Fotografi Bawah Laut: Manifestasi Seni Imran Ahmad

12/10/2017 | miza

Temuramah: Ashraf Saharudin          Foto: Imran Ahmad Bin Rayat Ahmad

 

Imran Ahmad

 

Boleh ceritakan serba sedikit latar belakang saudara Imran?
Saya dilahir di Singapura dan dibesarkan di sana. Saya mula melibatkan diri dengan foto seawal usia 6-7 tahun dan pernah mencelup kamera bapa saya ke dalam air selepas menonton sebuah rancangan dokumentari di televisyen kerana saya percaya saya boleh rakam imej di dalam air dengan hanya meletakkan kamera tersebut di dalam beg plastik.
Ibu saya pernah berkata suatu ketika dahulu ketika kami menonton rancangan National Geographic, “Ini adalah sesuatu yang mustahil untuk kita orang Asia lakukan dan tidak mungkin sebagai seorang profesional”. Saya berusia enam tahun ketika itu dan 20 tahun kemudian saya kembali kepada ibu saya membuktikan sebaliknya.

Saya tahu perkara yang saya mahu dan saya mahu menjadi orang Asia pertama yang tampil dengan sesuatu yang berbeza. Saya memiliki beberapa rujukan karya dan mentor yang memberikan saya inspirasi seperti rakan jurugambar National Geographic David Doubilet, Ernie Brooks, Stephen Frink dan beberapa jurugambar profesional lain yang pada saya mereka adalah antara yang terbaik di dunia. Dengan meneliti karya-karya mereka, banyak membantu dalam perjalanan fotografi saya. Kemudian bertemu mereka, berkongsi pendapat dan buah fikiran seterusnya membawa kepada kemuncak kerjaya saya dengan penghasilan Projek ‘White’ saya yang dikenali sebagai ‘Pure Series’. Projek ‘White’ ini adalah adaptasi daripada karya David Doubilet sendiri dengan berkonsepkan latar belakang putih cuma untuk ‘Pure Series’ saya lakukan sesuatu yang berbeza, sesuatu yang mungkin samada mampu membunuh atau meletakkan saya dalam keadaan yang berbahaya. David lakukannya dengan lintah laut, penuh unsur artistik manakala saya memilih untuk lakukannya dengan hidupan laut yang lebih mencabar.

_DSC0087
Within you, Gua Sang Buaya, Redang Island

Melihat karya saudara, ada sesuatu yang lain daripada imej fotografi bawah laut yang lain.
Saya sering berkata kepada diri saya dan pelajar saya ketika saya mengajar di sebuah universiti, “Jika anda inginkan perbezaan, anda perlu mulakannya lebih awal, anda perlu pantas melihat kekuatan dan keunikan yang anda ada. Jika anda tidak jumpa semua ini, anda akan berakhir sama seperti 20,000 jurugambar yang lain”. Di dalam karya-karya saya, ada sesuatu yang saya panggil ‘kegilaan’, “jadikan sesuatu yang biasa kepada luar biasa” saya gemar ayat ini. Setiap kali saya rakam sesuatu, saya sering terfikir apakah yang akan disampaikan kepada pemikiran para penonton, saya mahu mereka rasa seolah-olah mereka sedang berada ketika imej itu dirakam. Saya suka untuk tarik penonton untuk turut serta bersama-sama imej yang saya rakam, bukannya hanya sekadar melihat dan berlalu pergi.

Bercakap soal kelainan, adakah anda lebih kepada meneroka atau lebih kepada mengkaji sebelum mencari?
Pada permulaannya saya lebih kepada membuat kajian sebelum menyelam di sesuatu kawasan, namun apabila tiba di suatu tahap, di peringkat profesional, saya lebih kepada mencari seuatu yang unik dan berbeza lain daripada imej-imej yang telah dirakam oleh jurugambar sebelum ini. Boleh dikatakan kini saya lebih kepada unsur eksperimental, saya jika tidak yang pertama, saya antara yang terawal melakukan fotografi HDR, fotografi infra-merah, sinar ultraviolet di bawah laut. Sekarang saya banyak menjurus kepada fotografi ultraviolet memandangkan permintaan terhadap sesuatu gaya yang berlainan. Ramai yang tidak sedar bahawa setiap apa-apa yang kita lakukan di atas darat mampu dibawa ke bawah laut dengan syarat kita memahami disiplin fotografi tersebut.

