Bagi saya fotografi adalah untuk menyampaikan mesej menerusi gambar. Sesuatu mesej tersebut boleh disampaikan dengan hanya sekeping foto. Malah, hasil karya tersebut juga merupakan cerminan apa-apa yang dilihat oleh jurugambar samada berkait dengan pengalaman hidup jurugambar tersebut sebelum ini. Setiap jurugambar juga mempunyai pandangan yang berbeza mengikut sudut pandangan kreatif yang tersendiri.
Karya terbaik bagi saudara
Hasil karya terbaik merupakan rakaman momen yang indah atau saat-saat yang tidak dijangka atau disengajakan. Saya ingin rakamkan sesuatu yang tidak selalu berlaku dan disertai ekspresi wajah yang tulus dan bersahaja. Bagi saya, terdapat 3 ciri yang membuatkan hasil karya itu sempurna iaitu apabila sekeping foto mempunyai ciri seperti subjek manusia, perbuatan yang dilakukan orang tersebut dan berlatar belakangkan tempat yang menarik atau lambang negara tersebut.
‘Art of seeing’. Latih mata anda untuk merakam sesuatu yang lain daripada yang lain. Lihat dari aspek berbeza di samping memahami kemampuan alatan fotografi yang sediada serta mengikut kreativiti tersendiri.

Cabaran
Saya ingin dapatkan imej wajah yang tulus dan tidak ditokok tambah secara sengaja di samping saya perlu peka pada budaya negara tersebut kerana lain budaya mempunyai lain peraturan atau adat. Agak sukar bagi saya untuk merakam wajah manusia di luar negara kerana berlainan bahasa. Saya sedaya upaya mendapatkan tandatangan mahupun cap jari orang yang saya rakam untuk mendapatkan persetujuan tuan badan tersebut.
Nasihat
Ini juga nasihat saya kepada diri saya sendiri iaitu saya ingin fokuskan kepada satu genre sahaja setiap kali saya mengembara. Minat saya selalu juga berubah mengikut subjek yang saya inginkan. Jika saya fokus pada satu genre, saya dapat mengkaji lebih lagi mengenai tempat tersebut ataupun bersedia dengan kaedah rakaman yang lebih baik.
Malah saya juga membuat peraturan untuk diri sendiri dalam mendisiplinkan diri. Setiap hari saya akan memuat naik 5 keping gambar di laman sosial Flickr. Daripada segi pembelajaran fotografi, saya dapat memperbaiki diri dan menajamkan lagi kemahiran saya dalam merakam serta suntingan gambar. Jika ada masa terluang, saya akan mengambil masa untuk menggembara dan daripada situ saya dapat menambahkan lagi koleksi rakaman saya di samping mempelajari budaya serta persekitaran masyarakat asing.

Flickr: Syahrel Azha Hashim
Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 24 (Apr/ Mei 2015)
