Ada tetapi tidak nampak

23/10/2017 | miza

Teks & Foto: Andrialis Abdul Rahman

 

1

 

Fotografi tidak mempunyai batasan; hanya imaginasi seseorang pengkarya diperlukan untuk mencerna sebuah idea dan menjadikannya sebuah karya yang nyata. Subjek yang terdapat dalam bidang fotografi selalunya rawak, tidak mempunyai ciri-ciri yang konsisten dan setiap objek yang wujud boleh dijadikan subjek.

Penggunaan objek-objek sekitar dan proses mengubah mereka menjadi medium untuk seni mulanya diperkenalkan oleh Marcel Duchamp, seorang pelukis dan pengukir yang mengetengahkan idea untuk menggunakan bahan asas yang sediada kepada sebuah karya seni yang mengagungkan. Seni konseptual beliau telah melahirkan sesuatu anjakan positif dalam dunia seni kerana beliau telah memadamkan garisan antara seni fizikal dan seni visual, menyebabkan setiap pengkarya lebih berkobar-kobar untuk menggabungkan sesuatu yang nyata dengan sesuatu yang fiksyen.

Perkara yang membezakan maksud sesuatu karya di mata penonton ialah cara mereka menginterpretasikan definisi di sebalik sesuatu seni. Ini lebih berasaskan kepada cara penonton berfikir, samada secara literal ataupun metafora. Sehelai kertas yang telah koyak dan renyuk boleh dijadikan karya jika seorang pengkarya mahu menjadikan kertas itu sebagai karya dan penonton juga terbuka untuk memikirkan maksud tersirat di sebalik setiap renyukan yang ada di atas kertas terbabit ataupun mengkritik karya tersebut dengan mengatakan bahawa tiada langsung unsur seni yang wujud terhadap karya tersebut.

Sesebuah karya ialah satu pentas dimana hubungan langsung dan tidak langsung antara pengkarya dan penonton tercetus, dimana mereka berhubung apabila mesej yang ingin disampaikan pengkarya diterima oleh para penonton mahupun secara positif ataupun negatif. Seringkali penonton terlepas pandang mesej sebenar yang ingin disampaikan oleh pengkarya.

2

Isu yang ingin disentuh dengan karya yang tertera ini ialah isu pemanasan global yang telah menjadi lebih kritikal daripada semasa ke semasa berbanding dua puluh tahun yang lalu. Walaupun kita sudah dibelenggu dengan arus modenisasi yang pesat membangun, malangnya mentaliti kita masih di bawah paras yang memberangsangkan kerana kita terlalu taksub dengan kehidupan moden dan lalai dalam memperjuangkan alam semulajadi.

Majoriti masyarakat sekarang, masih tidak ramai yang mempunyai inisiatif untuk mengambil langkah berjaga-jaga atau langkah pencegahan bagi mengurangkannya dan akhirnya perkara sebegini akan memakan diri mereka sendiri dan juga generasi akan datang.

Pengunaan plastik dalam karya ini adalah sebagai satu metafor tentang salah satu bahan yang sering digunakan oleh segenap masyarakat dalam aktiviti harian mereka dari saat mereka bangun dari tidur hinggalah saat mereka melelapkan mata. Subjek yang seolah-olah terperangkap dengan plastik menunjukkan implementasi yang akan terjadi sekiranya kita tetap acuh tidak acuh mengenai keadaan alam semulajadi yang tenat dan memperlekehkan segala aksi untuk memulihkan kembali kehijauan alam sekitar.

Setiap gestur yang dipamerkan dalam karya ini menunjukkan aksi yang ingin membantah dan melarikan diri daripada kecaman plastik yang boleh menghentikan bekalan oksigen kepada manusia. Plastik hitam dijadikan sebagai objek untuk memerangkap subjek supaya terus alpa dan terus menjadi khayal untuk melawan isu-isu semasa yang merosakkan kedamaian alam sekitar.

Setiap karya yang dihasilkan oleh mana-mana pengkarya sememangnya sangat subjektif dan setiap maksud yang diterima oleh penonton tiada salahnya kerana setiap orang mempunyai pandangan yang berbeza. Cuma, untuk memahami sesebuah karya dengan lebih lanjut, pemikiran yang kritikal diperlukan untuk menganjakkan satu idea asas mengenai mesej karya kepada konsep yang lebih kukuh untuk diinterpretasikan.

Pengkarya boleh menyediakan sepuluh muka surat penjelasan mengenai sesebuah karya yang dihasilkan beliau, daripada maksud tersirat, maksud setiap medium yang digunakan, maksud setiap garisan yang ada, namun semua ini akan berpusing balik kepada pemikiran penonton dan setiap karya mempunyai maksud yang berbeza kepada setiap orang yang berbeza.

 

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 22 (Dis 2014/ Jan 2015)

FG22 Cover-update