Untuk fotografi ultraviolet bawah laut, sangat sesuai dilakukan di waktu malam dengan lampu sinaran ultraviolet yang agak kuat pada frekuensi betul untuk mendapatkan warna-warna unik daripada hidupan dasar laut. Di samping itu lensa dan peralatan khas digunakan dan kebanyakan peralatan-peralatan ini direka khas bagi tujuan itu. Saya memiliki seorang rakan, Kelvin daripada Hong Kong yang menyediakan peralatan ini untuk saya.

Boleh saudara kongsikan serba sedikit mengenai buku saudara?
Buku Ocean Tapestry adalah sebuah projek daripada koleksi imej-imej yang saya miliki sejak lebih sepuluh tahun dahulu. Hasrat untuk merealisasikan buku ini telah bertapak lama cuma masih tidak berpeluang untuk menerbitkannya sehinggalah pada suatu ketika, saya menyelam di Maldives dan di dalam bot yang sama adalah pengarah Percetakan National Malaysia Berhad (PNMB), En Izham Yusoff. Pada mulanya saya memperkenalkan diri saya dan kemudian beliau berkata bahawa beliau mengenali saya dan turut mengikuti perkembangan imej saya. Sebuah permulaan yang baik yang membawa kepada tercetusnya sebuah idea dimana saya menawarkan kepada En Izham untuk menyumbang sesuatu yang bertaraf dunia, sebuah buku untuk diterbitkan oleh PNMB yang mampu membawa sebuah kelainan kepada mereka dan juga kepada diri saya. Bermula daripada situ kami berganding bahu dan berjaya menghasilkan Ocean Tapestry sebuah buku yang mendapat pengiktirafan di Marseilles Underwater Festival di bawah kategori “The Book and The Sea”, 50 buku terbaik di Malaysia dan beberapa maklum balas yang sangat memberangsangkan daripada serata dunia. Sebuah permulaan yang baik memandangkan En. Izham sendiri merupakan seorang penyelam skuba dan beliau kuat menyokong usaha-usaha konservasi alam sekitar terutamanya bawah laut sama seperti saya.
Satu anggapan yang tidak tepat mengatakan kita perlu pergi ke suatu tempat yang jauh untuk melihat sesuatu yang eksotik, walhal di sekeliling kita, di Malaysia sendiri terdapat pelbagai hidupan dan landskap bawah laut yang menakjubkan. Baru-baru ini saya ada rakamkan sebuah imej dan ramai beranggapan imej itu dirakam di Mexico, Bahamas atau lain-lain tempat di luar negara, sedangkan saya rakamnya di Pulau Redang, Gua Sang Buaya. Cuba teroka dan rakam di kawasan anda sendiri kerana ramai yang terlupa mengenai itu.

_IMP2402
Lion fish, Lembeh Strait, Indonesia

Di mana lokasi selaman pertama?
Pulau Aur, saya dapatkan lesen selaman skuba pertama saya di sana dan bermula daripada itu perjalanan saya sebagai penyelam bermula, diikuti dengan kursus-kursus berikutnya sebelum saya menjadi ‘Dive Master’ di sana untuk tempoh selama tiga tahun. Kemudian saya bertugas sebagai jurulatih selaman namun saya tidak begitu cenderung kepada melatih penyelam kerana saya lebih cenderung kepada merakam imej.

Selain di bawah laut, bagaimana di atas darat?
Saya juga ada merakam secara ‘street’, adakala saya merakam bagi tujuan komersial seperti produk dan sebagainya. Tetapi secara nisbah, boleh saya katakan 70% rakaman saya masih di bawah laut berbanding di atas darat. Ada terdetik di dalam hati saya untuk mengajar subjek fotografi bawah laut. Saya ingin berkongsi ilmu dan pengalaman yang saya perolehi daripada serata dunia dan berhasrat untuk mengajar di universiti tempatan ataupun antarabangsa. Saya telah menjelajah hampir ¾ dunia melakukan fotografi bawah laut, maka saya ingin kongsikan ini semua kepada generasi muda dan buka minda mereka terhadap sesuatu yang unik yang tidak terdapat di tempat lain.

Apakah projek yang sedang berjalan sekarang?
Saya sedang merakam bagi sebuah buku untuk Kerajaan Saychelles di Afrika, berhampiran Madagascar, saya baru pulang dan akan ke sana semula dalam bulan Oktober untuk rakaman seterusnya. Saya juga sedang menyiapkan beberapa projek lain yang saya belum bersedia untuk kongsikan, cuma yang boleh saya katakan di sini adalah, anda bakal melihat imej-imej yang luar biasa daripada projek-projek ini.

Selain itu saya juga sebahagian daripada ahli Ocean Artist Society di Amerika Syarikat, sebuah badan yang dianggotai beberapa jurugambar ternama yang menjadikan gabungan seni dan konservasi sebagai satu medium penyampai kepada masyarakat dunia. Saya juga banyak merakam untuk terumbu tiruan di sekitar rantau ini dan buku pertama saya “Hidden Sanctuary” banyak berkisar mengenai keindahan terumbu tiruan yang terdapat di sekitar kepulauan Mabul.

Bagaimana anda melihat karya anda kini berbanding ikon-ikon hebat dunia yang anda sebutkan awal tadi?
Saya masih berkata saya belakang mereka, mereka masih mendahului dan akan selalu berada di dalam diari saya kerana dengan itu kita akan sentiasa belajar daripada yang terbaik. Apapun mereka sangat merendah diri, ada satu ketika David berkata kepada saya, “Imran, kerana kita adalah jurugambar profesional, itu adalah pengaruh, bagi orang lain itu adalah plagiarisme”. Ini kerana kita lakukannya dengan kaedah kita sendiri, cuma kaedah itu dipengaruhi karya jurugambar lain. Beginilah caranya kita belajar daripada yang terbaik. Jika anda bertanya kepada saya adalah saya lebih baik? Saya akan katakan tidak, kerana saya masih sentiasa mempelajari seni ini dan saya mengharapkan suatu hari nanti ada seseorang yang datang kepada saya dan berkata ini adalah karya seni unik yang hanya dihasilkan oleh saya. Seperti mereka yang terbaik, kita harus sentiasa bekerja keras, memberikan inspirasi, mendidik dan ubah cara masyarakat melihat imej.

m4_IMP9071
Manta Ray, Baa Atoll, Maldives

Jika anda bukan seorang jurugambar, apakah mungkin kerjaya anda sekarang?
Saya gemar mengajar, saya pernah mengajar di sebuah universiti pada suatu ketika dahulu. Ya jika tidak seorang jurugambar, mungkin seorang pensyarah.
Sebarang nasihat kepada mereka yang ingin menceburi bidang fotografi bawah laut?
Nasihat saya adalah, nikmati setiap saat yang ada. Jangan hanya menyelam dan rakam keseluruhan terumbu, hargai keindahannya terlebih dahulu kerana jika kita tidak menghargai dan bersama-sama memeliharanya, suatu ketika nanti semuanya akan hilang. Sebagai penyelam, sebagai manusia, besar harapan saya untuk kita sama-sama memeliharanya demi generasi akan datang. Jangan tergesa-gesa untuk merakam, nikmati dan hargainya. Kita harus sentiasa ada rasa hormat terhadap alam semulajadi.

 

Facebook: ESCAPEINC Dive & Photography
http://www.escapeinc.com.sg/

 

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 15 (Okt/ Nov 2013)

fg15-cover